Bab 15

368 13 0
                                    


Saat kepalanya didakap ke dada lelaki itu, diusap dengan tangannya, Puteri terasa seperti mahu menangis semahu-mahunya. Mahu dihamburkan segala kesedihan yang ditanggung selama ini. Mahu dilepaskan segala yang terbuku di hati. Namun dengan segala kekuatan yang ada, dia menahan. Detak jantung dada Nuqman jelas di telinganya. Seperti detak jantungnya juga! Dan entah kenapa dia terasa selamat di situ. Hangat mendamaikan.

Puteri menghela nafas, merasa semakin tenang setelah dibawa Nuqman berjalan melihat pelbagai cenderahati di gerai-gerai di bahagian luar bangunan Hagia Sophia. Tangannya sentiasa dibahu Puteri atau dipinggangnya atau setia mengenggam jemarinya seperti bimbang Puteri pergi entah ke mana. Sempat Nuqman membelikan dia beberapa cenderahati yang kecil dan comel seperti monumen-monumen bangunan bersejarah di Turki dalam bekas-bekas kaca, keychain dan beg galas gaya etnik Turki. Bijak lelaki itu mengalih minda dan emosinya yang terganggu tadi.

Ramai sungguh pelancong pada hari itu. Pohon-pohon besar yang tinggi merendang setia memberi teduhan di ruang legar di halaman Hagia Sophia tempat para pelancong melepaskan lelah selepas selesai menziarah.

Puteri membelek-belek Camcodernya sambil menunggu Nuqman yang berpatah balik untuk membeli sahlep dari penjual di pintu keluar Hagia Sophia tadi setelah mendapatkan kerusi dan meja untuk mereka di celah-celah ramai.

Menyedari suasana keliling begitu meriah dengan sinar matahari yang kini memancar terang, Puteri mula menerawang bersama lensanya mencari sudut-sudut dan babak-babak menarik untuk dirakamkan.

Tiba-tiba dia terhenti di satu arah di antara ramai. Seorang dara sunti duduk di ribaan ayahnya, berkerut dahi mengadu sesuatu. Dengan sepenuh perhatian, si ayah membuka kasutnya. Rupanya kaki si dara merah melecet mungkin kerana terlalu banyak berjalan. Tanpa rasa segan, dia memaut tumit kecil itu dalam tapak tangannya yang besar, mengusap lembut sambil berkata sesuatu seperti memujuk.

Klik! Klik! Klik! Lensa Camcoder di tangan Puteri merakamkan babak-babak manis itu. Seketika dia terhenti. Dirakamkan lagi babak-babak spontan bila pipi si dara dicium, airmatanya diusap dan rambutnya disisir dengan jemari tua si ayah. Turut dirakam senario si dara itu bersama si ibu yang duduk di sebelah yang turut mengusap rambutnya penuh kasih. Dua orang anak lelaki lagi berkata sesuatu, kelihatannya sangat mengambil berat tentang si adik. Semakin dipandang, dadanya semakin sebak hingga air jernih mula tergenang dalam kelopak mata bundarnya.

"Hai... segala bagai nak diambik gambar. Tapi tourist guide yang sorang ni, dah la handsome, available pulak tu, tak ada pulak yang sudi nak ambik gambar..." Keluh Nuqman yang tiba-tiba datang duduk di kerusi sebelahnya. Puteri tersenyum di sebalik camcodernya, menelan sebak lalu berpusing mencari wajah Nuqman dalam lensanya.

Klik! Klik! Klik! Nuqman tak kekok beraksi lucu. Dalam tawa, hati Puteri bergetar. Panahan anak mata hitam Nuqman menusuk hatinya. Nuqman menarik nafas lega. Airmata yang tergenang dalam sepasang kelopak mata bundar itu tak tumpah akhirnya. Kenapa dia begitu tersentuh melihat hubungan seorang ayah dengan anak kecil itu? Rindu abah?

Sahlep dinikmati bersama. Adunan susu kambing dan madu dengan perisa vanila membuatkan sahlep begitu enak ditambah dengan aroma serbuk kulit kayu manis.

"Hmm... sedap! Macam aiskrim vanila panas!" Puteri sampai terpejam matanya menikmati sahlep manis yang sangat lembut teksturnya. Ah! Puteri dan aiskrim!

"Yalah... sedap pulak sahlep ni. Dulu saya makan tak sesedap ni. Kenapa ya...?"

Puteri mengangkat kening. Memerhati riak wajah Nuqman yang tiba-tiba bagaikan termenung jauh mencari jawapan kenapa sahlep tiba-tiba sedap? Ahh... malas nak layan! Layan sahlep lagi baik.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now