Bab 21

303 5 0
                                    

Bunyi ketukan di pintu mengejutkan Zulkarnain dari tidur. Pantas dia memaksa kelopak matanya diangkat. Cahaya samar menyimbah ruang keliling. Macam bilik hotel! Minda Zulkarnain memberitahu lantas tubuhnya bingkas duduk di tilam empuk sambil dia memerhatikan sekeliling.

Udara dingin menyentuh kulitnya yang terdedah bila selimut melurut ke bawah. Zulkarnain tersentak bukan kepalang. Barulah dia teringat kembali tentang apa yang telah berlaku dan di mana dia saat itu. Nadia! Mengelingas matanya mencari kelibat wanita kesayangannya itu. Ketukan di pintu sekali lagi mengejutkannya. Bingkas dia bangun mengutip pakaian di lantai dan kelam-kabut menyarungkan ke tubuh sambil mindanya masih terpinga-pinga. Nadiakah itu? Kalau Nadia, kenapa dia mengetuk pintu? Jadi siapa? Matanya membulat. Dadanya berdebar.

Sebaik sahaja daun pintu dikuak...

"Assalamualaikum," tersengih seorang lelaki tua yang mungkin berusia lebih kurang tujuh puluhan. Tergagap-gagap Zulkarnain menjawab salam. Bagaikan orang yang bersalah tertangkap basah, tak keruan dibuatnya.

"Maaflah Pak Alim ganggu. Ni ha, Puteri Nadia mintak Pak Alim sediakan minum petang untuk tetamunya. Tapi... err... Pak Alim tak tau pulak kalau encik datang dengan isteri." Dia memandang Zulkarnain dengan rasa serba-salah sambil memerhati lelaki itu dari atas ke bawah membuatkan Zulkarnain semakin gelabah. Tangannya kalut membetul-betulkan pakaiannya yang mungkin tak terurus pada pandangan lelaki tua itu. Dengan isteri? Ishh... pakcik ni macam tau je, desis hatinya.

"Saya... saya sorang je, pakcik. Eh, jemputlah masuk. Boleh kita sembang-sembang." Bagaikan mahu membuktikan kata-katanya, daun pintu dikuak luas bagi mempersilakan warga emas itu.

"Tak apalah, nak. Menganggu pulak nanti."

"Eh! Tak apa pakcik, marilah masuk. Kita minum sama-sama ya." Daun pintu yang diperbuat dari kayu cengal itu dikuak semakin lebar. Zulkarnain terlebih dahulu masuk ke dalam sambil matanya memerhatikan sekeliling. Jangan ada apa-apa yang boleh menimbulkan sangkaan pula nanti. Pintu bilik yang separuh terbuka memperlihatkan keadaan katil yang agak tidak terurus. Panjang langkah Zulkarnain menutup pintu itu sebelum sempat Pak Alim mengerling. Kemudian dia cepat-cepat ke dapur untuk mengambil cawan dan piring. Pak Alim juga muncul di dapur, menghulurkan minuman dan kuih-muih yang dibawanya.

"Puteri pesan, kalau perlukan apa-apa, bagitau aje dengan pak Alim. Rumah Pak Alim kat hujung jalan ni aje."

"Oh! Alhamdulillah. Terima kasih Pak Alim. Buat susah je. Kebetulan memang saya tak biasa dengan tempat ni. Saya ada hal nak jumpa dia sebenarnya. Ingatkan dia tinggal di sini," akal Zulkarnain mula ligat memainkan peranan. Mungkin Pak Alim tahu tentang Nadia.

"Eh, ni rumah singgah Tengku. Tak pernah diaorang duduk kat sini. Cuma datang berehat-rehat terutama musim buah-buahan. Err... anak ni kawan Puteri ke?" Kawan? Kening Zulkarnain terangkat.

"Hmm... macam tu lah, Pak Alim. Kami kenal lama dah. Sejak sama-sama belajar di London dulu." Zulkarnain serba-salah, tak sanggup menipu dan berlakon.

"Ooohh! Patutlah special. Kawan lama rupanya. Sebab tak pernah Puteri bawa sesiapa ke rumah ni melainkan ahli keluarga Tengku. Diaorang ni jenis privacy sikit, kata orang putih," Pak Alim ketawa sendiri dengan kata-katanya.

"Ya, Pak Alim. Tengku ada ke London dulu. Saya jumpa dengan Tengku di sana. Memang baik hati orangnya."

"Itu yang Pak Alim sanggup terus buat apa pun untuk keluarga Tengku. Tengku memang ambik berat pasal orang. Kami orang kampung memang sayangkan dia. Ni rumah tempat Tengku lahir. Ayah Tengku pun Pak Alim kenal. Lepas mak ayahnya meninggal, Tengku buat rumah ni jadi rumah persinggahan. Iyalah, dia sibuk di bandar. Adik tunggal Tengku lagi jauh. Jadi Pak Alimlah yang jaga rumah ni dengan dusun yang dua ekar tu. Sayang kamu datang, dah tak ada musim buah," ramah sungguh Pak Alim. Terasa kemesraannya.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now