Bab 34

287 8 0
                                    


Nadia terjaga dan terlelap semula beberapa kali. Tubuhnya masih lemah tetapi rasa makin selesa. Selesa dan damai. Apa tidaknya, sudah terlalu lama dia tidak dimanja. Terlalu lama!

Hakikatnya seorang perempuan, setabah manapun dia, sekuat manapun jiwanya, tapi bila dimanja, luruh segala lelah, dan hidup jadi teramat manis. Itulah yang dirasai Nadia saat ini walau sekuat mana dia cuba menafikannya.

Subuh tadi, dia dikejutkan dengan usapan lembut dibahu dan kucupan rama-rama di dahi dan di pipi. Kemudian dia dipimpin Zulkarnain ke bilik air, bimbang kalau jatuh lagi. Dia duduk bersolat di belakang Zulkarnain. Tak mampu solat berdiri. Entah kenapa, dia rasa tidak pernah setenang itu. Selepas berdoa, Zulkarnain merangkulnya ke riba, kepalanya bersandar di dada, dahinya dikucup dan kepalanya diusap. Lama mereka duduk begitu, di atas sejadah, diam tanpa sepatah kata. Biarlah hanya hati yang berbicara.

Usai sarapan pagi, tubuh Nadia dilap dengan tuala basah. Kemudian dia memakai pakaian yang bersih. Sekali lagi, Nadia dibelai hingga terlena. Dia tidur nyenyak, senyenyak bayi. Sehinggalah masuk waktu zohor. Zulkarnain mengejutkannya lembut. Dia akur, bangun mengerjakan solat bersama suaminya. Ya, suami yang dulu pernah membahagiakannya. Kini dia kembali... tetapi untuk entah berapa lama. Yang pasti dia akan pergi lagi.

Nadia sebak dihujung doa yang diaminkan. Dia tidak pasti kenapa. Yang dia pasti, dia ingin menikmati saat-saat bahagia ini sebelum dia pergi jauh membawa diri... untuk selamanya.

Sesuatu menyentak fikiran Nadia. Dia bingkas bangun duduk sambil bersandar di kepala katil. Kepalanya terasa ringan sedikit. Nafasnya semakin bertenaga. Syukurlah. Dia memandang keliling mencari kelibat Zulkarnain. Sunyi. Sepi. Perlahan-lahan dia menongkah tubuhnya, turun dari katil. Ke mana dia? Tak mungkin di dapur kerana mereka sudah makan tengahari selepas solat zohor tadi. Selepas itu, Zulkarnain berehat di sisinya di katil sehingga dia hanyut terlena sekali lagi.

Nadia bergerak ke tingkap. Langsir diselak dan kereta Zulkarnain tidak ada digaraj. Dia keluar? Ke mana? Ahh... pasti balik bertemu isteri tercinta!

Langsir dihempas ke tingkap kaca. Dia memejamkan mata, menahan pedih yang menusuk. Aku tak hard-up dia di sini! Dia memaksa kenyataan itu dipahat kukuh di hatinya. Pantas matanya menerawang ke seluruh bilik. Mencari beg tangan dan beg bimbitnya. Dia mesti bekerja!

Tubuhnya dihempas ke sofa. Telefon sudah ditekap ditelinga sementara tangannya membuka fail sambil dia meneliti sesuatu di dalamnya.

"Hadi...? – Emelkan akaun sumbangan ASAP! – Okey, saya call balik nanti. Terima kasih."

Komputer ribanya dibuka. Hadi yang hampir tiga puluh tahun berkhidmat di MegaSteel Berhad sangat cemerlang dalam tugasnya. Dia juga antara pekerja yang sangat dipercayai papa ketika papa menerajui syarikat itu. Nadia yang masih menjadi salah seorang lembaga pengarah MegaSteel Berhad dengan pemilikan saham tiga puluh lima peratus di syarikat itu berhak untuk mengetahui aliran keluar masuk akaun syarikat. Dia yakin dengan laporan Hadi yang telus.

Dia mahu meneliti semula akaun sumbangan MegaSteel untuk membuat permohonan kepada Lembaga Pengarah supaya lima puluh peratus berbanding hanya sepuluh peratus sumbangan kebajikan syarikat yang disalurkan ke WWT yang kini semakin kekeringan dana sejak mereka dihujani pelbagai isu akhir-akhir ini. Dan untuk itu juga, dia terpaksa berdepan dengan abang iparnya, Tan Sri Megat Hasyim Megat Fadhlullah, Ketua Pengarah Eksekutif MegaSteel Berhad. Keupayaan Tan Sri Megat Hasyim mengambilalih syarikat papa memang tidak boleh dipersoalkan walaupun pada masa yang sama, dia terus menerajui syarikat miliknya sendiri. Pengarah-pengarah yang memang sudah terlatih sejak berkhidmat dengan papa lagi memudahkan kerja Tan Sri Megat Hasyim.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now