Teaser Makna Pada Rasa 1

568 7 0
                                    

"Assalamualaikum!" Sayup-sayup suara Nuqman memberi salam dari luar rumah menyentak sekujur tubuhnya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

"Assalamualaikum!" Sayup-sayup suara Nuqman memberi salam dari luar rumah menyentak sekujur tubuhnya. Nafas Puteri seakan terhenti. Itu suami aku!

Panik. Puteri bingkas berdiri. Dia yang masih bertelekung melangkah laju keluar dari bilik. Rumah senyap sunyi. Mungkin Nabil sudah keluar mencari sarapan. Ibu Aisyah pula di biliknya. Jadi... dia harus menyambut suaminya.

Kaki Puteri berlari menuruni anak tangga. Airmatanya juga laju membasahi pipi. Sampai di pintu, dia terhenti. Bagaimana harus disambut bila suami pulang? Terketar jemarinya memegang tombol pintu yang terkunci dari dalam. Dan sebaik sahaja pintu dibuka...

Sekuntum mawar merah terlayar di ruang mata!

"Assalamualaikum," sapa Nuqman sekali lagi. Puteri tergamam. Salam dijawab tanpa suara. Nuqman tersenyum manis di hadapannya sambil memegang sekuntum mawar merah. Namun senyuman Nuqman perlahan-lahan hilang bila melihat mata dan pipi isterinya basah.

"Kenapa sayang?" Bergetar nada cemas dalam suaranya. Puteri langsung hiba. Namun dia memaku diri di lantai. Matanya tidak lepas dari memandang Nuqman dalam-dalam. Hatinya mahu memeluk Nuqman seerat mungkin. Malah mahu sujud di kakinya andaikata dia boleh sujud pada seorang manusia. Dia meraung di dalam hati memohon keampunan namun lidahnya kelu tak mampu bersuara. Dia tidak mampu kerana dia belum halal bagi Nuqman di mata sesiapa yang mungkin memandang pada saat itu.

"Sayang?" Jemari Nuqman menyentuh pipi Puteri dan serentak itu Puteri berpaling agar dia dapat mencium telapak tangannya, merasakan hangat kasih sayangnya. Nuqman kaget dengan perlakuan isterinya. Perlahan bahu Puteri diraih...

"Man?" Suara Ibu Aisyah mengejutkan keduanya. Tangan Nuqman jatuh ke sisi dan mereka serentak berundur selangkah. Ibu Aisyah yang tertidur di biliknya, terpisat-pisat memandang. Betulkah apa yang dilihatnya?

Puteri mengundur lagi selangkah dua, memberi laluan kepada Ibu Aisyah ke muka pintu. Kemudian dia melangkah laju, kembali ke biliknya dengan airmata berjuraian. Ibu Aisyah tidak sempat memandang wajah basah Puteri kerana tergamam melihat sekuntum mawar merah di tangan anak lelakinya.

"Man!"

"Ibu...! Ya, bu?"

"Bunga tu?"

"Ha? Ohh! Ya, bu, Man... Man ambik dari pokok ibu. I-ingat nak hadiahkan untuk ibu... sebab Man dah nak balik lusa." Tergagap-gagap Nuqman ditangkap basah dengan sekuntum bunga. Ibu mesti fikir yang dia sudah buang tebiat!

Ibu Aisyah mencerlungkan sepasang matanya ke arah Nuqman. Kemudian melirik pula ke anjung sana. Sekilas ikan di air, hati tuanya tahu jantan atau betina. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, melindungi senyum yang hampir mekar.

"Man, kalau untuk ibu, terima kasihlah! Tapi kalau untuk perempuan lain, ibu nasihatkan... Man pinanglah dulu!"

"Eh! Tak! Tak, ibu! Ini memang untuk ibu. Ambik ni, ibu simpan di bilik tau. Biar bilik ibu wangi." Nuqman menghulurkan mawar merah itu dengan senyuman yang tidak tentu arah. Perlahan-lahan Ibu Aisyah menyambutnya tetapi matanya masih tertancap ke wajah Nuqman.

"Err...Nabil dah balik ke, bu? Biar Nuqman masak air kejap ya!" Laju saja Nuqman masukke dalam rumah, melarikan diri dari pandangan ibu yang sedang 'membedah-siasat'hati dan fikirannya dalam diam.

p/s: Novel ini sudah terbit. Whatsapp 011-20503481 jika ingin memilikinya. Terima kasih kerana sudi baca. Salam hormat!    

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now