Bab 18

311 4 0
                                    

Sebentuk loket yang tergantung di dadanya disentuh di antara hujung jemarinya sejak tadi tanda dia amat gelisah. Hari yang ditunggu sudah terlalu hampir. Gembira? Bahagia? Ah... benar hatinya bagaikan musim bunga. Namun separuh jiwanya bagaikan tiada.

Pelik. Sebuah hubungan cukup mampu menyentuh banyaknya hati. Memisahkan dan menemukan. Mengubah haluan dan mengubur impian. Menumpahkan airmata dan mencipta senyum tawa.

Maliha memandang kosong ke luar jendela. Betapa hidupnya berubah kerana hubungan itu. Dia kehilangan sungguh. Kemudian dia juga menemukan kebahagiaan. Tapi kenapa kehilangan itu masih amat terasa. Terutama saat ini. Saat dia akan berada di puncak bahagia. Mana mungkin dia bahagia dengan hanya separuh jiwa?

Perlahan-lahan setitis air mengalir jernih dari tubir mata. Ternyata hidup ini tidak mudah bila kita menyayangi. Malah semakin kita sayang, semakin kita diuji. Semakin kita kasih, semakin kita dituntut untuk berkorban diri. Namun apa ertinya sayang dan kasih, teruji dan terkorban kalau kita terus kehilangan.

Tuhan... kembalikanlah. Hadirkanlah semula separuh jiwaku yang hilang. Bukankah Engkau sepertimana yang hamba-Mu sangkakan? Engkau mengasihi hamba-Mu yang mengasihi antara sesama. Dan demi kasih-Mu, janganlah kasih yang pernah terjalin itu terkubur sia-sia. Satukan kami, ya Allah, demi untuk kami bersama membesarkan dan mengagungkan-Mu. Jangan kecewakan hamba-Mu ini, ya Allah.

Mutiara airmata kian berjuraian bagaikan terputus simpulnya. Rintihan Maliha tak kenal erti jemu, tak tahu erti lelah. Kasih seorang saudara dan rindu seorang sahabat, itulah separuh jiwanya. Meski pun kini hadir seorang kekasih yang mencintainya setulus hati, separuh jiwanya masih belum bernyawa.

"Assalamualaikum..."

Maliha terkejut. Loket di dada terus digenggam sekuat hati. Jangan aku bermimpi lagi! Matanya terpejam rapat.

"Liha!"

Suara itu! Maliha mengulum sebak. Airmata bagaikan empangan yang pecah. Mengalir laju tanpa dapat ditahan lagi. Dan akhirnya dia berpaling.

"Waalaikummussalam..." Jawabnya dengan suara dan bibir yang bergetar. Benar hadirnya seseorang di situ, di muka pintu. Seseorang yang amat dinanti, mendepangkan tangannya dengan senyuman paling manis.

Bagaikan takut kalau itu mimpi, Maliha melangkah terlalu perlahan. Cemas kalau semua itu akan hilang dengan tiba-tiba. Seperti yang sudah selalu terjadi. Namun kali ini, pandangan mata itu hidup sekali. Memandang penuh harap dan kasih. Meluruhkan segala dendam, meruntuhkan benteng ego dan benci yang selama ini menutup kasih, menyulam kecewa.

"Liha!" Suara itu sarat dengan harap dan rindu.

"Abang!" Saat itu, dia bagaikan terbang ke dalam dakapan Ammar. Ya Tuhan!

Ammar Bahrain tak pernah tahu sedalam ini rasa kasih dan rindu seorang adik. Maliha hanya satu. Darah dagingnya. Kasih dan kemaafannya hari ini bagaikan nafas baru baginya. Dia yang selama ini bagaikan di Gurun Sahara, kehilangan, kehausan dan ketandusan kasih sayang satu-satunya adik kandung, Maliha Affiah.

Basah dada Ammar dengan airmata Maliha. Menangis sungguh dia. Ammar juga tak mampu menahan. Sebak dan sedih sekian lama mencengkam jiwanya. Airmata lelakinya tumpah juga. Lama mereka berdakapan erat di situ. Rindu bagaikan tidak juga mahu terlerai. Betapa lebih dua tahun itu terlalu lama mereka biarkan berlalu dek kerana sakitnya hati, luka dan dendam yang tak terubat. Namun, perjalanan masa yang mendewasakan, dengan doa yang sering dipanjatkan, Tuhan mengubah hati-hati mereka dengan kasih sayang-Nya.

"Abang mintak maaf, Liha..." Muka Maliha diraup dengan kedua belah tangannya. Tak mampu dia terus mendengar tangisan gadis itu. Kedua ibu jarinya mengesat airmata yang laju mengalir.

MAKNA PADA RASAOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz