Bab 30

390 6 0
                                    

Puteri menarik nafas panjang berkali-kali, cuba menenangkan diri. Kemudian dia melangkah menghampiri jendela. Langsir diselak. Permandangan bandaraya Istanbul terhampar di ruang mata. Bandaraya nostalgia dunia itu kini pesat dengan perkembangan ekonomi dan kebudayaan di antara dua benua dan juga dunia. Bagaikan mimpi bagi Puteri untuk menjejaki kota yang ke tujuh paling ramai dikunjungi pelancong di dunia ini.

Kalau boleh dia mahu berlama-lama di sini. Banyak sungguh tempat yang ingin dia jelajahi dan terokai. Apatah lagi selepas melihat sepintas lalu bangunan-bangunan bersejarah itu dari atas cruise semalam. Meneroka Istanbul bersama Nuqman. Ah! Indahnya...

Tapi hatinya mendesak untuk pulang. Dia mesti jumpa Taufiq dan Maliha. Kalau apa-apa berlaku nanti, dia akan rasa bersalah seumur hidupnya sekiranya dia hanya membiarkan perkara ini berlaku. Fail kuning di atas meja itu dikerling dengan ekor mata. Cemasnya! Apa yang Taufiq sedang lakukan sebenarnya? Dia tak dapat nak bayangkan bagaimana kehidupan Maliha jika Taufiq benar-benar terlibat. Lebih dahsyat lagi kalau Taufiq mengheret Maliha sekali dalam kancah keganasan itu. Tak mungkin!

Fail kuning itu dicapai. Hatinya mula berdetak cemas. Helaian demi helaian diselak setelah isi kandungannya dibaca. Kebanyakannya adalah gambar-gambar yang memaparkan pesanan yang dihantar melalui aplikasi whatsapp di antara Taufiq dengan rakan-rakannya. Melihat pada nama-nama yang tertera, agak ramai juga dalam kumpulan yang mereka namakan Pedang Zulfakar itu. Perbincangan mereka berkisar tentang syarat-syarat wajib jihad dan persiapan diri yang mesti dibuat untuk melepasi tapisan kumpulan-kumpulan mujahiddin.

Ya! Mereka berbincang tentang mujahiddin. Bukan ISIS! ISIS dengan mujahiddin tak sama? Tapisan? Dahi Puteri berkerut. Nak pergi mati pun kena ada tapisan? Hatinya sinis bersuara geram.

Dia membaca lagi. Untuk bersama ISIS, tidak ada tapisan. Laluan untuk berjihad terbuka luas. Cemas semakin membuak di dada Puteri. Kumpulan ini benar-benar serius. Mereka mencari tapak untuk berlatih menjadi pejuang sebelum pergi berjihad. Serbuan ke beberapa lokasi di Kedah oleh pihak berkuasa membuatkan mereka semakin berhati-hati. Ha! Tahu pun takut? Dengan pihak berkuasa, mereka takut? Dengan puak pengganas, mereka tak takut pulak? Mereka ni memang pelik! Hati Puteri menggerutu.

Selain daripada itu, dana juga menjadi topik hangat. Berbagai-bagai cadangan dibincangkan. Antaranya mencari penaja dan membentuk kumpulan yang dapat membangunkan ekonomi untuk menampung keperluan jihad. Oh Taufiq! Aku betul-betul ingat engkau nak bukak restoran lepas habis belajar! Puteri mengeluh panjang lalu tersandar di kerusi. Macamanalah Taufiq boleh terlibat dengan kumpulan-kumpulan ini?

Nuqman keluar dari bilik air. Puteri cepat-cepat tunduk melihat kertas-kertas di tangannya. Sepatutnya dia keluar dari bilik itu! Kenapalah tak terfikir dari tadi? Sekarang, siapa yang tak tentu arah. Sudahlah mata ni degil tak mendengar kata! Hendak jugak menjeling ke arah Nuqman yang sedang mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil. Dia hanya bertuala pendek menutup pusat hingga ke atas lutut seperti tadi. Selalu tengok perempuan seksi, dia tak rasa apa-apa. Tapi bila Nuqman seksi macam ni, dia tersiksa!

Nuqman perasan yang Puteri sudah gelabah. Dia sendiri pun janggal. Tak pernah berada dalam keadaan itu dengan perempuan. Tapi... eh! Itu kan isterinya. Dia mesti biasakan. Apatah lagi dengan isteri yang berlagak dingin terhadapnya. Hmm... Nuqman mula mengira-ngira sendirian. Apa kata kalau... dia goda isteri sendiri? Sampai isterinya mengalah dan menyerah! Nuqman tahu dia boleh guna cara paksa atau pujuk. Teringat cara-cara Rasulullah dalam menawan hati para isterinya, Nuqman tersenyum sambil menjungkit kening sebelah. Paksa bukan caranya. Tetapi tidak salah kalau menggoda....

Dia tak jadi hendak mengambil baju dari almari baju. Sebaliknya dia mencapai sikat. Rasanya itulah kali pertama dia menyikat rambut penuh gaya di cermin sambil memerhati Puteri yang tak senang duduk di kerusinya dengan ekor mata.

MAKNA PADA RASATahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon