Bab 38

335 7 0
                                    

"Mummy! Mummy!"

Nadia yang berdiri di verandah tersenyum melihat Puteri berlari keluar dari kereta mendapatkannya. Namun senyumannya mati apabila melihat gadis itu dengan lebih jelas. Berjubah dan bertudung? Puteri? Dalam terpinga-pinga, tubuhnya didakap erat.

"Rindunya mummy!"

"Ya... mummy pun rindu!" Mereka berpelukan buat seketika. Kemudian Nadia memegang kedua bahu Puteri, menjarakkan tubuhnya untuk melihat Puteri dari atas sampai ke bawah.

"Look at you! Apa ni, tiba-tiba macam ni?" Nada suara Nadia bercampur. Pelik ada, seperti jengkel pun ada. Puteri ketawa.

"Ika kan baru balik dari Istanbul. Jubah dan tudung-tudung kat sana cantik-cantik sangat, mummy! Ika belilah. Cantik tak?" Soal Puteri sambil berpusing-pusing menggayakan pakaiannya sambil ketawa.

"My daughter, kan... mestilah cantik! So, it's a change of fashion or for good?" Soal Nadia kembali sambil menjeling seperti tidak puas hati.

"In sya Allah, mummy. Ika nak pakai terus sebab mummy kata, cantik!" Kedua pipinya dicubit. Dan Puteri ketawa lepas. Ah Puteri! Manja tak habis-habis. Walau setegas manapun dia, gadis itu tetap pandai memanjakan dirinya. Rasa aneh menyerbu dalam hati Nadia dengan sikap Puteri yang begitu ceria. Sudah terlalu lama dia tidak mudah senyum dan ketawa seperti malam ini. Mungkin perubahan angin di Istanbul mengembalikan dirinya yang dulu.

"Ha, Nadia, kenapa berdiri di luar saja? Masuklah. Nor mana?" Tan Sri Megat Hasyim beriak selamba, menegur Nadia apabila dia melangkah masuk ke verandah. Pintu rumah sudah luas terbuka tapi wanita itu lebih suka berada di luar.

"Hurmm...," Nadia menjawab acuh tidak acuh. Perbualan terakhir mereka di telefon masih berbekas di hatinya. Kalau tidak kerana Puteri, tidak mungkin dia menjejakkan kaki di sini. Pesanan ringkas dari Puteri membuatkan dia bergegas datang walaupun sudah terlewat. Dia banyak menghabiskan masa di pejabat menyelesaikan kerja yang tertunggak kerana demam kelmarin. Lagipun dia membawa hajat.

"Jom, mummy! Kita masuk. Mummy tidur sini, ya! Dah lewat ni... tak sangka mummy datang. Ika keluar makan dengan abah tadi." Puteri memaut pinggang Nadia, mengajaknya masuk ke dalam rumah. Abah sudah berlalu tanpa sepatah kata. Agak pelik sikap abah terhadap mummy malam ini, desis hati Puteri.

"Duduk kejap, mummy. Ika nak ambilkan sesuatu untuk mummy, istimewa dari Istanbul!" Puteri berlari anak ke biliknya. Kalau boleh dia mahu berkongsi segalanya dengan mummy. Tetapi watak mummy tidak seperti ibu atau Maliha atau mama Maliha. Mummy juga belum tahu yang dia sudah bernikah! Jadi apa pun kemelut jiwanya, dia tetap tidak punya sesiapa untuk dikongsi.

Nadia tersandar di sofa. Dia benar-benar tidak pasti bagaimana hendak memulakan. Membunuh dua ekor burung dengan seketul batu bukan satu perkara yang mudah. Namun dia bersyukur kerana laluan sudah terbuka. Kedatangan Ammar Bahrain di pejabatnya setelah hampir tiga tahun menghilang benar-benar mengejutkannya. Penat bertelagah dengan Zulkarnain yang tidak membenarkannya keluar ke pejabat kerana belum betul-betul sembuh berganti kejutan yang membuatkan amarahnya memuncak.

Walaupun tidak banyak yang dikongsikan Puteri selama ini tetapi perubahan drastik gadis itu ada kena mengena dengan anak muda yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Hampir setahun Puteri dibelengu kemurungan. Dan selepas itu dia bukan lagi dirinya. Berubah secara drastik, Puteri membimbangkan Nadia dengan gaya hidup bebas bersama teman-teman tetapi memencil diri bila pulang ke rumah. Bagaikan hidup dua alam, dia tahu gadis itu sedang menderita. Jadi, apakah bayaran yang setimpal untuk semua itu? Hanya dengan kata-kata maaf?

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now