Bab 8

355 7 0
                                    


"Syukur, Alhamdulillah..." Bisik hati Ammar Bahrain sebaik sahaja pesawat selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy tadi. Perjalanan selama 22 jam 30 minit itu akan membawanya ke Dubai dan hanya selepas itu dia akan menyambung perjalanan ke Kuala Lumpur yang sudah terlalu lama dia tinggalkan.

Suasana tenang dalam perut pesawat sepanjang perjalanan tidak dapat membantu dirinya yang kegelisahan sejak dia mula bersiap untuk pulang. Hari demi hari, dia mengimbau masa-masa yang telah lalu dan memikirkan hari-hari yang bakal dia tempuhi. Gembira dapat kembali ke tempat tumpah darahnya. Bahagia terasa untuk kembali bersama keluarga tercinta. Namun mengenangkan Maliha, adik kesayangannya, Ammar jadi gelisah. Rasa cemas pula menujah bila membayangkan wajah Puteri. Entah bagaimana patut dia berhadapan dengan Puteri Zulaikha sekali lagi? Walau apa pun yang terjadi, dia harus menerimanya. Walau dicaci dan dihamun, dia tetap akan tegar berdiri. Kalau dia diusir sekalipun, dia tetap akan setia menanti. Dia harus berjuang untuk memiliki hati Puteri buat kali kedua dan dia sangat yakin, kali ini untuk selama-lamanya andai diizinkan Tuhan yang Esa. Serentak itu, mata Ammar terpejam rapat bermunajat.

"Memanglah abang tu bukan jauhari. Sebab tu lah tak kenal manikam. Memang tak retilah nak bezakan yang mana intan, yang mana kaca! Habis tu, kalau dah tak reti, dengarlah nasihat orang!" Tempelak Maliha bertalu-talu. Boleh berdarah telinga dek tajamnya kata!

Dan hari ini dia pulang sebagai jauhari. Pengalaman telah mengajar dia bagaimana mengenal manikam. Harus dikuak segala kaca demi memilih intan walau nanti tangannya mungkin luka berdarah. Hanya satu pintanya pada Yang Maha Kuasa, janganlah dia terlambat. Dia memohon diberi peluang sekali lagi untuk memilih kerana dia amat pasti dengan pilihannya kali ini.

"Kalau kolot tu satu dosa. Kalau hidup tak bebas macam orang lain tu awak anggap satu kesalahan, kalau kerana kelemahan saya, awak kata saya menyesakkan hidup awak, kalau benar kerana peribadi saya ni, saya memalukan awak, pergilah... tapi tolong jangan hina saya dihadapan semua orang. Saya ada ayah, ada keluarga. Tolong jangan calarkan maruah keluarga saya." Wajah polos itu basah dengan airmata meminta simpati walau di saat itu hatinya sakit bagaikan disiat-siat.

Mata Ammar terpejam menahan pilu. Kejam sungguh aku! Sesalnya tak berpenghujung. Wajah sedih itu memburu dirinya walau ke mana dia pergi. Lebih dua tahun dia cuba menepisnya. Sudah jenuh dia berusaha memadamkannya. Namun wajah naif yang basah dengan airmata itu terus menghantuinya. Dan setiap kali itulah hatinya jadi pedih. Pedih yang tidak terubat.

"Maafkan aku, Puteri. Maafkan aku...." Rintihan itu tidak berkesudahan. Beberapa kali dia cuba menghubungi Puteri namun tiada jawapan. Pesanannya tidak pernah berbalas. Maliha pula bagaikan naik hantu setiap kali dia membuka mulut untuk bertanyakan khabar sahabat baiknya itu. Rapat sungguh hubungan persahabatan itu kerana Maliha ikut merasa sakitnya malah berdendam dengan darah dagingnya sendiri.

"Kenapa nak pergi jauh-jauh Ammar? Tak kesiankan mama dengan papa ke? Apa kurangnya Universiti Malaya? Apa perlunya Ammar ke New York? Universiti di sana lebih hebat ke?" Puan Sri Khadijah semakin hari semakin runsing dengan keputusan satu-satunya anak lelakinya itu. Sudahlah dia seorang sahaja yang lelaki, mahu meninggalkannya pula. Hati Ammar dipagut sayu setiap kali kata-kata mama menerjah telinganya.

"Bukan sebab universiti di sana tu lebih hebat, ma. Tapi kalau dah kena penyakit angau, macam nilah jadinya! Mama ke papa ke... dah tak jadi hal. Yang penting, hati bahagia melayan angau." Maliha mencemuh. Mencerun mata Ammar saat itu. Sudahlah Maliha bertubuh kecil, jadi semakin kecil di matanya. Mulut tu memang tak makan saman! Ikut suka dia saja nak bercakap!

Melihatkan Mama yang terpinga-pinga dengan wajah sugulnya, Ammar membatu diri. Tidak mampu hendak berkata-kata walaupun penumbuknya sudah dikepal kemas. Kalau ikut hati marahnya, mahu didebiknya si Maliha. Tetapi jauh dalam dirinya, dia tahu kebenarannya. Maafkan Ammar, mama...

Segalanya kerana Liana Ikram. Pelajar tahun akhir jurusan Seni Reka Fesyen yang ditemui secara tidak dirancang. Lirikan matanya bagaikan berbicara, memukau minda Ammar hingga membuatkan dia tercari-cari siapa empunya diri. Personaliti Liana jelas menunjukkan dia dari golongan ekstrovert yang sangat suka mencari perhatian, gemar sesuatu yang mencabar dan suka mencari peluang untuk melangkah jauh. Berkeyakinan tinggi dan seorang 'go-getter', Liana sangat tahu apa yang dikehendakinya.

