Bab 43

700 14 0
                                    

"Tak ada?"

'Ya, encik. Dato' dah keluar sejak tengahari tadi."

"Ada dia bagitau nak ke mana?"

"Maaf, encik. Tak ada pulak dia bagitau apa-apa..."

Zulkarnain menghenyakkan tubuhnya di kerusi pemandu, hampa. Hasrat hatinya hendak 'menculik' Nadia dan membuat kejutan tetapi hampa. Telefon bimbitnya sudah dihubungi bertalu-talu tetapi semuanya masuk ke peti simpanan suara.

Sambil menghela nafas, Zulkarnain menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi menuju ke rumah Fahmi seperti yang dijanjikan. Sebolehnya dia mahu Nadia ada bersamanya dalam pertemuan itu. Begitulah manusia, hanya mampu merancang.

Semalam Nadia pulang lewat walaupun sudah berkali-kali dia berpesan supaya bekerja separuh hari saja. Mungkin dia mahu mengelakkan diri dari meluangkan masa bersamanya. Sikap Nadia memang aneh sejak dia demam tempohari.

Dia gelisah. Sekejap-sekejap termenung. Selalu menangis dalam diam. Dalam keadaan itu, tidak pula dia menolak kehadiran Zulkarnain seperti sebelum ini. Bila Zulkarnain membawa makanan ke biliknya, dia makan dengan patuh. Ikut solat berjemaah, malah Zulkarnain sudah membawa beg pakaiannya ke dalam bilik Nadia, dia diam tidak membantah.

Saat Zulkarnain memanjat katil, berbaring di sebelahnya seperti malam sebelumnya, dia diam tidak berkata sepatahpun. Menganggap itu sebagai undangan, Zulkarnain tidak dapat menahan diri dari menyentuh isterinya, meluahkan rasa kasih dan rindu yang membara di dalam. Nadia terus diam seolah-olah merelakan sehingga akhirnya mereka terdampar bahagia setelah dilambung ombak asmara. Cuma selepas itu, Zulkarnain dikejutkan dengan airmata Nadia di dadanya. Sukar untuk mentafsir tangisan itu, Zulkarnain mengeratkan lagi dakapannya, mengucup ubun-ubun dan membelai rambut isterinya hingga dia terlena.

Hampir sejam lebih Zulkarnain memandu keretanya menuju ke selatan tanahair. Fahmi di sebelahnya menunjuk arah sehingga mereka tiba ke perkampungan Melayu Senawang. Bersama mereka, ibu Fahmi, Mak Pah atau nama sebenarnya Hanipah, yang pernah Zulkarnain temui ketika mengunjungi Nadia suatu masa dulu.

Rumah sepupu Mak Pah sangat menarik. Rumah kayu tradisional yang bahagian anjungnya masih bertiang tinggi, bersambung dengan bahagian tengah yang rendah dan dapur rumah pula dibina di atas tanah. Bertiang cengal berdindingkan meranti, rumah itu bertambah istimewa dengan ukiran kerawang halus bertemakan flora dan fauna.

"Tak ada oranglah, abang...," suara Fahmi mengejutkan Zulkarnain yang sedang terpesona meneliti setiap sudut luar rumah itu.

"Dah pindah ke?"

"Eh, tak lah! Mak Ngah memang tinggal di sini. Nanti saya cuba tengok kalau ada sesiapa di bengkel kayu..."

Fahmi mengatur langkah ke arah sebuah bangunan yang kelihatan seperti gudang lebih kurang dua ratus meter dari rumah itu. Di hadapan gudang itu terdapat banyak jenis wakaf atau gazebo yang sedang disiapkan. Seorang lelaki separuh abad dibantu oleh dua orang pemuda sedang sibuk bekerja.

"Yang tua tu, adik ipar kepada sepupu Mak Pah. Gudang tu anak sulungnya yang usahakan dengan arwah suaminya dulu. Harap-harap dia tahu di mana Aisyah."

"Aisyah...?"

"Sepupu Mak Pah..." Zulkarnain mengangguk. Sebenarnya sejak tadi, dia menunggu Mak Pah membuka mulut tentang anak kandungnya tetapi Mak Pah banyak berdiam diri. Sejak berjumpa Zulkarnain, Mak Pah kelihatan gelisah dan cemas, membuatkan Zulkarnain serba-salah untuk bertanya. Tetapi naluri seorang ayah terlalu mendesak.

"Mak Pah, makcik Aisyah ke yang jaga anak saya selepas dia dilahirkan?"

"Haa... err... ya, encik Zul..."

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now