-1-

1.1K 76 86
                                    

HUTAN SIMPAN HUJUNG TANJUNG

Lelaki berpakaian seragam celoreng kelabu dan merah dengan berret berwarna merah dan berlogo itu menatap setiap wajah di hadapannya dengan tenang.Walaupun tidak dinafikan bahawa setiap daripada sebelas ahli pasukannya itu kelihatan penat tetapi tidak ada seorang pun yang merungut kerana mereka tahu itu adalah tugas,amanah dan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan.

Dengan tegas dan pasti dia mengangkat pergelangan tangan kanannya menatap jam tangannya dan kemudian beralih kepada wajah-wajah di hadapannya ketika itu.

" Tepat jam 1700 hrs 25 Mei 2018, operasi SAR untuk mencari dan menyelamat mangsa tragedi pesawat Helistar model EC 120B ( Colibri) di tamatkan setelah Time Frame For Survival (TFFS) melepasi hari yang ke tujuh."

Bersama helaan nafas dan anggukan-anggukan kecil daripada ahli pasukannya,dia menyudahkan taklimat akhir lewat petang itu dengan wajah yang suram.

" Faizal."

" Saya , tuan. "

" Pastikan laporan diperiksa dengan teliti sebelum menyerahkannya kepada Tuan Shahruddin untuk sidang media malam nanti. " Ujarnya mengangkat fail dan helaian kertas di atas meja. " Sementara yang lain bersiap untuk kembali ke pusat operasi.."

Sama sahaja seperti sebelum-sebelum ini.Walaupun sudah belasan tahun dia berkhidmat dengan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia tetap sahaja membawa perkhabaran tentang pemberhentian operasi mencari dan menyelamat kepada ahli-ahli keluarga mangsa menjadi satu bahagian yang paling dibencinya daripada seluruh rentetan sejarah dan pengalaman kerjanya selama ini.

16 Mei 2018. Seminggu yang lalu dia mengetuai sepasukan anggota pasukan Bomba & Penyelamat Malaysia memulakan operasi mencari dan menyelamat( Search And Rescue-SAR ) apabila menerima laporan tentang tragedi sebuah helikopter persendirian milik Tanjak Holdings Sdn.Bhd yang dalam penerbangan peninjauan untuk sebuah projek pembinaan empangan terhempas di kawasan Hutan Simpan Hujung Tanjung.Dengan dibantu belasan ahli pasukannya dan kemudian di bahagikan kepada 3 sub unit yang lebih kecil,mereka memulakan usaha untuk mencari dan menyelamat mangsa kemalangan tersebut setelah mendapat laporan rasmi.

Hari kedua operasi, mangsa pertama yang kemudian dikenali sebagai Kapten Magendran juruterbang pesawat ringan tersebut ditemui dalam radius sekitar 3 kilometer dari kawasan kejadian.Lelaki berusia 39 tahun itu ditemui berhampiran sebatang anak sungai dalam keadaan separuh sedar dan kecederaan pada lengan serta kakinya.

Hari kelima operasi.Penemuan mayat mangsa pertama tragedi itu hanya beberapa meter dari tempat Kapten Magendran ditemui.Daripada ciri fizikal mangsa, dipastikan bahawa mangsa adalah Eric Mun .Pembantu jurutera dan berusia 32 tahun dan sehingga operasi SAR di hentikan, mereka masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital.

Mangsa terakhir yang berjaya ditemui adalah seorang lagi daripada kakitangan Tanjak Holdings Sdn.Bhd yang turut serta dalam penerbangan tersebut.Namun penemuan mayat tersebut paling membuatkan Hafizul tertanya-tanya.Dengan penemuan serpihan pesawat tersebut yang berkecai akibat impak letupan selepas terhempas, mayat lelaki yang satu itu masih dalam keadaan utuh.Berkiam serta terbujur di bawah sebatang anak pohon yang rendang dan rumput-rumput sekitar mayat tersebut di temui kelihatan seperti telah di luaskan dan diratakan oleh sesuatu .

Mangsa terakhir yang sehingga ke minit melepasi waktu 7 hari- Nik Aizuddin -yang merupakan jurutera utama projek pembinaan empangan tersebut masih belum dapat di temui dan tidak kelihatan sebarang tanda akan keberadaannya di mana-mana.

Pelbagai usaha sudah dilakukan termasuklah bantuan daripada penduduk orang asli yang mahir dalam selok belok hutan tersebut namun tetap sahaja pemuda itu gagal ditemui.

Bantuan daripada pasukan Polis melalui Pasukan Gerakan Am,Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia
( RELA) malah strategi menggugurkan bungkusan bekalan makanan di kawasan yang difikirkan strategik juga tidak membuahkan sebarang hasil.

" Tuan.." Salah seorang daripada ahli pasukan operasi mencari dan menyelamat itu menepuk bahunya membuatkan dia menoleh. " Semua sudah siap.Kita boleh bertolak sekarang.."

Sambil mengerjapkan matanya, Hafizul menoleh sekali lagi cuba memastikan apa sebenarnya yang dilihatnya sebentar tadi bukanlah khayalannya semata-mata.

Langit Maghrib sekoyong-koyong samar dengan juraian awan tipis mulai berarak menutupi sebahagian wajah bulan yang sudah naik hampir sepenggalah.Hafizul menoleh lagi untuk kesekian kalinya sebelum menaiki jip yang sudah pun dihidupkan enjinnya.Mendadak sayup-sayup melengking samar di bawa angin semilir yang menebar bau hamis,kedengaran suara lolongan anjing.Lirih.Panjang sekali membuatkan bulu roma Hafizul tiba-tiba meremang.

Angin yang berhembus sebentar lembut sebentar kasar menghantar bunyi kersak-kersik ranting dan daun kering yang bertaburan seperti di pijak seseorang atau lebih tepatnya sesuatu.Seseorang atau sesuatu yang tak kasat mata kerana dia menyedari tidak ada sesiapa di belakang .Hanya sebuah kawasan lapang yang sedikit becak dengan bekas-bekas kayu terpacak di sana-sini dan telah menjadi pusat operasi sementara mereka sejak seminggu yang lepas.

Lolongan anjing semakin sayup dan bau hamis yang menyeruak memenuhi hidungnya bertukar kepada bau harum bunga Kemboja dan Melur.Spontan dia teringat kisah yang dibeberkan dari mulut ke mulut oleh orang tua-tua di kampungnya dulu.Bunyi jika kedengaran jauh sebenarnya ia dekat.Bau yang meringin harum sebenarnya ia busuk sekali, lantung dan maung.Dalam hati entah mengapa dapat dia merasakan belasan ahli pasukannya itu seakan tidak menyedari suasana aneh itu kerana mereka kelihatan sibuk memasukkan barang ke dalam trak.

Perlahan-lahan jip tersebut mulai bergerak meninggalkan kawasan itu namun Hafizul benar-benar tersentak apabila dari ekor matanya sekilas dia melihat ada sesuatu yang mengerdip perlahan dari celah rimbunan daun di sebelah kanan.

Sepasang mata !

* * *

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now