Bab 12 Part I

343 9 0
                                    


Usai solat jamak taqdim fardhu Maghrib dan Isya', Nuqman keluar membeli makanan untuk makan malam. Mereka memutuskan untuk berehat saja malam itu. Puteri yang tiba pagi tadi jelas keletihan.

Puteri mengambil kesempatan untuk merebahkan tubuhnya ke tilam empuk yang masih ditaburi kelopak mawar merah itu sebaik saja Nuqman keluar. Letih dan lesu seluruh tubuh namun yang peliknya hati pula bagaikan berlagu. Jemarinya meraup kelopak-kelopak merah baldu yang masih harum itu ke telapak tangan. Dibawa ke hidung lalu dihidu lama. Hmm... harumnya! Kemudian kelopak-kelopak itu dibiarkan berjatuhan ke mukanya. Biarlah apapun lagu yang sedang berkumandang di dalam hatinya, namun kelopak mata Puteri tak mampu diangkat lagi. Dia terlena tika bibirnya masih tersenyum dengan kelopak mawar merah bertaburan di muka.

Ruang dalam pangsapuri mewah itu sunyi. Hanya lampu dinding yang terpasang, menyimbah cahaya samar ke ruang tamu. Nuqman meletakkan makanan di dapur kemudian melangkah perlahan-lahan mencari Puteri. Manalah tahu kalau dia tersadung lagi dengan si Puteri yang boleh jadi tidur di mana-mana saja!

Akhirnya Nuqman ke bilik bila dilihat segenap ruang kosong tanpa Puteri. Diketuk daun pintu itu perlahan-lahan, bimbang mengganggu kiranya Puteri sedang beradu. Tiada jawapan. Tombol dipulas. Tidak berkunci. Dia percayakan aku, desis hati Nuqman. Bibirnya mengorak senyum.

Daun pintu diselak. Dan saat itu pandangan matanya tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring lena di katil dalam cahaya dari lampu meja yang samar. Nafasnya seakan terhenti.

"Ohh...!" Terluah sepatah kata. Indahnya! Daun pintu ditutup perlahan. Bagaikan dipukau oleh permandangan itu, Nuqman melangkah selangkah demi selangkah dalam debar yang semakin menggoncang nuraninya.

Asyik. Dia terpaku berdiri di situ. Di sisi katil. Wajah Puteri amat mendamaikan, cantik menawan tanpa solekan. Alis mata bertemu rapat hitam melentik walau tidak terlalu panjang. Dua ulas bibir yang separuh terbuka itu sungguh mengujakan. Beberapa kelopak mawar merah di wajahnya, di leher dan di dadanya. Indah sungguh. Nuqman tersenyum bahagia. Kedamaian yang luar biasa meresap jauh ke dalam hatinya.

Nuqman duduk di birai katil, di sisi puteri. Tangan Puteri terletak elok di bantal. Jemari runcing itu disentuh perlahan dengan hujung jarinya. Kemudian jari-jemari Nuqman makin nakal, menyentuh pipi mulus itu. Hidung, dahi dan bibir hingga turun ke dadanya yang putih serlah. Nuqman menelan airliur.

Tiba-tiba hatinya sebak. Gadis itu anugerah Tuhan kepada dirinya. Untuk menjadi suri dalam hidupnya. Harapan kembang mekar. Ingin sekali dia membahagiakan gadis itu kerana bersamanya, hidupnya terasa sangat berbeza. Lembutkanlah hatinya untukku, ya Tuhan.

Rasanya tak mahu berpisah. Perlahan-lahan Nuqman merebahkan diri di katil, di sisi Puteri. Dia mengiringkan badan, mengadap Puterinya. Tak jemu dia memandang setiap inci wajah Puteri. Jemari Puteri diraup antara jemarinya. Dielus lembut. Asyik. Nuqman terus memandang, menghayati dan menikmati keindahan anugerah Tuhan untuk dirinya hingga entah berapa lama. Akhirnya dia terlena di situ, di sisi isterinya. Malam pertama. Saat berbulan madu. Nuqman tersenyum manis dalam tidurnya.

