33

427 58 3
                                    

Pintu lif terbuka. Aku melangkah keluar dan menuju ke tandas yang dimaksudkan. Pada mulanya, aku teragak-agak untuk masuk ke dalam. Apakan daya, aku lebih takut jika terbuang di dalam seluar berbanding takut melihat 'hantu'.

Aku tidak lupa untuk membaca doa. Hati ku juga berzikir berpanjangan. Untuk beberapa ketika, keadaan di situ sunyi dan hanya aku di dalam tandas. Kemudian aku terdengar derapan kasut bertumit tinggi masuk ke dalam tandas. Aku hanya membatu. Bukan aku sahaja yang bekerja pada waktu malam. Orang lain juga ada tugas yang perlu disiapkan.

Usai membuat perkara yang patut, aku membuka pintu tandas untuk menuju ke sinki. Aku sedikit terperanjat kerana terlihat seorang gadis berambut perang berumur lewat 20-an sedang membasuh muka di sinki.

Aku membasuh tangan. Tiada niat untuk menegur gadis tersebut. Tanpa sedar, dia memulakan perbualan. Sepatah yang ditanya, sepatah yang aku jawab. Dia bekerja di tinggat 4 ini sebagai PA kepada pengurus pejabat.

Muka gadis itu kelihatan sedikit penat, menampakkan lingkaran gelap di bawah matanya. Aku bertanya pada gadis tersebut, adakah dia terlalu penat dan tidak mendapat tidur yang cukup? Dia menggelengkan kepalanya menunjukkan itu perkara yang tidak benar.

Pada mulanya, aku agak menyesal setelah mengajukan soalan tersebut kerana aku telah membazirkan masa ku di tandas tersebut selama 30 minit. Akan tetapi, setelah mendengar cerita gadis tersebut, aku berasa serba salah dan kasihan kepadanya.

...................................

Apabila sudah dapat menyesuaikan diri di pejabat ini, aku tidak lagi risau sekiranya perlu bekerja pada waktu malam. Aku juga sering menggunakan tandas di tingkat 4 pada waktu malam. Aku juga sering ketemu gadis berambut perang itu di tandas. Bagiku, tiada apa-apa yang perlu aku takutkan kerana aku belum dan tidak pernah terserempak dengan hantu yang berada di tandas tersebut.

Jika ternampak kerusi bergerak dengan sendiri di dalam pejabat, itu perkara biasa. Jika terdengar benda-benda jatuh sedangkan tiada siapa yang mengusiknya, itu perkara biasa. Jika ternampak 'bungkusan gula-gula' berdiri di tepi meja, itu juga perkara biasa.

Tapi..... mungkin juga aku terlampau yakin. Tiba lah suatu malam yang membuatkan aku tidak berani ke tandas di tingkat 4 itu lagi. Ceritanya, aku mula berasa mengantuk kerana sudah menghadap kerja selama berjam-jam. Ketika itu, aku seorang sahaja yang berada di Wing C. Tapi masih terdapat beberapa orang pekerja di Wing A dan Wing B.

Memandangkan aku berseorangan, aku memutuskan untuk pulang dan menyiapkan kerja pada esoknya. Sebelum itu, aku turun ke tingkat 4 terlebih dahulu untuk ke pejabat yang beroperasi di situ. Manalah tahu, aku terserempak dengan gadis yang aku terjumpa di tandas sebelum ini. Boleh juga berborak-borak untuk hilangkan rasa mengantuk sebelum pulang.

Aku berdiri di hadapan pintu pejabat. Kelihatan beberapa kelibat pekerja yang masih segar matanya. Mereka juga kelihatan agak gelabah. Mungkin mereka perlu menyiapkan kerja tersebut dalam waktu yang singkat.

Mata ku melilau mencari wajah gadis berambut perang itu. Namun, orang lain pula yang menjadi fokus ku. Seorang rakan dari sekolah menengah yang sama, Mas. Rasa rindu mula menjengah di hati. Dia mengajak ku masuk ke ruangan tempatnya bekerja. Kami berborak panjang melepaskan rindu.

Mas ialah seorang pelajar dengan keputusan SPM yang cemerlang. Katanya, dia tidak mempunyai wang yang cukup dan memutuskan untuk tidak menyambung pelajarannya di peringkat yang lebih tinggi. Keluarganya lebih memerlukan wang memandangkan dia masih mempunyai adik-adik yang masih bersekolah.

Mas membuat keputusan untuk mencari kerja dan akhirnya, dia di sini. Dia sudah pun bertugas di sini selama 3 tahun. Aku bangga mempunyai kawan seperti Mas. Dia tidak mementingkan diri. Dia juga menaman niat untuk bekerja agar dapat meringankan beban keluarganya.

Semasa berbual-bual bersama Mas, wajah gadis yang aku selalu terjumpa di tandas itu muncul di dalam kotak fikiran ku. Aku bertanya kepada Mas tentang gadis tersebut. Dia memberitahu ku bahawa dia merupakan salah seorang pekerja di pejabat tingkat 4 ini.

Setelah bertanya dan bercerita tentang gadis tersebut, Mas berdiri dan mendekati satu meja yang terdapat di situ. Kemudian dia kembali ke mejanya bersama frame gambar di tangannya. Aku melihat gambar yang ditunjukkan lalu mengangguk menandakan aku mengenali gadis tersebut.

Mas memberitahuku bahawa gadis itu telah pun meninggal dunia 2 tahun yang lalu dan mayatnya dijumpai di dalam tandas tersebut. Ketika mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulut Mas, terasa seperti gugur jantung ku. Lutut ku berasa lemah.

Inilah yang membuatkan aku sedikit benci pada diriku. Aku masih tidak dapat membezakan 'seseorang' itu manusia atau sebaliknya. Aku beristighfar. Tidak patut aku berfikir begitu. Tentu ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Namun, setelah mengetahui dan perkara ini terjadi pada diriku, aku tidak lagi mengunjungi tandas tingkat 4.

Aku rela pergi ke tandas di tingkat lain jika tandas tingkat 5 sedang dalam proses pembersihan. Dan satu perkara lagi yang aku baru sahaja tahu. Aku ini tidak pandai berbahasa Cina (mandarin), maka aku tidak mengetahui bahawa 4 dalam bahasa Cina disebut 'Sì'. Sebutannya hampir sama dengan 'Sǐ' iaitu mati.

APA YANG AKU NAMPAK? [COMPLETED]Where stories live. Discover now