Bab 42

400 9 2
                                    

Bagaikan hendak luruh jantung Puteri apabila melihat Nuqman berdiri di pintu dan memandang tepat ke arahnya. Lebih parah lagi bila dia memandang ke wajah lelaki itu. Pandangan matanya! Puteri dapat merasakan, hati lelaki itu sedang sakit terluka. Tidak pernah! Tidak pernah Puteri melihat wajah Nuqman seperti itu. Dia seperti tidak pernah dilukai sesiapapun selama ini. Tetapi hari ini...

"Abang Nuqman!" Akhirnya Ammar Bahrain bersuara. Puteri ternganga. Mereka saling mengenali?! Ya Tuhan!!

Puteri tidak betah untuk berdiri di situ lagi. Dia menongkah diri, memaksa kakinya sementara masih berdaya, melangkah laju meninggalkan dua lelaki yang sedang berebut ruang di hatinya. Airmatanya mengalir laju tanpa dapat ditahan. Hatinya hiba tidak tentu rasa dan mindanya kalut mencari jalan keluar.

Tetapi ketika melewati pintu, lengannya dipegang. Puteri terhenti melangkah tetapi hanya tunduk memandang lantai, tidak sanggup memandang mata Nuqman yang sedang terluka. Entah apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu? Puteri tidak sanggup berhadapan dengannya saat ini.

"Ika..."

Puteri terngadah. Serak suara Nuqman sarat dengan perasaan. Dalam kabur airmata, Puteri yang memandangnya hanya menggeleng, tidak mampu berkata apa-apa. Dia melurut tangan Nuqman dari lengannya dan pantas menghayunkan kaki meninggalkan mereka berdua.

Puteri berlari menuruni anak tangga sambil cepat-cepat mengesat airmata. Dia harus menyembunyikan perasaannya dalam keramaian ini. Suasana agak riuh dengan suara tingkah-meningkah, menceriakan acara menyarung cincin ke jari manis si gadis. Puteri pantas mengambil kesempatan melindungi wajahnya yang basah dan memerah, beraksi dengan lensa Camcodernya merakamkan gambar-gambar Maliha bersama dengan keluarganya dan keluarga Taufiq silih berganti.

Cincin belah rotan sudah tersarung. Maliha diiring keluar ke ruang tamu dan diperkenalkan kepada seorang demi seorang ahli keluarga Taufiq yang hadir. Mesra sungguh orang utara! Tidak kering gusi Maliha tersenyum dan ketawa dengan usikan mereka. Tan Sri dan Puan Sri turut sama memperkenalkan diri dan ahli keluarganya. Langsung kehilangan Ammar Bahrain disedari.

Serentak itu, pandangan mata Maliha menerjah ke wajah Puteri yang cepat-cepat tunduk memandang lantai. Dia hanya mendongak semula apabila suara riuh menyebut nama Ammar Bahrain yang muncul di kaki tangga bersama kenalan barunya, Muhammad Nuqman yang asing bagi sesiapa pun di situ. Kecuali Puteri!

Berdebar hati Puteri saat dia mencuri pandang ke wajah mereka berdua. Dan tepat sekali, dua pasang mata itu sedang memandang ke arahnya. Tidak sempat melihat riak wajah mereka, Puteri cepat-cepat mengalih pandangan, bergerak menyelinap ke belakang untuk mengelakkan diri dari menjadi tumpuan.

Meninggalkan majlis di tengah rumah, Puteri menuju ke bilik air di bahagian dapur. Lama dia di sana, menenangkan diri dan memikirkan bagaimana hendak memohon izin untuk beredar dari Maliha dan mamanya. Puteri terlalu gelisah. Jantungnya sakit kerana asyik kuat berpalu. Tentang Taufiq dan Maliha, dia akan uruskan kemudian. Moga-moga masih belum terlambat.

"Puteri...!" Tergamam Puteri sebaik saja dia melangkah keluar dari bilik air. Maliha sudah menunggu.

"Eh! Kau buat apa kat sini?" Cepat-cepat dia mengawal emosi.

"Tanya pulak! Cari kaulah! Kau okey tak?" Kedua tangannya diraih Maliha. Puteri cepat-cepat memaksa diri tersenyum. Yakin dengan wajahnya yang sudah dibersihkan dan dioles dengan bedak yang tipis, Puteri merangkul pinggang Maliha.

"Mestilah aku okey! Hari ni hari bahagia aku. Sebab tumpang bahagia dengan kau..." Pipi Maliha dicubit lembut. Dia ketawa ceria. Maliha teragak-agak tetapi ikut ketawa juga. Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang depan semula.

"Semua orang tengah makan. Jomlah... aku nak pastikan kau makan kenyang-kenyang hari ni..."

Allah!

"Liha...! Err... aku dah kenyang sangat-sangat. Kenyang sebab bahagia..." Puteri mengenyitkan mata. Maliha ketawa. Puteri tersenyum dengan lakonan mantapnya.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now