Teaser Makna Pada Rasa 2

162 1 0
                                    

"Ibu? Norhan? Kenapa ni?"Serentak itu mereka melangkah laju mendapatkan ibu. Kenapa ibu tidak mahu memandang? Nuqman merangkul ibu sekuat hati ke dalam pelukannya. Cemas terlalu kuat berpalu di hati. Bibirnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci memohon perlindungan Allah dari sebarang musibah.

Nabil mendapatkan Norhan yang terlalu lambat melangkah. Mata abangnya tidak tentu arah, berlari ke sana sini, mengelak dari memandang Nabil atau Nuqman. Nabil mula tidak sabar dengan tingkah abangnya, memegang kedua bahu Norhan, "abang? Kenapa ni, abang? Ke-kenapa sampai macam ni?"

Norhan tidak menjawab. Dia terus melangkah lemah hingga akhirnya terduduk di sofa.

"Han?" Nuqman bersuara sepatah. Norhan tidak pernah begini.

"Diaorang datang, Abang Man..." Matanya hanya tertancap di lantai. Nuqman dan Nabil berpandangan.

"Dia-diaorang?" Kening Nuqman rapat bertaut. Nabil sudah menggaru kepala.

"Mak ayah Najjah..."

"What?" Pekik Nabil sebelum sempat Norhan menghabiskan kata.

"Ya, Tuhan. Drama apa pulak ni? Apa yang Abang Han cakap ni? Jangan main-main boleh tak?" Nabil sudah macam-macam aksi di tengah-tengah ruang tamu.

"Nabil!" Aksinya mati sebaik saja suara Nuqman menyergah. Wajahnya serta-merta berubah. Pucat. Tak mungkin itu benar? Tak mungkin! Kenapa dia tidak pernah tahu?

'Betul ke, bu?" Lembut Nuqman bertanya pada ibu yang dipeluk erat dalam pangkuannya. Ibu Aisyah hanya mampu mengangguk dan tangisnya terhambur lagi. Cepat-cepat Nuqman memaut kepala ibu ke bawah dagunya, menyatukan rasa agar dapat mengurang bebanan perasaan sedih yang teramat hebat itu. Dadanya kian berombak. Airmatanya sendiri sudah mengalir di pipi. Norhan dan Nabil terngadah memandangnya, lama. Namun abang sulung mereka sudah kehilangan suara.

Zohor beralih ke Asar. Asar beralih ke Maghrib. Sampailah Isyak bertandang. Mereka bergerak dalam diam. Hanya bertukar sapa, sepatah-sepatah. Tidak ada lagi gurau senda yang biasa kedengaran seperti pagi tadi. Tidak ada lagi usik mengusik seperti hari-hari semalam. Rumah itu seperti menghadapi sebuah kematian tanpa jenazah.

Mereka sudah lelah mengetuk pintu, memanggil dan menyeru. Sudah berbagai cara dilakukan untuk memujuk namun pintu bilik Najjah tetap terkunci rapat. Yang kedengaran hanyalah suara tangisannya yang semakin lemah, semakin sayu.

Nuqman begitu murung. Hati Puteri resah gelisah melihatkan Nuqman. Senyumannya benar-benar hilang. Namun Puteri dan Nur masih dilayan baik. Ditegur sepatah-sepatah. Saat Puteri dipanggil oleh Nuqman selepas Norhan dan Nabil membawa ibu mereka ke biliknya, hati Puteri bergetar sayu. Sepasang mata Nuqman hilang cahayanya. Dia bercakap tanpa memandang wajah Puteri. Entah kenapa, Puteri merasa terasing. Tiba-tiba Nuqman bagaikan tidak tergapai olehnya sedangkan hatinya amat ingin mendamaikan duka di hati lelaki itu.

Beg-beg berisi pakaian dan keperluan wanita yang dicampakkan di tepi pintu dikutip Nuqman satu persatu dan diasingkan kepada dua bahagian kemudiannya diserahkan kepada Puteri.

"Tolong sampaikan pada Nur, saya minta maaf sebab tak dapat bawa dia beli barang sendiri. Ika pun saya tak dapat bawa sekali. Bahaya. Pakaian tu, bukan saya yang pilih. Saya minta jurujual yang saiznya seperti Nur yang pilihkan. Yang ni, untuk Ika. Saya pilihkan sendiri. Cubalah. Kalau perlu tukar, kita tukar." Itu saja. Nuqman terus berlalu.

Puteri dan Nur semakin gelisah. Selesai mencuba pakaian yang dibeli Nuqman, mereka ke dapur untuk memasak. Rasa teruja dan terharu dengan pakaian serba baru itu tidak terluah. Masing-masing diam sambil menyiapkan juadah tengahari untuk semua. Namun nasi yang dimasak bersama lauk yang dihidangkan tidak siapa pun yang sudi menjamah. Hidangan untuk Najjah sudah ditukar ganti tetapi cuma sejuk di bawah tudung saji di atas meja kopi di hujung anjung. Dari tengahari sampailah ke malam, tidak ada siapa yang sudi ke dapur untuk mengalas perut.

