Bab 26

487 6 0
                                    

Peugeot 308 Egyptian Blue meredah kesibukan kota menuju ke selatan tanahair. Dari Lebuhraya Utara – Selatan, dia keluar di persimpangan Air Hitam menuju ke Batu Pahat untuk sampai ke Pekan Parit Raja yang amat sinonim dengan 'pisang salai'.

"Macammana kalau tak jumpa?" Nadia bercakap dengan diri sendiri. Sudah hampir sembilan belas tahun daerah itu mahu dilupakannya. Namun semuanya masih tersimpan kemas diingatan. Dan kejadian malam tadi membuatkan semua itu bagaikan baru saja berlaku. Segala rasa sakit, benci, dendam kembali bersarang dalam hatinya dan yang paling pedih bila masih ada rindu dan kasih kepada lelaki itu. Sedangkan dia hanya mahu menganggap yang lelaki itu telah mati. Dan yang paling memeritkan bila naluri keibuannya bagaikan memuncak saat ini.

Tidak ada siapa pun yang tahu betapa dia sangat mahu memiliki anak itu. Kalau benar berita tentang dirinya disebarkan, seluruh dunia akan menuding jari kepadanya. Dia pasti menjadi ibu yang kejam dan tak berperikemanusiaan. Bila dia sanggup meninggalkan anaknya yang baru saja dilahirkan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Siapalah yang tahu dilema dalam dirinya. Mereka hanya akan menuduh tanpa bertanya. Menghukum membuta tuli. Nasib dia dan wanita lain yang tertindas sama saja. Menjadi mangsa keadaan tanpa pembelaan dan hujungnya mereka juga yang dihukum bersalah!

Seperti Zulkarnain! Sedikit pun dia tidak mengaku salah kerana membohonginya selama ini. Sebaliknya memeras ugut jika dia tidak mahu menyerahkan anaknya. Apa haknya untuk menuntut anaknya selepas apa yang telah dia lakukan? Apa hak Zulkarnain mahu menganggu privasi dirinya sedangkan selama ini dia tidak pula memburu dan mengungkai punca perpisahan mereka? Kerana dia bahagia! Pastinya kerana dia cukup bahagia tanpa dirinya. Jadi untuk apa tiba-tiba datang menuntut haknya sedangkan sebelum ini dia tidak pula bersusah payah mahu melunaskan hak seorang isteri? Nadia yang selama ini berhempas pulas memperjuangkan hak asasi golongan hawa tiba-tiba dikejutkan dengan tuntutan hak dari orang yang selama ini mengabaikan haknya! Gila!

Namun api kemarahannya bagaikan malap apabila sesuatu di luar jangkaannya berlaku. Hari ini dia sebenarnya amat sibuk dan penat. Tanpa mempedulikan kehadiran Zulkarnain yang benar-benar bermalam di rumahnya, dia bergegas ke pejabat. Sarapan pagi yang disediakan 'suami' di atas meja makan hanya dijeling sekilas. Apalah ertinya lagi...

Pagi itu giliran dia dan WWT menjadi moderator Program 'LGBT Sebahagian Dari Kita' yang sudah berlangsung selama dua hari dan hari itu adalah hari yang terakhir. WWT bersama tujuh buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat menjayakan program itu untuk memberi kesedaran kepada kelompok terpinggir iaitu 'Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual (LGBT)' dan juga masyarakat tentang hak-hak mereka yang selama ini diperkotak-katikkan secara sewenang-wenangnya. Berbagai acara berlangsung dengan lancar seperti pameran, motivasi, bual bicara secara langsung, pemberian jarum suntikan dan kondom secara percuma walaupun dikritik hebat oleh berbagai golongan dan acara penutupnya merupakan persembahan pentas dari Kelab LGBT untuk hiburan sekelian yang hadir.

Cukup! Cukuplah mereka dipinggirkan, dihina, dianaktirikan dan hidup dalam diskriminasi tidak kira dalam pergaulan seharian, ibadah mahupun kerjaya hanya kerana mereka dikatakan terlibat dalam dosa. Sedangkan kebanyakan yang menuding jari itu juga bergelumang dengan dosa! Bukan hanya cemuhan dan penghinaan yang harus mereka telan malah bakat dan kebolehan mereka juga tidak diiktiraf oleh mana-mana jabatan dalam apa pun bidang walaupun mereka cemerlang dan profesional. Lebih dahsyat lagi, kesalahan mereka yang terlibat dalam cara hidup ini adalah kesalahan jenayah! Sudah banyak kes yang berlaku dan hukuman dijatuhkan tanpa pembelaan sewajarnya. Semua ini harus dihentikan dan mereka harus diperjelaskan dan dididik tentang hak mereka dalam lingkungan undang-undang. Hak mereka sebagai golongan dewasa untuk memiliki kehidupan peribadi harus dikembalikan!

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now