Bab 7

382 12 0
                                    


Teruja dengan berbagai barangan yang dipamerkan di dereten kedai yang bagaikan tiada kesudahan itu, Puteri bagaikan hilang fokus untuk mencari tudung.

Tambahan pula, hasil kerja tangan orang Turki sungguh halus seninya dengan warna-warna terang yang berbagai tidak kira pada pakaian, barang-barang hiasan, lampu dan sebagainya menjadikan Puteri bagaikan hilang dari dunia. Banyak sungguh yang dibelek dan diperhatikan, ada diambil gambar dan ada yang bagaikan sukar untuk dilepaskan. Dia pasti akan kembali sebelum pulang ke Malaysia nanti.

Peniaga-peniaga yang peramah bukan main lagi melayani Puteri yang hidung dan matanya hampir sama dengan kebanyakan gadis-gadis Turki. Mujur kebanyakannya boleh berbahasa Inggeris malah ada yang boleh bercakap Bahasa Melayu! Kalau tidak, letih juga dia membuat berbagai bahasa isyarat untuk berkomunikasi.

Nuqman sabar melayan kerenah isterinya. Namun yang menghairankannya, Puteri tidak pula mahu membeli barang-barang yang dibelek penuh asyik itu. Tapi bagus juga, desis hati Nuqman. Kalau tidak, mungkin dia terpaksa menjunjung barang-barang tersebut ke kereta memandangkan terlalu banyak yang menjadi perhatian Puteri. Tapi yang menyakitkan hati, Puteri seolah-olah sedang melancung seorang diri. Dirinya bagaikan pengawal peribadi saja. Ini tak boleh jadi!

Tiba di sebuah kedai kecil menjual barang-barang antik, mata dan mulut Puteri sudah sama bulat kerana teruja. Nuqman menghela nafas geram. Lorong kecil di antara deretan kedai di situ mengingatkannya kepada sesuatu. Pantas dia mencapai radio antik di tangan Puteri lalu meletakkannya kembali ke tempat asal lalu menarik Puteri keluar.

"Eh! Kenapa ni? Kenapa tarik saya? Nantilah! Radio tu! Nak tengok jap! Cantik sangat... kejaplah awak!" Puteri meronta-ronta minta dilepaskan. Sementara peniaga di kedai itu sudah melaung-laung, risau kehilangan pembeli.

"Ahh... awak bukan nak beli pun! Ikut je lah..." Jenuh juga menarik perempuan bila hatinya sudah terikat dengan sesuatu. Bagaikan menarik unta liatnya!

Lorong kecil yang sudah pudar warna catnya suram tanpa cahaya. Puteri yang terkocoh-kocoh melangkah ditarik Nuqman terpinga-pinga melihat keadaan sekeliling yang sangat berbeza. Tiada lagi syurga membeli-belah yang berwarna-warni dan bunyi keriuhan bagaikan semakin menjauh. Anak tangga batu yang sudah berusia mereka naiki. Mujur langkah Nuqman semakin perlahan tapi jemari Puteri masih digengam kemas. Puteri dapat melangkah lebih tenang namun melihatkan keadaan sekeliling, aliran adrenalinnya semakin deras.

"Err... awak nak bawak saya pergi mana ni?" Jantung Puteri semakin kuat berdebar. Cemas melihat Nuqman bagaikan ada muslihat. Tapi... dia kan suami? Ahh! Dia lelaki! Apa pun boleh jadi!

Hiruk pikuk dalam Grand Bazaar tadi bagaikan hilang ditelan alam. Selautan manusia tiba-tiba lenyap dari pandangan. Mereka bagaikan timbul dalam dunia yang lain. Pepohon tinggi menghijau tiba-tiba menjamah pandangan mata disambut bunyi burung berkicau. Ajaib!

Langkah Puteri turut terhenti apabila langkah Nuqman berhenti. Langit luas membiru tiba-tiba menyapa. Ya. Hujan telah berhenti. Hari mula cerah dan berangin. Wajah Puteri berubah dari terkejut kepada teruja, dari cemas kepada terharu. Indah sungguh alam di Istanbul!

"Cantik, kan?" Bisik Nuqman tatkala melihat saujana alam yang indah itu. Dia berdiri hampir di belakang Puteri lalu meletakkan dagunya di bahu kecil itu. Cuba melihat alam dari perspektif yang sama dengan Puteri. Puteri yang terkejut berpaling mencari wajah Nuqman dan... serentak itu hidungnya menyentuh pipi Nuqman. Puteri terkaku menahan nafas, menelan liur. Terasa darah panas naik ke pipi. Nuqman terkejut dan tersenyum. Terpejam matanya lama. Menghayati saat istimewa itu.

"Awak!" Suara Puteri bagaikan desiran angin.

"Saya!" Jawab Nuqman sambil berpaling menatap anak mata redup Puteri. Dekat sekali.

MAKNA PADA RASAOnde as histórias ganham vida. Descobre agora