47 - NADINE SOFEA

6K 495 37
                                    

Kereta mewah pacuan empat roda itu berhenti tepat di hadapan pagar sekolah. Dengan rasa malas, Harlem ambil beg sandang di sebelah tempat duduknya lalu dikenakan pada belakang tubuh.

Kebiasaan setiap kali hari pertama bersekolah pada semester baharu, rata-rata pelajar akan lebih bersemangat turun ke sekolah. Lagi-lagi kanak-kanak yang seumur dengannya.

Bukan semangat nak belajar pun. Lama dah tak jumpa kawan. Sekali nak tunjuk beg baharu, kasut sekolah baharu.

Namun, Harlem lain. Bukan nak kata dia tak suka pergi sekolah. Cuma jika diminta untuk membuat pilihan, Harlem lebih suka duduk di rumah. Lebih santai dan tenang serta tidak perlu bersosial dengan semua orang. Memikirkan itu saja membuatkan Harlem sudah separuh lelah.

Puan Sri Anggun pun naik hairan. Selalunya kanak-kanak seperti Harlem lebih suka menghabiskan masa bermain bersama kawan-kawan tapi anak bongsunya ini sungguh berbeza. Sejak tadika hingga masuk sekolah rendah, tak pernah sekalipun Puan Sri Anggun mendengar Harlem bercerita tentang kawan-kawannya.

Bila ditanya, jawapannya dari dulu sama saja.

"Malas nak cari kawan."

"Harlem pergi sekolah elok-elok ya sayang. Jangan nakal-nakal tau." pesan Puan Sri Anggun berpaling ke belakang.

Harlem hanya angguk. Sebelum melangkah keluar dari perut kereta, kekura tangan ibunya di salam dan satu kucupan dihadiahkan ke pipi Harlem.

Kaki mula membuka langkah masuk ke perkarangan sekolah. Mata leka memerhati setiap wajah murid-murid yang sarat dengan teruja. Jauh di sudut hati Harlem, dia juga mahu merasakan perasaan itu. Rasa teruja ke sekolah untuk bertemu dengan kawan-kawan.

Mesti seronok kan kalau ada teman sepermainan? Semua benda boleh buat sama-sama.

Tidak sempat kaki melintasi pagar besar, mata Harlem tidak sengaja teralih ke arah sekujur tubuh yang hanya berdiri tegak di sebalik tiang besar tidak jauh darinya.

Riak polos milik si gadis sedikit melekakan Harlem. Rambut tocang dua. Mata bundar macam anak patung. Pipi pula kemerah-merahan.

Comelnya!

Tanpa sedar, kaki dibuka mahu menghampiri gadis comel itu.

"Hai." tegur Harlem berani. Entah dari mana datangnya keberanian itu tadi.

Gadis comel tunduk malu. Sempat juga matanya mencuri pandang wajah Harlem di hadapan. Sapaan Harlem tadi juga dibiar tanpa balasan.

"Kau budak baru?" soal Harlem lagi seakan memaksa gadis comel itu membuka mulut.

Kepala yang tunduk tadi menggangguk kecil.

"Oh. Patutlah aku tak pernah nampak kau sebelum ini."

Suasana sepi seketika.

"Nama aku Harlem. Nama kau siapa?"

Kali ini si gadis perlahan-lahan mengangkat wajah.

"Nadine." jawabnya ringkas.

Segaris senyuman terukir di bibir milik Harlem. Nama dan tuan empunya badan sama-sama comel.

"Kau nak kawan dengan aku tak?" tanya Harlem jujur dan polos.

Bibir Nadine turut senyum. Jadi, betullah kata ayahnya pagi tadi. Sebaik saja dia menjejakkan kaki ke sekolah baharu nanti, pasti ada yang mahu berkawan dengannya.

Semalam Nadine sampai tidak dapat tidur nyenyak memikirkan hal itu. Takut sangat kalau dia tidak di terima di sini. Atau mungkin Nadine dipinggirkan oleh murid-murid lain.

NADINE SOFEAWo Geschichten leben. Entdecke jetzt