63 : Bicara Bantal

149K 2.4K 136
                                    

Harus rasa bagaimana ini?

Tangan Adam mencapai tanganku dan menggenggamnya. Aku angkat wajah dan toleh ke arahnya yang sedang peka memandu, tapi masih sempat menoleh ke arahku selang beberapa minit. Mata kami bertembung beberapa saat sebelum pandangan Adam dilarikan semula ke depan, atau ke cermin tengah, atau ke cermin tepi, memeriksa trafik.

"Macam mana kalau mama mati?" Soalan celupar itu jika diucapkan ketika sedang leka bergembira, pasti kedengaran kurang ajar. Tapi, saat ini hatiku sedih. Tubuhku masih menggeletar. Jiwaku kacau. Dan aku masih tak tahu aku harus rasa bagaimana.

"Qasha, jangan fikir yang bukan-bukan. Kita doakan yang terbaik untuk mama." Pujuk Adam dan meramas tanganku lagi, sebelum dilepas beberapa saat untuk menukar gear. Selepas itu, tanganku diraih semula.

"Kalau mama mati, semua salah saya." Gumamku perlahan. Aku menundukkan pandanganku dan memejam mata.

"Sayang, ajal maut mama bukan di tangan awak, tapi di tangan Tuhan." Adam masih cuba memujuk dalam pada dia cuba mempercepatkan perjalanan kami ke hospital besar.

"Jadi, kalau mama mati, itu salah Tuhan." Aku menyimpul daripada kenyataan Adam. Aku dengar dia mengeluh, mungkin serabut kerana dari tadi aku sibuk merepek pelbagai kemungkinan. Selepas memotong sebuah lagi kereta, Adam menjawab, "Kita semua hak Tuhan, Dia berhak ambil nyawa kita bila-bila masa, Qasha. Jadi, kita sebagai hamba kena redha."

Aku terdiam. Dalam kenakalannya di ranjang pagi tadi, aku terlupa aku pernah menggelarnya gayboy alim dulu. Apabila perbualan merepek itu sudah dibawa ke arah keagamaan, aku memilih untuk diam.

Hampir setengah jam kemudian, kami tiba di hospital besar. Papa sudah menunggu kami di lobi, dan kami bertiga naik ke bilik pesakit VIP tempat mama dirawat.

Dari pintu bilik, aku lihat bermacam jenis wayar berselirat di tangan mama. Ada alat bantuan pernafasan dipakaikan di hidungnya. Ada pendakap tengkuk tersemat di leher. Kepala mama juga berbalut. Perlahan-lahan, aku menapak masuk bersama Adam di belakangku.

"Sepatutnya, mama bertemu dengan papa pukul 9 pagi tadi untuk tandatangan beberapa borang berkaitan perpisahan kami di pejabat guaman papa. Tapi, sampai jam 10 pagi papa dan peguam menunggu, mama tak sampai juga. Papa cuba telefon, tapi tak berjawab." Papa memulakan ceritanya dari kaki katil.

"Papa tak sedap hati, lagi-lagi lepas apa yang terjadi malam tadi antara mama dan Qasha, jadi papa pulang ke rumah mama bila pekerja mama katakan mama tak datang bekerja hari ni. Bila papa tiba, papa lihat mama dah terbaring di kaki tangga, tak sedarkan diri."

Kenyataan papa menikam jantungku tepat dan padu. Mataku mula bergenang, melihat mama masih terkujur kaku tak bergerak di atas katil hospital itu. Adam menghampiriku dan memelukku dari tepi.

"Berdasarkan kecederaan mama, doktor syak mama jatuh tangga dan tak sedarkan diri lebih dari 10 jam. Mama tiada luka teruk di luar, tapi berlaku pendarahan di dalam otaknya, dan hampir separuh kepalanya sudah dipenuhi darah beku. Doktor sendiri tak pasti berapa lama mama boleh bertahan." Suara papa bergetar. Aku tak perlu menoleh ke arahnya, aku tahu dia sedang menahan tangis.

"Mama koma." Itu 2 bait kata yang melekat dan bermain di fikiranku sejak Adam khabarkan padaku berita itu pagi tadi. Seluruh sarafku masih terkejut dengan berita itu, sehingga saat ini aku masih tak tahu harus rasa bagaimana.

Bukankah baru semalam aku terserempak dengannya di tangga, dan dia memberitahuku Mak Nah kini di rumah papa? Bukankah baru semalam dia cuba mengajak aku menonton filem atau sekadar pillow talk dengannya sebelum tidur? Bukankah baru semalam aku nampak dia menyelinap kekasih gelapnya keluar mengikut laman belakang?

RAW || UqashaWhere stories live. Discover now