Puteri riang mengejar rama-rama yang berterbangan. Sambil tertawa, dia terduduk keletihan di atas rumput baldu. Seronoknya! Bagaikan dalam syurga. Wangi bunga yang berbagai jenis sedang mekar di kelilingnya, memenuhi taman menambah rasa bahagia. Tiba-tiba...

"Arghh... laparnya!" Dia mengerang sambil menekan perut yang terasa pedih menyucuk. Langsung dia tercari-cari... di mana dia boleh dapatkan sedikit makanan?

Bingkas dia bangun berdiri. Di hadapannya tersergam sebuah masjid. Lantas Puteri berpusing ke kanan. Juga sebuah masjid. Aneh! Laju Puteri berpusing ke kiri dan ke belakang, ada lagi tiga buah masjid! Dia di kelilingi masjid. Ya Allah! Macammana ni? Laparnya...! Terpejam mata Puteri menahan sakit perut yang semakin berkeroncong.

Dalam keluhan yang panjang, Puteri membuka matanya sedikit. Mengharap.

Lelaki!

Matanya membulat.

Nuqman!

Mulutnya terlopong.

Suami!

Satu jeritan bergema di kerongkong. Matanya liar kalut melihat tubuh sendiri. Ada. Pakaiannya masih ada! Syukur. Tangan kirinya meraba-raba diri sendiri. Ada tak yang tak kena? Okay...? Semua okay! Tangan kanannya? Terlekat di situ. Dalam kedua-dua tangan Nuqman. Matanya terbeliak. Dia cuba menarik tangannya. Tersekat. Nafasnya turut tersekat.

Desah nafas Nuqman yang teratur hangat menyentuh kulit mukanya. Puteri menghela nafas. Kepalanya terhenyak kembali ke bantal. Macammana ni? Bentak hatinya.

Puteri kembali menoleh. Wajah Nuqman sedang tidur lembut bagaikan bayi. Terpana seketika, Puteri diam memandang lama. Anak rambut Nuqman jatuh berjatuhan di dahi. Comel. Hidungnya agak tinggi dan besar. Bibir pula nipis dan kecil. Dia tersenyum. Rasa seronok pula dapat menatap wajah Nuqman puas-puas. Tanpa disedari, hujung jari Puteri menyentuh anak rambut dan perlahan-lahan merayap ke dahinya yang luas. Tanda orang cerdik!

Semakin nakal, jari telunjuk itu bagaikan bermata, berjalan turun menyentuh hidung Nuqman hingga ke bibir yang tertutup rapat. Turun lagi ke dagu yang terbelah. Wah... memang menjadi daya penarik. Tanpa dapat ditahan, jari itu bergerak ke leher yang besar dan perlahan turun ke dadanya yang bidang. Butang baju Nuqman terbuka di bahagian atas. Lalu jari yang nakal itu terus meneroka. Tiba-tiba ia terhenti. Ada bulu dada! Bibirnya terbuka dan nafas ditarik laju. Satu perasaan aneh meresap dalam dirinya. Rasa teruja datang tiba-tiba. Seksinya dia.

"Suka dengan apa yang Ika tengok?" Suara parau yang dalam itu menyentak dirinya.

No! Oh no! Puteri terkaku. Terbuntang matanya. Jari yang nakal itu digigit kuat. Sakit! Padan muka! Jahat sangat. Malunya! Puteri bagaikan hendak menangis. Ke mana hendak disorokkan muka ni? Darah hangat menyirap ke mukanya yang kini memerah menahan malu.

"Aaa... awak...." Cepat! Katakan sesuatu!

"Hmm...?" Kening Nuqman terangkat. Mata dan bibirnya tersenyum nakal.

"Saya... saya lapar...." Terburai tawa Nuqman.

"Tapi tadi asyik sangat...!" Usik Nuqman sambil mencuit hidung Puteri.

"Heee... awak ni!" Mukanya ditekup dengan kedua-dua tangan! Tak berupaya hendak berselindung lagi.



MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now