44 - NADINE SOFEA

5.2K 475 31
                                    

"Aku cintakan kau, Nadine."

Tangan menekup rapat kedua belah telinga. Suara itu benar-benar mengganggu Nadine. Mungkin bagi orang lain, ayat keramat itu adalah antara sebaris ayat paling indah untuk didengar tapi tidak bagi Nadine.

Trauma.

Fobia.

Semua rasa itu bercantum jadi satu perasaan yang membuatkan Nadine tersungkur lemah.

Semua luahan Harlem tempoh hari hanya dusta semata-mata. Iya! Nadine yakin! Harlem hanya mahu menambah lagi racun untuk hatinya yang sudah terluka dalam.

Harlem tak cintakan dia. Semuanya bohong belaka.

Dia tak cintakan kau, Nadine. Dia tak cintakan kau!

Lutut dipeluk erat. Mata dipejam rapat bersama gelengan di kepala. Nadine mahu tepis segala perasaan yang hampir membuatkan dirinya hanyut lagi. Air mata belum jua pergi dan masih setia menemaninya dari tadi.

"Nadine..." suara lembut makcik Una sedikit menyentakkan.

Kepala yang tunduk diangkat perlahan. Kelihatan makcik Una bersama Rosie sedang berdiri di pintu biliknya. Entah sejak bila dua beranak itu berada di situ melihat Nadine serupa orang gila.

Serentak makcik Una dan Rosie berjalan menghampiri Nadine di atas katil. Punggung direbahkan di sebelah kiri dan kanan Nadine. Tangan Rosie pula merangkul lengan sahabatnya seakan mahu menyerap segala kekuatan yang ada.

Sejak Nadine dan Harlem bertemu semula tempoh hari, Nadine kembali menjadi seorang yang Rosie pernah jumpa sewaktu mereka terserempak di stesen bas dulu.

Nadine lebih banyak diam. Dan ada sesekali Nadine selalu menangis seorang diri. Sungguh Rosie ikut simpati dengan nasib Nadine.

"Nadine, makcik minta maaf ya nak?" kekura tangan Nadine diramas. Sumpah makcik Una betul-betul dipukul dengan rasa serba salah yang menggunung setelah melihat keadaan Nadine sebegini rupa.

Jari menyeka air mata sendiri. Senyuman kelat diukir.

"Nadine tak pernah salahkan makcik pun." Nadine menggeleng kepala.

"Kalau makcik tak setuju dengan permintaan Harlem supaya dia datang ke sini untuk jumpa dengan Nadine, Nadine takkan jadi macam ni." nada suara makcik Una sarat dengan rasa sesal.

"Makcik rasa tersepit. Hari tu Harlem jumpa makcik. Dia merayu sungguh-sungguh dekat makcik sebab dia nak sangat jumpa Nadine. Makcik kesiankan dia, Nadine. Makcik tak nampak pun niat dia nak lukakan hati Nadine."

"Nadine masih isteri Harlem dan sebagai orang luar makcik tak ada hak nak halang Harlem untuk jumpa dengan Nadine. Tapi makcik tak sangka perbuatan makcik ni akan buat Nadine sedih." makcik Una tunduk.

Melihat Nadine terluka begini, hati tuanya turut berduka. Dia jaga Nadine sejak gadis itu masih bayi dan rasa sayang ini tak ubah seperti dia menyayangi anak-anak kandungnya yang lain.

"Makcik tak perlu serba salah. Nadine faham. Bukan sebab tindakan makcik yang buatkan Nadine jadi macam ni. Semuanya sebab Nadine sendiri. Nadine terlalu menabur harapan sampai akhirnya Nadine sendiri yang terluka."

Ah, mata ini pun. Tak penat ke asyik menangis dari tadi?

"Tapi Nadine, Harlem kan dah jujur dengan perasaan dia terhadap kau. Kau taknak bagi peluang untuk dia?" soal Rosie mencelah.

"Dan kau pun masih sayangkan Harlem juga kan?" sambung Rosie.

"Iya, Rosie. Saya sayang Harlem tapi saya takut kecewa lagi. Macam mana kalau Harlem tipu saya?"

NADINE SOFEAWhere stories live. Discover now