Bab 13

356 9 0
                                    

"Selamat datang ke Hagia Sophia, Tuan Puteri." Nuqman memberi tunduk hormat sambil tangannya didepangkan untuk mempersilakan Puteri melaksanakan impiannya, menjejaki bangunan kuno yang bersejarah itu sebaik saja mereka tiba di taman bunga di perkarangan Hagia Sophia.

Macam dalam filem! Saat itu hati Puteri sedang berbisik dalam debar dan takjub, terdongak mengamati Hagia Sophia dari tapaknya di bumi ke mercu kubah di dada langit. Dia yang sedang terpaku berdiri di hadapan bangunan yang tersergam megah itu menjeling apabila mendengar ucapan Nuqman tetapi tersenyum juga akhirnya. Nuqman suka mempermainkan namanya. Tapi dia suka! Sambil memegang tepi bajunya dan menundukkan badan, dia membalas layanan kehormat dari Nuqman. Kemudian dengan selamba dia memaut lengan Nuqman sambil mengangkat kening. Giliran Nuqman pula terpaku. Namun bagaikan mengerti maksud Puteri, Nuqman turut mengangkat kening lalu menghayun langkah di sisi Puteri seperti seorang Putera lagaknya. Seketika kemudian pecah ketawa mereka, lucu dengan tingkah sendiri!

"900 tahun jadi gereja, lepas tu 500 tahun jadi Masjid kebanggaan umat Islam seluruh dunia. Tapi sejak tahun 1935 sampai sekarang, bangunan megah ni hanya sebuah muzium bagi dunia kerana kekayaan globalnya. Takziah untuk kita umat Islam seluruhnya!"

"Nuqman!" Tukas Puteri. Sejak malam tadi, Nuqman amat keberatan bila diajak ke Hagia Sophia. Pagi tadi pun, Nuqman berdolak-dalik hendak datang ke sini sedangkan inilah antara tempat yang sangat-sangat ingin dikunjungi Puteri selain Blue Mosque.

Mereka berjalan masuk beriringan sekali lagi di bawah payung yang satu. Suasana pagi di Istanbul masih seperti semalam, sejuk dan hujan renyai-renyai. Hati Puteri melonjak riang untuk berada dalam bangunan bersejarah itu yang namanya sempena seorang wanita yang cantik, berkulit putih kemerah-merahan, hidungnya tinggi dan bermata sendu, itulah Hagia Sophia yang cerdik dan suci seperti maksud namanya juga. Bayangkan kalau menjadi seorang wanita yang menjadi sebutan dan kebanggaan dunia!

Semakin mereka menghampiri bangunan itu, hati Puteri semakin berdebar. Pintu imperial yang berukuran raksasa menyambut kedatangan mereka berdua dan ratusan lagi pengunjung Hagia Sohia hari ini. Pintu ini adalah laluan menuju Narthex atau aula utama yang dulu hanya digunakan oleh para pemerintah. Puteri tersenyum dengan tingkah Nuqman, petah berkongsi maklumat bagaikan seorang pemandu pelancong lagaknya.

"Hebatnya!" Seru Puteri tatkala terpandangkan sebuah ukiran kayu raksaksa yang tergantung megah sebaik saja dia melangkah masuk.

"Hmm... memang hebat. Hasil karya Mustafa Izzet Efendi, ahli kaligrafi yang terkenal dengan seni bingkai pahat kayu. Ada lapan buah kesemuanya dalam Hagia Sophia ni."

"Ya ke? Cantiknya karya dia! Yang itu Saidina Ali RA, tujuh lagi?" Soal Puteri, ingin tahu.

"Kalimah Allah, Rasul-Nya – Muhammad, empat Khalifah utama – Saidina Abu Bakar, Umar, Ali dan Uthman dengan dua cucunda kesayangan Rasulullah, Saidina Hassan dan Saidina Hussin. Nanti Ika akan nampak kesemua tujuh lagi bingkai kayu raksaksa tu."

Mereka melangkah beriringan ke dalam bangunan Hagia Sophia yang berdiri megah itu. Dengan lampu chandelier bercahaya bergantungan di atas kepala yang memberi kesan gaya ruangan yang sangat indah dan klasik ditambah dengan sorotan cahaya matahari yang menerobos masuk melalui tetingkap yang mengelilingi dinding bangunan dan kubah yang menjulang tinggi, suasana dalam bangunan bersejarah itu menjadi sangat menakjubkan yang tidak pernah dia saksikan sebelum ini.

Puteri tidak habis-habis memuji kehebatan bangunan itu yang setiap bahagian binaannya ada maksud tersendiri. Malah Puteri juga tahu yang bahan-bahan binaan didatangkan dari berbagai negara seperti Syria dan Mesir untuk membuatkan bangunan ini benar-benar kuat dan kukuh serta tahan gempa.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now