Bab 20

351 5 0
                                    


"Kenapa tak suka lelaki?" Tiba-tiba Nuqman bertanya.

Puteri yang masih memandang stesen tram Eminonu yang kian jauh ditinggalkan terkejut. Topik ni lagi! Keluhnya dalam hati. Menganggu konsentrasi saja!

Nuqman tenang berdiri mengadap Puteri yang dekat di dadanya tetapi mengiring selari dengan dinding kaca tram merah putih itu. Oleh kerana hari sudah petang, mereka terpaksa berdiri dekat-dekat kerana ramai yang menaiki tram yang sama. Lagi pun jarak ke stesen Gulhane tidak jauh.

"Jawablah... Kalau tak saya tanya lagi kuat-kuat. Biar semua orang dalam tram ni tau awak tak suka lelaki..." Itu akhirnya mengalih perhatian Puteri. Dia berpusing dengan dahi yang berkerut. Kening Nuqman terangkat-angkat. Boleh tahan nakalnya dia ya!

"Kenapa awak sibuk sangat nak tau?" Soal Puteri pula. Jelas tak puas hati dan rasa tak selamat bila Nuqman mula menyiasat.

"Sebab fitrah perempuan sukakan lelaki."

"Jadi awak nak kata fitrah saya tak betul?" Sekali lagi? Sambungnya dalam hati.

"Kalau tak betul, kita betulkan. Kalau rosak, kita baiki..." Jawab Nuqman dengan senyuman manis. Manis tapi pedas! Hati Puteri mendengus bengang.

"Biarlah saya dengan fitrah saya. Awak jangan sibuk, boleh?" Puteri pula yang pamerkan senyuman manis tapi sah bukan dari hati.

"Itu dah sombong. Lagi perlu dibaiki." Senyum manis lagi. Ahhh! Tak boleh tahan!

"Encik Nuqman, saya datang nak melancong tau. Jangan ganggu mood saya. Kalau tak, baik saya balik Malaysia je." Wah! Mengugut nampak. Nuqman tersenyum lagi.

Bahu Puteri tiba-tiba dipaut sehingga tubuhnya terpusing mengadap Nuqman. Terkejut katak dibuatnya.

"Puan Puteri, ke mana pun lari, tetap saya cari, selagi saya tak tau jawapannya." Hidung hampir berlaga. Jantung bergetar.

"Sebab fitrah tu penting. Fitrah tu diri kita. Saya perlu kenal isteri saya." Tegas dan tepat di muka Puteri. Tak berkelip kelopak matanya. Dia menelan liur. Lama bertentang mata, akhirnya Puteri mengalah lalu tunduk memandang lantai tram. Nuqman memusingkan tubuh Puteri semula mengadap ke arah luar cermin kaca namun lengannya masih melingkar di dada Puteri. Memerangkap Puteri dekat dengannya. Membuatkan jantung Puteri berdetak kencang, sekencang degup jantung Nuqman di belakang telinganya.

"You can trust me," bisik Nuqman. Terpejam mata Puteri. Itulah sebabnya! Sebab aku takkan percaya lagi dengan lelaki!

Nuqman tidak terus memaksa. Mereka diam berdiri memandang bangunan-bangunan yang ditinggalkan tram yang berlari. Tak lama kemudian, mereka tiba ke stesen Gulhane.

Turun dari tram, Puteri mengikut Nuqman berjalan di sepanjang laluan pejalan kaki. Dia tidak pasti ke mana arah mereka selepas ini. Hendak buka mulut bertanya pun jadi berat dibuatnya. Bimbang Nuqman bertanya lagi. Tak pernah dia ditanya soalan-soalan langsung macam itu.

Mereka tiba di hadapan sebuah tembok tinggi dengan sebuah pintu gerbang. Bentuknya macam dalam cerita purba.

"Here we are, Topkapi Palace. Dua puluh empat orang Sultan Turki Uthmaniyah pernah tinggal kat sini. Bangunan kecik kat depan kita ni, Fountain of Sultan Ahmed III." Nuqman mendongak ke puncak pintu gerbang.

"Jom masuk, saya dah beli tiket online, so tak payah letih berbaris." Nuqman mengangkat kening ke arah barisan pengunjung Istana kuno itu yang mengular panjang.

Puteri yang memang hilang rasa teruja kerana terpaku dan terlopong melihat barisan manusia yang panjang itu melepaskan nafas lega. Lega berganda sebab Nuqman kembali menjadi pemandu pelancong tak bergaji.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now