Bab 3

557 16 0
                                    


Senyuman nakal Nuqman masih bermain di ruang mata walaupun daun pintu itu sudah tertutup rapat. Antara marah, lucu, malu dan bahagia, Puteri tak pasti yang mana paling kuat dirasainya. Sikap dan peribadi Nuqman selalu mengocak jiwanya.

Puteri berpusing memandang bilik pengantin yang disediakan untuknya. Tersandar dia ke pintu. Beg tangan yang tergalas di bahu melurut jatuh ke lantai. Dia mendongak memandang siling putih bersih. Nafas panjang dihela. Dia memejamkan mata. Terasa letih melawan segala emosi. Lelah untuk mengharung hari esok. Perlahan-lahan kedua lututnya terasa lemah hingga tubuhnya melurut ke bawah lalu terduduk memaut lutut sendiri.

Kenapa aku datang ke sini, sebenarnya? Apa yang aku mahu? Kenapa hidup aku jadi begini? Ya, Tuhan....

Perlahan pandangan Puteri merayap ke ruang di dalam bilik. Indah sungguh.

"Aku datang sebagai pengantin..." Bibirnya berbisik, lemah.

Tetapi mengapa aku tidak gembira seperti pengantin yang lain? Apakah jodohku salah? Atau kerana aku tidak mahu berkongsi hidup? Sakit sungguh bila aku terpaksa melakukan sesuatu di luar kehendakku.

"Jodoh dan ajal bukan di tangan kita, Ika. Sebab tu saya redha. Kalau saya yakin dengan kekuasaan Allah, maka saya juga yakin dengan ketentuan-Nya. Saya ni cuma hamba. Tugas hamba... kena taat pada Tuhannya. Walau siapa atau bagaimana sekalipun saya dijodohkan, saya tetap yakin bahawa jodoh tu datangnya dari Allah." Kata-kata yang pernah diluahkan oleh Nuqman sebelum dia berlepas ke Istanbul dulu kembali berputar di kotak ingatannya.

"Sebab tulah dia tenang menerima aku... sebab dia redha dengan ketentuan Tuhan." Lafaz pengakuan itu jujur terluah di bibir Puteri.

"Aku jadi begini sebab aku belum pandai untuk redha dengan ketentuan-Mu, ya Allah." Sebak tiba-tiba meruntun dalam hatinya.

"Aku masih terfikir-fikir, masih tercari-cari alasan sebab aku tak nak terima sesuatu yang tak aku jangkakan. Aku tak nak kahwin! Tolong! Aku tak nak kahwin! Dalam usia muda macam ni, aku nak hidup bebas! Aku tak nak ikat diri aku dengan spesis lelaki, ya Allah!"

"Inginnya aku tenang terima semua ni. Nak yakin yang ini semua baik untuk aku... tapi macammana nak rasa macam tu? Aku nak tenang macam dia. Aku benci kusut macam ni! Aku runsing kalau asyik gelisah macam ni... aku betul-betul rasa insecure bila hidup dengan lelaki...."

Tubuh Puteri perlahan-lahan rebah terbaring di lantai yang dihampari permaidani tebal. Hilang dayanya. Katil pengantin yang berhias indah itu hanya terbiar dingin dan kaku.

Di luar, di ruang dapur, Nuqman sibuk mengemas dan menyimpan makanan. Dia sendiri tak dapat menghabiskan makanannya kerana selera hilang entah ke mana. Persoalan yang belum terjawab asyik menerjah akal fikirannya namun ditepis bertalu-talu. Segalanya perlukan waktu. Dia menguatkan lagi keyakinan bahawa percaturan Tuhan itu tidak pernah sia-sia. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

Nuqman melangkah ke bilik kedua dalam pangsapuri mewah itu. Bilik itu disusun atur sebagai bilik pejabat namun sofabed empuk yang disediakan cukup selesa untuk dia jadikan bilik itu juga sebagai bilik tidurnya. Dia yakin, Puteri belum bersedia nak berkongsi bilik dengannya. Biarlah... untuk apa dia mendera perasaan gadis itu.

Dia membuka komputer ribanya dan menyambung sedikit lagi kerja yang tertangguh. Sengaja memberi ruang untuk Puteri menyegarkan dirinya.

Jadual kerja Nuqman sebenarnya padat sekali namun kehadiran Puteri yang secara tiba-tiba membuatkan dia terpaksa menyusun semula perancangannya. Mujur Syeikh Ismet Suleiman, Ketua Pengarah Exsekutif syarikat yang menganjurkan usahasama dalam projek yang sedang mereka bina memahami keadaannya yang baru berumahtangga malah beliau sangat gembira untuk turut meraikan kejutan ini.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now