Bab 5

504 10 0
                                    



Perlahan-lahan tangannya menghulurkan telefon bimbit itu kembali kepada Nuqman setelah selesai bercakap dengan abah. Mujur Nuqman cepat bertindak, menghubungi abah walaupun dia tahu Nuqman sebenarnya tak faham apa yang berlaku. Walaupun Puteri sudah agak tenang dengan jawapan abah namun debaran masih kuat terasa. Dia tetap kena berdepan dengan mummy suatu masa nanti. Bagaimana harus dia terangkan tentang pernikahannya dengan Nuqman? Sudah masak dengan sikap mummy, Puteri pasti huru-hara jadinya nanti.

Nuqman menggaru kepalanya yang tidak gatal, rasa serabut dengan tingkah-laku isterinya. Hendak disentuh, takut dia terkejut dan merengek lagi. Hentak dibentak, takut lari entah ke mana pula. Wataknya memang sukar dijangka. Hai... kadang-kadang watak manjanya terserlah sangat. Yang tambah memeningkan kepala, mengapa Puteri terperanjat sangat bila tersedarkan kehadiran dirinya di situ? Dia yang datang terbang ke sini, mengapa dia macam baru sedar dari mimpi?

Nuqman akhirnya terpacak berdiri di hadapan Puteri Zulaikha. Lama mana lagi dia mahu termenung dengan kerut wajah seperti itu?

"Ika! Are you REALLY alright?" Suaranya sedikit jengkel. Perlahan wajah gadis itu terangkat, memandangnya dengan sepasang mata yang basah. Wajah yang sungguh keliru. Hati Nuqman tersentuh dan serba-salah. Apakah yang sedang dilalui oleh Puteri, sebenarnya?

Perlahan dia duduk melutut lalu memaut kedua bahu Puteri, membantu dia bangun berdiri. Dikesat airmatanya dan diusap rambut yang berjatuhan di muka ke belakang. Dia tidak pasti apa yang harus dikatakan kepadanya. Dia langsung tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku. Wajah keliru itu dipeluk ke dadanya. Didakap erat.

"Awak milik saya, Ika. Apa pun yang berlaku, kita hadapi sama-sama. Saya takkan biarkan apa-apa pun yang tak baik berlaku pada Ika selagi Tuhan izinkan..." Puteri tergamam di dada Nuqman. Pertama kali Nuqman menyentuhnya begitu. Pertama kali! Dan jantungnya berkocak hebat.

Kedua tapak tangan Nuqman meraup wajah Puteri dan didongakkan sehingga mata mereka saling bertentangan. Anak mata Puteri kelihatan sayu dan terpinga-pinga.

"Saya nak Ika pergi mandi dan tukar pakaian sebelum saya mandikan Ika. Saya memang nak sangat-sangat mandikan Ika..."

Tak sempat habis ayatnya, mata Puteri membulat. Nuqman mengangkat kening. Dia hanya berterus-terang. Dia tak mahu Puteri dihanyutkan emosi.

"Awak ni!" Dalam menahan malu, Puteri menolak tubuh Nuqman sekuat hati. Sambil ketawa gelihati, Nuqman melangkah keluar dan menutup pintu. Sempat dia melihat senyuman malu Puteri Zulaikha.

Nuqman masih ketawa ketika membuka pintu kaca ke arah balkoni. Udara Istanbul masih dingin. Dia melangkah menghadap Selat Bhosporus lalu mendepangkan tangannya seperti yang dilakukan Puteri ketika dia mula-mula masuk ke pangsapuri itu. Dia tersenyum puas sambil matanya terpejam menghayati rasa-rasa yang mekar dihatinya. Hatinya berbunga bahagia walaupun akalnya masih terpinga-pinga.

Walaupun dia tidak pasti bagaimana untuk terus melangkah dan dia juga tidak tahu entah apa onak dan duri yang menanti, namun hatinya diresapi bahagia. Dia belum pernah merasakan perasaan sebegini selama hidupnya. Saat Puteri dalam dakapannya tadi, jantungnya berkocak luar biasa. Sesuatu yang belum pernah berlaku dalam hidupnya.

Dia membuka mata memandang ke langit yang terbentang luas tergantung tak berpaksi bukti kebesaran Illahi. Dihirup udara dingin itu sehingga terasa sejuk dalam segenap tubuhnya.

Aku sangat bahagia kerana aku yakin rasa-rasa ini datangnya dari-Mu, ya Allah! Hati kecilnya berbisik. Penuh rasa syukur.

Maha Baiknya Tuhan menciptakan makhluknya berpasang-pasang. Dicetuskan berbagai rasa bila berpasangan. Kadang-kadang gelisah, sedih, buntu dan cemburu dan kadang-kadang riang, bahagia, gembira dan entah berapa banyak lagi rasa yang datang silih berganti. Itu semua membuatkan hidup makhluk-Mu begitu berliku-liku dan berwarna-warni dan tidak bosan.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now