Bab 40

315 3 0
                                    

Lena Nuqman terganggu lagi. Puas dia beralih tempat tetapi rasa berbahang semakin kuat sehingga seluruh tubuhnya basah bermandikan peluh. Dalam kepekatan malam itu, hanya ada cahaya jingga kemerahan yang kelihatan semakin terang bersama bahang yang sangat panas. Nuqman bingkas bangun dari pembaringan, mencari arah untuk melarikan diri dari bahang dan cahaya yang menyala-nyala itu.

"Tolongggggg!!" Laungan meminta tolong tiba-tiba bergema berulang-ulang kali sehingga membuatkan seluruh tubuhnya gementar. Suara itu menggigil ketakutan, berterusan meraung dan menangis meminta tolong. Nuqman kini tidak lagi mencari arah untuk lari dari situ tetapi kalut berlari mencari si empunya suara. Apa yang sedang berlaku? Di mana dia? Kenapa begitu sekali dia menjerit dan meraung?

Apa pun tidak kelihatan dalam kepekatan malam itu. Yang ada hanyalah cahaya yang amat panas itu. Nuqman berhenti berlari dan meneliti dari arah mana suara itu datang. Dari cahaya itu! Dia menelan liur yang terasa kesat. Gema suara meminta tolong itu semakin sayu dan lemah. Nuqman menarik nafas dan memaksa kakinya berlari ke arah cahaya itu. Dalam menahan bahang yang semakin membakar kulitnya, dia terkejut apabila melihat cahaya itu datangnya dari lurah yang sangat dalam dan ada api yang menyala-nyala. Suara itu kedengaran semakin dekat membuatkan dia terus melangkah. Dia tidak lagi peduli di mana dia berada. Hatinya tekad untuk menyelamatkan si empunya suara.

Bunyi dentuman menggegarkan bumi dan serentak itu suara tadi menjerit-jerit meminta tolong. Nuqman cepat-cepat merapatkan tubuhnya ke tanah dan merapati bibir lurah dari arah suara itu datang dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia apabila melihat seorang gadis berpakaian serba hitam sedang menjerit ketakutan. Dia hanya bergayut pada bongkah batu di tepi lurah dan kakinya yang tergantung menerawang ketakutan kerana tidak tahan bahang api yang sedang membakar.

'Sini! Capai tangan saya! Cepat!" Jerit Nuqman sekuat hati. Gadis itu mendongak cemas. Sekali lagi Nuqman tersentak kerana wajah gadis itu sama seperti wanita di Kafe tadi.

Bongkah batu tiba-tiba bergerak dan mata gadis itu terbeliak.

"Tolongggg!!" Jeritan nyaringnya bergema.

"Ya Allah!!" Nuqman tersentak lalu terbangun duduk di katil. Nafasnya tercungap-cungap dan peluh memercik di mana-mana. Dia bermimpi! Dan gadis itu... yang di kafe semalam!

Puas Nuqman beristighfar menenangkan dirinya. Perlahan-lahan dia bangun lalu membuka pintu kaca sorong ke balkoni. Angin malam yang berhembus lembut menenangkan dirinya. Dalam nafas yang semakin teratur, dia mula memikirkan maksud mimpinya tadi. Dan sekeping kertas kecil yang bertulis, TOLONG SAYA!

'Buatlah solat hajat untuk dia. Kalau Allah memang sedang menolongnya, siapa tahu kita yang dipilih Allah untuk jadi penolong...'

Kata-kata Ayah Nizamuddin terngiang-ngiang di telinganya. Betul juga! Kalau hendak difikirkan tentang mimpi dan nota itu, sampai bila pun dia tidak akan faham. Nuqman masuk semula ke dalam sambil mengerling jam di dinding. 3.30 pagi! Waktu paling sesuai untuk bertahajud.

Lama tafakur Nuqman selepas qiamullail, memohon petunjuk dari Yang Maha Mengetahui atas setiap langkah dan keputusan, dalam setiap usaha dan ikhtiarnya dan dalam setiap apa pun yang dilakukannya. Sebagai hamba, dia hanya alat, yang tidak berbekas dan tidak memberi bekas. Melainkan jika digunakan dan diizinkan oleh 'tuan'nya. Kemudian dia bermunajat lagi, memohon petunjuk tentang mimpinya, gadis serba hitam dan nota semalam.

Subuh itu, Nuqman diminta mengimamkan solat Subuh di surau The Turban. Seperti biasa, pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad, surau itu penuh dengan jemaah. Selain dari tetamu yang menghuni di hotel itu, staf dan pengurusan The Turban dan Peace Yo!, ramai juga orang luar yang berdatangan entah dari mana untuk solat Subuh berjemaah dan mengikuti kuliah Subuh, kemudian memenuhi restoran dan kafe di The Turban untuk bersarapan pagi. Itu antara pakej istimewa yang semakin mendapat sambutan di The Turban. Yang lebih menarik, kebanyakan yang datang adalah golongan atasan yang punya nama dan pangkat. Satu gelombang fenomena yang berlaku di tangan seorang lelaki bernama Nuqman.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now