Bab 28

411 5 0
                                    

Nadia tidak pernah merasa sebegitu letih. Setiap inci tubuhnya terasa berdenyut. Dia lesu. Sebaik sahaja keretanya di parkir di garaj, dia tersandar lemah. Tidak berdaya hendak keluar dari kereta. Biarlah dia berehat sebentar di situ.

Zulkarnain masih berdiri di tingkap memandang ke arah garaj. Hampir lima belas minit berlalu. Lampu kereta sudah lama dimatikan. Kenapa isterinya masih di situ?

Dia keluar menuju ke kereta. Nadia sedang terbaring lesu ditempat duduk yang telah direndahkan. Dia tak mahu masuk kerana aku?

Zulkarnain mengetuk cermin tingkap. Tetapi Nadia diam membatu. Sedikit pun tidak bergerak. Zulkarnain semakin kehairanan. Samada Nadia sengaja atau... Pantas tangannya membuka pintu. Tak berkunci!

"Nadia! Nadia! Bangun Nadia!" Tangannya menepuk bahu dan pipi Nadia.

"MasyaAllah! Panasnya!" Terkejut sungguh Zulkarnain. Pelik sebab penghawa dingin kereta masih terpasang. Nadia sakit? Pantas dia menutup enjin kereta, mendukung Nadia, membawanya keluar dan menutup pintu dengan kakinya.

Pintu bilik Nadia terkuak dan wanita itu dibaringkan di katil. Dia masih lena, tidak bergerak. Zulkarnain berlari turun, mengambil beg tangan, mengunci kereta dan pintu.

Selepas itu dia ke dapur mengambil satu jag air masak, sebuah besen kecil dan sebiji gelas, dia bergegas semula ke tingkat atas. Almari Nadia diselongkar untuk mencari tuala kecil dan baju tidurnya. Alat penghawa dingin dipasang. Zulkarnain pantas bekerja. Pakaian Nadia dibuka sedikit demi sedikit, kulitnya dilap dengan tuala basah dan akhir sekali pakaian Nadia ditukar. Setelah wanita yang masih lena itu kelihatan lebih selesa, Zulkarnain meletakkan tuala basah di ubun-ubunnya lalu dia kembali turun ke dapur untuk memasak bubur nasi dan mencari ubat untuk Nadia. Kenapa dia tiba-tiba demam? Dia mengeluh panjang. Yang penting, dia mahu menjaga Nadia. Mahu menebus kembali kesilapannya, 'membenarkan' Nadia hilang dari hidupnya kerana dia terlewat berterus-terang.

Sejak malam tadi, Zulkarnain bagaikan hilang punca. Kata-kata Nadia bagaikan muktamad. Namun dia cekalkan hati, terus juga bermalam di situ, di atas sofa di ruang tamu. Walaupun rumah besar itu ada empat bilik namun dia sedar yang kehadirannya tidak dikehendaki.

Pagi itu, apabila Nadia bergegas pergi tanpa mempedulikannya, langsung tidak sudi menjamah sarapan yang dia sediakan, sekali lagi dia hampa. Apakah harapan untuk kembali bersama benar-benar sudah tertutup buat mereka.

Zulkarnain tidak ke pejabat hari itu. Setelah membuat kunci pendua, dia ke pejabat Nadia untuk menghantar kunci rumahnya. Namun Nadia tidak ada. Dia meninggalkan kunci itu pada Seri, penyambut tetamu yang berjanji akan memberikannya kepada Nadia.

Selepas itu, Zulkarnain memandu pulang ke rumah. Kepulangannya disambut Natrah dengan senyum manis tanpa spekulasi. Itulah istimewanya Natrah. Zulkarnain akan rasa tenang di sisinya walaupun di saat dia sedang resah gelisah di dalam.

Air teh telah lama sejuk. Kuih sepiring terbiar tak disentuh. Sejak balik tadi, Zulkarnain hanya termenung di sofa. Dia benar-benar buntu. Dia tekad mahu berterus-terang dengan Natrah seperti yang dia katakan pada Nadia semalam. Tapi macammana? Perlukah? Atau dia teruskan saja tanpa perlu melukakan hatinya.

Mungkin akhirnya Nadia akan pergi juga. Setakat ini, dia sama sekali menolak untuk bersama. Jadi apa untungnya Natrah terluka bila akhirnya Nadia tetap tak wujud di antara mereka? Tapi... sanggupkah dia melepaskan Nadia setelah anak mereka ditemui? Kalau Nadia benar-benar tak sanggup berkongsi kasih, patutkah dia memaksa? Sedangkan dia sangat yakin, Nadia masih menyayanginya.

Tiba-tiba tangannya di riba diraih lembut. Entah bila Natrah duduk di sebelahnya, dia sendiri pun tak perasan.

"Abang, tak pernah Natrah tengok abang gelisah macam ni. Abang nak kongsi dengan Natrah?" Lembut sungguh tutur katanya. Selembut sentuhannya mengelus tangan suami tercinta. Zulkarnain menelan liur. Natrah tidak pernah memaksa dan mendesak. Tenang menerima apa saja. Tergamakkah dia melukainya?

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now