Teruja dengan kecantikan dan personalitinya membuatkan Ammar berusaha untuk mendekati Liana. Bagi seorang jejaka kacak dan berada seperti Ammar yang memandu Ford Fiesta Hatchback Sport, meraih perhatian gadis seperti Liana menjadi teramat mudah. Namun niat hanya untuk berkawan menjadi semakin pudar apabila senyuman manja Liana menjadi igauannya siang dan malam.

"Dulu Liha tak nak kenalkan abang dengan Puteri, mati-mati abang pujuk Liha. Bila tau Puteri tu ramai peminat, lagi hebat abang tackle dia. Dah dapat dia, bukan main abang canang satu dunia. Sekarang abang kejar ratu fesyen tu pulak, senang-senang hati nak campak Puteri ke tepi macam tu je? Abang ingat perempuan ni apa haa? Anak patung? Kayu? Bisu? Tak ada perasaan? Liha benci dengan perangai abang ni tau tak? Benci!" Amukan Maliha meledak tidak lama selepas itu. Ammar tidak mampu menyembunyikan kebenarannya lagi. Dia dah gila bayang dengan Liana Ikram! Dan Puteri...?

Sebuah penumbuk melayang ke mukanya sebaik saja dia keluar dari kereta di perkarangan tempat letak kereta di hadapan kolej. Terlentang Ammar di atas rumput. Wajah Taufiq yang menyinga tambah mengejutkannya. Tak sempat berkata apa-apa, leher baju Ammar dicekak dan ditarik sekuat hati. Sebuah lagi tumbukan padu singgah ke rahang pipinya hingga dia terasa bagaikan ada sesuatu yang patah. Peritnya hanya Tuhan yang tahu.

"Fiq! Cukup Fiq... aduhhh... arggghh...!" Terhoyong-hayang Ammar mengundur ke belakang.

"Cukup kau kata? Tu baru sikit, tahu tak? Kalau ikut hati aku, mau aku patah-patahkan tulang kau!"

"Kau gila ke apa? Tiba-tiba naik hantu..." kata-kata Ammar putus di situ bila melihat Taufiq melangkah laju ke arahnya. Kolar bajunya dicekak sekali lagi sampai sesak nafas dibuatnya.

"Aku gila ke atau kau yang gila? Eh! Kau dengar sini, Mar! Aku tak kira kau anak Tan Sri Khaleef ke siapa. Aku warning kau, Mar... kau nak kejar perempuan tu, kau kejar la sampai liang lahad pun aku tak kisah. Kau nak tinggalkan Puteri, kau boleh blah... lebih baik pun kau tinggalkan dia daripada dok sakitkan hati dia. Tapi aku tak nak dengar kau kutuk dia lagi, kau FAHAM tak?" Tubuh Ammar yang tinggi lampai itu tergoyang-goyang di tangan sasa Taufiq.

"Apa... apa kau cakap ni, Fiq?"

"Kau ingat aku pekak ke? Mentang-mentang kau dapat Liana tu hot macam tu, macam-macam kau kutuk Puteri! Eh, kau nak blah, kau blah la! Yang kau nak tambah sakitkan hati dia tu KENAPA?"

"Taufiq! Taufiq! Kenapa ni...?" Puteri berlari datang entah dari mana mengejutkan kedua-duanya. Cepat-cepat Taufiq melepaskan cengkamannya di kolar baju Ammar seraya menghenyak jejaka itu ke belakang. Ammar jatuh terduduk dan terhenyak ke tanah. Dia mengerang kesakitan. Rasakan! Taufiq mendengus, puas.

"Ammar! Taufiq! Kenapa ni?" Puteri terpacak berdiri di antara mereka.

"Kau tanyalah jantan ni kenapa! Dia lagi tahu dari aku. Kalau ikut hati aku, mati dia aku kerjakan...." Taufiq mencapai beg galasnya yang entah bila terjatuh ke tanah.

"Dah la... aku blah dulu, Puteri. Apa-apa nanti, kau call aku, okey?" Menyedari ada banyak mata sedang memandang ke arah mereka dari jauh, Taufiq rasa lebih baik dia beredar. Puteri cepat-cepat mengangguk.

"Kau take care..." Sayu wajah Taufiq melangkah meninggalkan Puteri tanpa memandang Ammar sedikit pun.

Perlahan-lahan Puteri memandang ke wajah Ammar yang masih mendesah sakit. Darah merah mengalir perlahan dari tepi bibirnya yang mula membengkak. Puteri hanya memandang dengan wajah kosong lalu perlahan-lahan mengangkat kaki melangkah pergi tanpa menoleh lagi.

"Puteri! Puteri! Tunggu...!" Panggilannya tidak bersahut dan tidak pernah bersahut sehingga kini. Kebisuan Puteri bagaikan air batu yang membekukan segala-galanya.

Ketika itu, kebisuan Puteri memudahkan Ammar. Hampir tiga bulan sebelum itu hubungan mereka keberantakan. Ada saja yang tak kena. Daripada berterusan begitu, sebelum lebih banyak kata-kata mengguris hati, ada baiknya hubungan mereka dinoktahkan. Bukan Ammar tidak langsung merasa sakit dan pedih kerana berpisah dengan Puteri Zulaikha yang pernah menjadi gadis kesayangannya dulu namun egonya menegaskan bahawa dia harus mendapatkan yang terbaik.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now