12 : Cuci Periuk

158K 2.5K 126
                                    

Tepat jam 9, mama mengiringiku turun ke pelamin yang telah tersedia di ruang tamu. Terkejut aku melihat saudara rapat dari kedua belah keluarga papa dan mama ramai yang hadir untuk menyaksikan pernikahanku. Sebaik duduk di singgahsana pengantin, kakak sulung mama mengusikku.

"Lambat Qasha turun, nervous la tu. Kalau Mak Long pun nervous juga."

"Eh, nak nervous kenapa? Bakal suami Qasha tu sejuk mata Mak Ngah memandangnya. Beruntung Qasha tau." Mak Ngah pula mencelah. Aku cuma diamkan saja. Aku pandang Adam yang sedang bercakap dengan tok kadi. Tok kadi menunjukkan ke arahku dan Adam menoleh ke belakang.

"Hish, tengok tu dia senyum. Mak Long pula yang nervous." Mak Long mengusik lagi apabila Adam menghadiahkan senyuman ke arahku sebelum kembali memandang tok kadi. Apabila bacaan doa dimulakan, aku terus tunduk. Sebak yang datang menusuk di hatiku cuba aku tepis jauh-jauh.

"Umarussadam bin Abdullah." Panggil tok kadi.

"Ya, saya." Adam menyahut dengan yakin.

"Aku nikahkan dikau dengan Uqasha binti Badrul Hisham dengan mas kahwinnya seribu tiga ratus sepuluh ringgit, tunai." Aju tok kadi, jelas di telingaku. Mengapa RM 1310?

"Aku terima nikah-" Suara Adam tiba-tiba terhenti lalu aku dongakkan kepala. Kusangka dia mengubah fikiran, namun apabila mendengar gelak ketawa tetamu, aku tahu aku tersilap. Apatah lagi, dia dengan selamba menoleh ke belakang dan tersengih kepadaku.

Dengan tak semena-mena, aku terasa lucu, namun kuketap bibirku rapat-rapat cuba menahan diri daripada tertawa sama.

"Alah alah alah, comel pula Adam ni Mak Long tengok." Usik Mak Long lagi. Aku terus menundukkan kepala. Hatiku terdetik, biarlah dia tersasul atau tersalah atau terlupa akadnya lagi sampailah pernikahan ini dibatalkan.

"Maaf, berdebar. Sekali lagi, ya?" Pinta Adam selamba dan semua tetamu seakan suka dengan gelagatnya. Timbul persoalan di mindaku, adakah dia memang sengaja berdrama begitu?

"Ya, ya. Tok faham. Pengantin perempuan cantik sangat, ya? Tu pasal berdebar tu." Tok kadi ikut tersengih sama.

"Cantik, tok. Cantik sangat." Puji Adam selamba. Tetamu perempuan berbisik-bisik. Mak Long terus mencuit lenganku, kemudian tersenyum lebar. Mama juga turut sama terhibur.

"Baiklah. Tarik nafas panjang-panjang, kita cuba sekali lagi. Umarussadam bin Abdullah." Aju tok kadi sekali lagi. Adam menyahut dengan lebih yakin.

"Aku nikahkan dikau dengan Uqasha binti Badrul Hisham dengan mas kahwinnya seribu tiga ratus sepuluh ringgit, tunai." Aku menutup mataku, bersedia untuk mendengar suara Adam pula.

"Aku terima nikahnya Uqasha binti Badrul Hisham dengan mas kahwinnya seribu tiga ratus sepuluh ringgit, tunai." Percubaan kedua Adam ternyata lebih lancar, dan selepas mendengar pengesahan daripada saksi, tumpahlah airmataku mengalir di pipi.

Aku kini sah bergelar isteri orang. Isteri Adam, out of all people.

Mama menarikku ke dalam pelukan, kemudian Mak Long dan Mak Ngah menurut. Ucu yang duduk jauh sedikit dariku hanya tersenyum. Ucu, adik bongsu mama yang pernah menjagaku di Kota Bharu selama setahun hanya membatu. Entah kenapa aku terasa asing tiba-tiba dengan kehadirannya.

Kedua tangan kemudian diangkat mengaminkan doa, ironik dengan hatiku yang masih tidak redha dengan pernikahan ini. Apabila upacara bertukar cincin dan pembatalan wuduk berlangsung, mata Adam sayu melihat airmataku yang masih tumpah.

Tangannya dihulur, dan lambat-lambat aku sambut dan cium. Terasa bergetar hatiku. Inilah sentuhan pertamaku sebagai isterinya yang halal.

Adam kemudian menarik kepalaku dan mencium ubun-ubunku, lama. Mak Long di sisiku mula berdehem, namun tidak dipedulikan Adam. Bibirnya masih melekap di kepalaku.

RAW || Uqashaحيث تعيش القصص. اكتشف الآن