Bab 35

306 8 0
                                    

Tanpa menunggu jawapan, Nuqman melangkah keluar dari kereta. Bila Puteri tidak keluar sama, dia segera bergerak ke arah pintu kereta di sebelah penumpang. Pintu itu dibuka.

"Jom... last shopping sebelum balik. Hari ni dah tak boleh belek-belek lagi ya. Take it or leave it. Takut nanti terlepas flight." Nuqman sempat mengusik. Puteri pula hanya memandang, terpinga-pinga.

"Shopping?"

"Yes! Tuan Puteri di Grand Bazaar sekarang. Tempat yang kita datang dulu. Kalau nak ke Spice Market pun boleh lepas ni tapi kena cepatlah... nak balik packing lagi." Nuqman serius risaukan waktu penerbangan malam itu kerana sikap Puteri yang tidak menentu. Macam tak mahu balik...

"Tak nak lah! Duit saya dah habis. Lagi pun tak ada apa yang penting nak dibeli." Puteri masih bersandar di tempat duduk. Mukanya berkerut, memuncung.

"Ika! Saya kan ada! Cepatlah," Nuqman cuba memujuk. Puteri pula berpeluk tubuh.

"Saya tak nak! Kalau awak banyak sangat duit, baik awak bagi je kat diaorang tadi. Diaorang lebih perlu dari saya!" Dia berkeras. Nuqman menutup pintu lalu kembali duduk di tempat duduk pemandu.

"Ika... sebahagian dari pendapatan saya memang untuk orang yang memerlukan. Tapi sebahagiannya lagi untuk isteri dan keluarga saya. Ika bukan selalu datang Istanbul. Belilah apa-apa yang berkenan di hati untuk kenangan."

"Dah! Dah beli dah tadi! Cukuplah tu... kita balik je, please...," Puteri mula terasa sebak tanpa sebab. Nuqman! Tolonglah jangan baik hati sangat! Lagi susah nak tinggalkan nanti. Puteri menghempas diri ke tempat duduk. Marah pada diri sendiri. Apa yang sudah berlaku pada dirinya? Emosi tak tentu pasal!

Nuqman mengeluh. Dan mengalah. Kereta dipandu keluar dari kawasan itu dan terus menuju ke pangsapuri mewah yang mencatat begitu banyak kenangan manis antara dia dengan Puteri. Mungkinkah semua itu akan berulang lagi? Hatinya memanjat munajat.

Puteri terus ke bilik sebaik saja mereka masuk ke pangsapuri. Nuqman terpinga-pinga dengan sikapnya. Beg-beg kertas yang berisi cenderahati diletakkan di meja makan. Dia terkilan kerana tidak sempat membeli apa-apa untuk ibu dan adik-adiknya, juga team Peace Yo! dan staf The Turban. Jam ditangan ditelek. Masih ada masa! Nuqman terus ke bilik air, mandi dan berwuduk kerana azan asar akan dilaungkan sebentar lagi.

Pintu kayu itu hendak diketuk tetapi tidak jadi. Hasrat Nuqman mahu mengajak Puteri solat bersama tetapi pintu yang tertutup rapat sejak tadi buat dia ragu-ragu. Mungkin Puteri berehat dulu kerana keletihan. Ahh... biarlah. Akhirnya dia bersolat sendirian.

Sekeping nota diletak di atas meja makan untuk beritahu Puteri yang dia keluar sebentar dan akan pulang untuk solat maghrib bersama. Lepas itu Nuqman keluar membelah kesesakan lalulintas di Sultanahmet untuk membeli beberapa cenderahati dan makanan istimewa Turki terutama baklava!

Puteri yang baru selesai solat terdengar bunyi pintu utama ditutup. Bingkas dia bangun selepas mengaminkan doa sendiri. Pintu biliknya dikuak. Nuqman tiada. Dia keluar ke ruang tamu dan terus ke meja makan untuk mengambil beg-beg kertas di situ. Dan nota yang ditinggalkan Nuqman dibaca.

Puteri mengeluh lalu kembali ke biliknya. Beg bagasi terbuka di atas katil dengan segala isinya berhamburan memenuhi ruang katil. Dia memaksa diri menyambung kerja mengemas beg dengan berbagai rasa yang berbaur.

Patutkah aku beritahu dia sebelum balik? Atau lebih baik aku emel saja? Hmm...emel lebih mudah! Kalau dulu, waktu inilah waktu kemenangan baginya. Bila dia berjaya menawan hati lelaki, membuai perasaannya dan selepas itu mengoyak-rabakkan hati mereka. Bila mereka merayu dan mengharap, saat itulah dia akan menghancur-lumatkan hati mereka! Kemudian dia akan meraikan kemenangan itu dengan teman-temannya. Dia menikmati kepuasan dan kebebasan hidup. Dia menari berlantaikan duka hati insan bernama lelaki!

MAKNA PADA RASAOnde as histórias ganham vida. Descobre agora