30 : Sosej Panas

179K 3.8K 83
                                    

Adam terkebil-kebil memandangku. Keningnya sikit berkerut, sebelum aku tarik kembali senyumanku dan menjeling manja, lantas melewatinya untuk membuka peti sejuk. Aku keluarkan sosej ayam blackpepper dari bahagian freezer dan menoleh ke arah Adam sambil menutup kembali pintu peti ais.

"Saya nak goreng sosej, awak nak sekali tak?" Tanyaku, seolah-olah usikan nakalku sebentar tadi tak bermakna apa-apa. Adam menarik senyum kecil dan menggeleng kepalanya. Aku membuka paip air panas di sink dan memulas tombol untuk mencari suhu yang sesuai.

"Okay, suit yourself. Nanti saya makan, jangan terliur pula." Aku terus melarikan air suam ke paket sosej itu dan mengeluarkan semuanya. Kemudian, aku bilas dan Adam sudahpun memanaskan minyak untukku. Aku toskan sikit sosej yang basah itu sementara Adam memotong lasagnanya.

Okay. Ini menakutkan. Aku ada kenangan buruk tentang minyak panas, jadi aku merasa sikit fobia untuk memasak sebenarnya. Aku ambil sebatang sosej dan teragak-agak untuk mencampaknya atau meletakkan perlahan-lahan. Kalau campak, nanti minyak terpercik. Kalau letak perlahan-lahan, nanti minyak yang meletup-letup terkena tangan pula.

Aduh, bagaimana ni? Haa, tu lah, mengada cakap nak makan sosej lagi. Kan dah kena goreng betul-betul.

Sedang aku berkira-kira, asap sudah naik berkepul-kepul menandakan minyak di kuali leper itu sudah terlebih panas. Adam yang terbaukan minyak hangit itu terus menoleh ke arah kuali, memandangku, kemudian terus mematikan api. "Kenapa ni? Tak jadi nak goreng sosej?" Tanyanya perlahan.

Aku menelan liur. "Saya takut minyak panas."

Adam menarik senyum lebar dan merapatiku. "Tak perlu takut. Awak letak je perlahan-lahan, jadi minyak tak terpercik keluar."

"Tapi, nanti dia meletup-letup!" Tegasku. Adam tersengih. "Ya, kadang-kadang meletup sikit, tapi tak sakit pun. Mari saya tunjuk."

Adam mengambil sebatang sosej dari pengetos, menghidupkan kembali api dan meletakkan sosej itu ke dalam kuali perlahan-lahan. Aku melihat minyak itu meletup dan mengenai tangan Adam, tapi dia sikit pun tak terkesan.

"Awak pula. Cepat, minyak dah panas." Adam menarikku ke sisinya dan memegang tanganku, dan dibawa ke sisi kuali. "Lepaskan." Bisik Adam, lalu aku lepaskan dan minyak pun meletup. Aku terus menjerit terkejut, mahu menjauhkan diri dari kuali tapi Adam cepat-cepat menarikku.

"Qasha. Awak kena beranikan diri. Sampai bila awak nak terus melarikan diri bila berhadapan dengan sesuatu yang awak tak suka?" Soalan Adam itu kedengaran naif, tapi entah kenapa aku dapat rasakan ada maksud yang lebih dalam daripada itu.

Aku terdiam. Ya, aku memang suka lari daripada perlu berhadapan dengan sesuatu yang aku tak suka. Aku suka menjauhkan diri, tak mahu berfikir untuk menghadapi perkara yang aku tak suka. Aku lebih gemar mencari jalan mudah dan melupakannya.

"Mari, cuba lagi." Adam menarikku berdiri di depannya, dan kedua tanganku diraih oleh kedua tangannya. Tangan kiriku di bawa memeluk tubuhku, dan sebelah kanan dikawal Adam agar aku mengambil sosej lain daripada pengetos.

"Jangan takut, saya ada." Bisik Adam di belakangku, lalu tanganku dibawa menghampiri kuali yang masih berdesir. "Okay, lepaskan." Suara Adam perlahan memberi arahan dan aku lepaskan sosej itu teragak-agak. Aku cuba menarik tanganku apabila minyak itu meletus tapi tangan Adam yang masih memegang di belakang tapak tanganku terus menghentikanku.

"Jangan takut. Nak menggoreng ni, awak kena tahu jarak awak dengan minyak. Tak terlalu jauh sampai boleh buat minyak terpercik, tapi tak terlalu dekat sampai tangan awak terkena minyak panas." Adam memberi kata-kata semangat sambil tanganku digerakkan lagi mengambil sosej-sosej yang lain. Aku mula mendapat rentaknya, dan fobiaku sikit-sikit menghilang apabila semakin banyak sosej aku lepaskan ke dalam kuali.

RAW || UqashaWhere stories live. Discover now