Ibu Aisyah puas dipujuk tetapi seleranya hilang. Dia cuma mahu minum susu. Dari Zohor hinggalah ke Maghrib, dia menangis teresak-esak setiap kali selepas mengaminkan doa. Anak-anak lelakinya silih berganti memujuk sehinggalah tangisannya kembali reda.

Selepas solat Isyak, ibu Aisyah yang masih dalam keadaan bertelekung terbaring lesu di sofa di ruang tengah. Esak tangisnya sudah berhenti. Namun linangan airmata belum berpenghujung. Nuqman dan Nabil juga masih berjubah dan berserban, duduk termenung di anak tangga.

Norhan yang menyelinap keluar selepas solat Isyak, tiba-tiba melangkah masuk dengan gergaji berenjin yang baru diambil dari stor di belakang rumah. Nuqman dan Nabil bingkas bangun berdiri.

"Norhan?" Abang sulung mula bersuara.

"Apa nak jadi, jadilah, bang! Takkan kita nak biarkan dia berkurung macam tu? Dia adik kita, kan?" Emosinya jelas kacau. Nuqman mengambil keputusan untuk membiarkan saja. Norhan melangkah laju menaiki anak tangga. Seketika kemudian, deruman enjin gergaji memecah hening malam yang kian sunyi.

Tidak sampai sepuluh minit, pintu itu sudah terlubang. Norhan dapat mencapai selak di bahagian atas dan bawah pintu itu. Nuqman dan Nabil pula sudah terpacak berdiri di belakang Norhan, menunggu pintu itu dibuka.

Mata mereka bertiga meliar mencari Najjah. Bilik itu kosong. Hanya ada sehelai sejadah yang terhampar. "Najjah! Najjah!" Namanya diseru tetapi tetap tak ada jawapan.

Panik. Seorang membuka tingkap, seorang menjengah ke bilik air dan... Norhan ternampak satu susuk terbaring di kaki katil di tepi dinding.

"Najjah!"

Norhan melutut, menahan sebak sambil merangkul tubuh Najjah yang masih berbalut telekung ke dalam pangkuannya. Dalam payah, tubuh lemah itu diangkat dan dibaringkan di katil.

"Ika! Ika!" Puteri dan Nur yang sejak tadi berpegangan tangan sambil menadah telinga, cemas menunggu khabar Najjah terlompat bangun kerana terkejut. Suara Nuqman dan ketukan pintu yang bertalu-talu membuatkan dia tidak tentu arah menyarung tudung ke kepala.

"Tolong saya! Tolong tengokkan Najjah...!" Tangannya ditarik keluar. Terkocoh-kocoh Puteri mengikut Nuqman ke bilik Najjah. Nabil dan Norhan gelisah berdiri, tidak tahu apa yang patut mereka lakukan.

Puteri menyentuh pergelangan tangan Najjah. Nadinya lemah. Dia meminta mereka semua keluar dan Nur dipanggil untuk membantu. Ketiga-tiga lelaki itu patuh. Telekung Najjah dibuka. Pakaiannya dilonggarkan. Kepalanya didongakkan sedikit. Nur yang baru masuk diminta mengambil segelas air, tuala kecil dan mangkuk untuk diisi air. Badan Najjah agak panas. Mungkin kerana dia kekurangan air dan tidak makan sejak pagi.

Agak lama kemudian, Najjah membuka mata perlahan-lahan. "Ibu..."

Nuqman yang menunggu di luar diberitahu. Ibu Aisyah segera dipapah naik. Najjah cepat-cepat dipakaikan tudung sebelum mereka semua masuk. Ibu Aisyah terjelepuk di lantai, di tepi birai katil apabila melihat keadaan Najjah yang lemah tidak bermaya. Dia meraih tangan Najjah dalam payah.

"Ibu..." Perlahan Najjah berpaling. Airmata sudah berlinang jatuh ke bantal. Ibu Aisyah sudah teresak-esak, tidak mampu menjawab panggilan yang meruntun hatinya.

"Ibu...!" Dia menongkah diri, mengesot lalu turun dari katil dan kepalanya mendarat dalam pangkuan ibu. Najjah terus menyeru 'ibu' dalam tangisnya seperti takut untuk berhenti. Dan Ibu Aisyah hanya mampu mengangguk setiap kali dia diseru. Ya, Tuhan! Akhirnya mereka berpelukan erat, menangis tanpa suara. Puteri dan Nur tunduk, tidak sanggup memandang. Airmata menjadi begitu murah saat itu. Nuqman yang duduk di belakang ibu, memaut bahu ibu agar tidak jatuh. Mereka membiarkan Najjah memeluk ibunya selama mana yang dia mahu.

***Kak Juea kongsikan antara babak sedih dalam Makna Pada Rasa (MPR). Versi cetak novel ini masih ada berbaki sikit lagi. Bolah dapatkan sekarang dengan diskaun 25%.

Terima kasih sudi singgah. Mohon like dan vote andai sukakan kisah ini. Jemput berhibur dengan karya-karya Kak Juea yang lain juga ya.

Jaga diri! Salam sayang dari Kak Juea.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 23, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now