AKIRA 2

313 6 0
                                    

Beberapa bulan lalu...

Hampir terjojol biji mata aku tengok puluhan gambar lelaki pelbagai rupa, warna kulit dan gaya di atas meja. Aku memandang umi yang sudah tersenyum simpul bahagia. Bibirnya mengalun lagu yang aku yakin umi gubah sendiri. Lirik dia terlalu 'komersial' untuk penulis lirik  professional gubah.

"Kucingnya gebu bak mashmellow

Tapi baunya macam telur

Bulu pun warna nak yellow"

Seluruh badan aku ngilu dengar lagu dan lirik rekaan umi, macam ada orang guna kuku cakar pada papan hitam. Itu tahap ngilu yang menyentap satu badan aku.

Tambah pula suara umi yang, bukan nak kata apa, tapi memang sumbang. Tak sah kalau muka tak mengerekot setiap kali umi buka sesi karaoke dia. Berbulan-bulan aku dan Naufal mogok kat ayah sebab melayan permintaan umi untuk beli sistem home karaoke set. Tu tak masuk jiran buat aduan kat ketua kampung. Ayah senyum je. Cinta punya pasal, dipekakkan telinga, ditebalkan muka.

Aku teringin nak ada suami macam ayah. Seluruh jiwa dan raga dia berpaksikan umi. Ayah tak boleh tidur kalau umi tak ada di sebelah. Bila dia kena pergi oustation untuk beberapa hari, dia angkut umi sekali. Kami adik-beradik duduklah rumah Tok Abah atau rumah Moksu, adik ayah.

Aku segera palukan soalan pada umi. Tak sanggup dah nak dengar lagu bertemakan kucing dia tu.

"Siapa diaorang ni umi? Skandal umi ke?" Aku melabuhkan punggung di sebelah umi. Kaki aku silang, bersila di atas sofa. Ais krim rainbow dalam cawan aku suap rakus ke dalam mulut sambil sekeping gambar lelaki aku ambil dan belek sekilas. Biasa saja muka. Tak gah mana pun. Hidung macam penyangkut baju. Mata besar macam lampu suluh. Bibir tebal seinci. Unik betul citarasa mak aku ni. Nasib baik ayah hensem.

Umi menepuk peha aku tanda marah dengan kelancangan lidah aku mengenakan dia. Aku mengambil gambar lelaki lain pula. Okay la. Ada la iras-iras abangla jaga sekolah aku dulu.

"Siapa ni umi?" Tanya aku dengan mulut penuh dengan ais krim.

"Ada yang Aki berkenan tak?" Umi bermain kening sambil matanya menjamah segenap wajah aku.

"Dengan abangla ni? Kirim salam. Kalau dengan Arjun Rampal tak jugak. Umi, siapa lelaki-lelaki ni semua? Kalau bukan skandal, apa dia? Umi jangan umi. Aki report kat ayah nanti baru tau!" Aku menayang gambar seorang lelaki ke arah umi. Mak aku ni bukan boleh percaya sangat. Ada juga skru tak berapa nak ketat dalam kepala dia kadang-kadang. Umi menampar peha aku lagi.

"Mulut tu umi cilikan nanti baru tahu! Ni bukan skandal umi la!" Marah umi beriya.

"Dah tu apa dia?" Aku menyuap lagi sesudu ais krim ke dalam mulut. "Ni semua calon-calon bakal suami Aki!"

Pfftt!

Ais krim rainbow tersembur dari mulut aku dan tertepek ke wajah bersih umi.

"B-Bakal suami?" Aku tersedak sambil menepuk dada banyak kali. Umi memejamkan mata sambil mengesat wajahnya yang disaluti campuran ais krim dan air liur aku dengan tisu.

"Ada sebab kenapa umi tak bagi anak-anak umi makan ais krim kat ruang tamu tau!" Bertubi-tubi cubitan hinggap di serata tubuh aku. Aku bingkas bangun dan berdiri agak jauh dari umi dan sofa.

"Apa maksud umi dengan bakal suami?" Aku memandang umi tajam.

Setelah bersih wajahnya dikesat, umi berdehem kecil sebelum membalas pandangan tajam aku.

"Aki kan dah 24 tahun. Boyfriend pun Aki takda. Umi risau tau Aki. Sebab tu umi carikan Aki calon-calon untuk jadi suami Aki. Ni ada 50 orang semuanya. Jangan risau, umi dah tapis elok-elok kat Facebook, Whatsapp, Instagram, Telegram, Tiktok, Tinder. Yang tinggal ni semua yang bagus, yang berkaliber tau." Jelas umi penuh semangat.

KITADonde viven las historias. Descúbrelo ahora