51 : Pulang Paku

125K 2.1K 256
                                    

Aku tenung air teh O panas dalam cawan di tanganku. Fikiranku sikit menerawang, dihantui pelbagai persoalan. Bunyi derapan kaki di tangga menyentak lamunanku dan pandanganku dilontar ke sana. Adam berhenti di kaki tangga dengan T-shirt dan seluar tidur di tubuh.

Pandangan kami bersatu dan wajahnya masih kurang mesra. Tapi, apabila bicaranya diucap, sudah kedengaran lebih lembut daripada semalam. "Saya lapar. Boleh tak kalau kita makan dulu?"

Tiba-tiba? Jujur, seleraku sudah hilang sejak risau melanda hatiku. Tapi, aku cuba sembunyikan dan aku letak kembali cawan di atas meja kopi. "Okay. Awak nak makan di luar atau-"

"Lauk tomyam semalam ada lagi, kan? Kita makan tu jela. Lagipun, boleh tahan sedap juga masakan awak rupanya." Ujar Adam, lalu menapak ke dapur.

Eh, mana dia tahu apa rasa tomyam masakanku semalam?

Aku ikut langkahnya ke dapur dan dia mengeluarkan bekas yang menyimpan tomyam bebola daging semalam dari peti sejuk. Kemudian, dia ambil satu periuk tanah dan masukkan semua ke dalamnya. Api dihidupkan dan kuah minyak yang sudah berketul apabila disimpan dalam peti sejuk itu mula mencair.

"Saya turun makan malam tadi, tapi awak dah tidur." Bicara Adam tiba-tiba, menjawab soalan yang terlintas di benakku. Ya, aku tidur awal malam tadi sebab agak keletihan. Aku tak tahu mahu jawab apa. Terkejut, ya, aku terkejut. Tak sangka rupanya dia ada menjamah masakanku semalam. Tak mahu berdiri kekok di dapur bersamanya, aku keluarkan baki nasi semalam dan panaskannya dalam microwave.

5 minit kemudian, kami sudah duduk di meja makan, menikmati lauk semalam. Tak dapat aku gambarkan perasaanku apabila Adam makan masakanku bertambah-tambah, menghabiskan lauk. Aku cuma menjamah sikit saja, sudah kenyang melihat Adam makan dengan penuh selera.

Selesai makan, aku angkat pinggan kotor ke sinki dan membasuhnya. Adam menyimpan kembali lebihan nasi ke dalam peti ais. Sewaktu membilas pinggan terakhir, dapat aku rasakan kehadiran Adam di belakangku.

"Saya tak tahu apa hasil perbincangan kita kejap lagi, tapi saya nak awak tahu, saya sayangkan awak, Qasha." Adam bersuara dari belakangku. Tangannya naik ke bahuku dan dia meramas lembut. "Apapun yang terjadi, saya tak nak sesaat pun awak ragui perasaan saya pada awak. Itu saja permintaan saya."

Apakah maksud kata-kata Adam?

Tangannya diturunkan. "Saya tunggu di ruang tamu." Aku rasakan kewujudannya hilang dari belakangku dan aku letakkan pinggan basah itu untuk ditoskan di rak. Masih sikit cuak dengan perkara yang ingin diperkatakan Adam, aku mengambil masa mengelap tanganku dengan kain maslin, mengambil nafas panjang, dan akhirnya mengambil tempat di sofa.

Demi first rule, aku dan Adam duduk di sofa yang berbeza dan saling menghadap. Air teh O panas yang aku buat tadi masih terhidang di atas meja kopi, tapi sudah bertukar sejuk.

"Awak nak bincang tentang apa?" Aku memberanikan diri bersuara apabila Adam masih diam, memandangku tanpa sebarang bicara. Aku menjadi semakin tak keruan apabila matanya seolah-olah cuba membaca mindaku.

"Apa yang awak rahsiakan daripada saya, Qasha?" Adam terus menyoal. Terhenti nafasku sesaat apabila disoal begitu.

"R-rahsia apa? Saya tak ada b-berahsia apa-apa daripada awak." Aku cuba bertenang. Mungkin Adam hanya berserkap jarang saja padaku.

"Please, Qasha? Awak cakap awak sayangkan saya. Tolong jangan tipu saya?" Suaranya mendesak dan merayu. Pandangan matanya tepat menikam anak mataku, membuatkan aku semakin cuak. Rahsia apa yang dimaksudkannya?

"Saya- saya tak pasti apa yang awak cuba sampaikan, Adam." Aku masih berlagak naif, menyebabkan Adam tertunduk dan meraup wajahnya.

"Qasha, please." Rayu Adam lagi, mengangkat sikit wajahnya memandangku. Aku angkat kedua kakiku naik ke atas sofa dan memeluk lututku. "Saya tak berahsia apa-apa daripada awak." Aku cuba katakan seyakin yang boleh. Kufikir dia termakan penafianku apabila dia terus terdiam, tapi apabila dia membuka mulutnya, aku rasa bagai nak pitam.

RAW || UqashaWhere stories live. Discover now