Bab 37

335 10 0
                                    


"Kita nak ke mana ni, bah?" Soal Puteri, teruja ingin mengetahui ke mana destinasi istimewa mereka malam itu. Beriya-iya abah mengajaknya keluar makan malam bersama. Malah meminta dia memakai pakaian yang istimewa juga kerana kata abah, mereka akan makan malam di sebuah tempat yang sangat cantik. Daripada dia melayan perasaan resah gelisah sejak petang tadi, lebih baik dia keluar dengan abah, hiburkan hati.

Tan Sri Megat Hasyim tidak menjawab. Cuma tersenyum panjang sambil tenang memandu Volkswagen Passat 1.8 TSI berwarna putih meluncur laju di lebuhraya utara selatan, membelah kegelapan malam. Malam itu dia memandu sendiri kerana dia benar-benar mahu meluangkan masa bersama puterinya. Tambah pula, mereka tidak perlu merentasi kesesakan lalu lintas di tengah kota raya untuk sampai ke destinasi yang dituju. Tidak lama selepas mereka melewati KLIA, Tan Sri Megat Hasyim memberi signal ke kiri dan memandu perlahan di lorong kecemasan.

"Ika tengok di bawah sana tu," ujarnya tanpa menoleh. Puteri yang agak terkejut, terus berpaling. Sebuah bangunan kelihatan sungguh unik, putih serlah dan bercahaya di tengah-tengah kegelapan malam. Bumbung putih itu berbentuk seperti kedutan kain membaluti bumbung tengah yang berbentuk hampir seperti kubah dengan struktur granit yang berona hijau kebiruan. Bentuk bangunan itu... seperti serban! Bila mindanya menyebut 'serban', hatinya menyebut 'Nuqman'!

"Cantik, kan? Kita nak ke sana sekarang." Puteri terlopong.

"Bangunan apa tu, bah? Bentuknya macam serban... Ika tak pernah tengok pulak."

"Ika... sibuk dengan interior je. Bukan dengan bangunan!"

"Tak adalah, abah! Tapi yang ini Ika tak pernah tengok... memang cantik!"

Dari susur keluar tadi, mereka membelok pula ke jalan kecil menuju ke bangunan itu yang dihiasi lampu dan pohon-pohon palma di kiri kanan jalan yang diselangi dengan tumbuhan hiasan. Jelas bangunan itu baru dibina kerana terletak di kawasan yang belum diterokai. Di kiri, kanan dan belakangnya masih dipenuhi pohon-pohon yang merimbun.

Sungguh mengejutkan, walaupun kedudukannya seperti terpencil dan tersendiri namun kereta yang menjalar masuk dan yang memenuhi ruang pakir begitu banyak. Dari pintu masuk dan dinding kaca yang mengelilingi aras bawah bangunan itu, kelihatan simpang-siur pengunjung yang ramai dan meriah. Puteri menapak perlahan sambil tangannya melingkar di lengan abah kerana dia benar-benar menghayati keseluruhan rekabentuk luaran bangunan itu yang sangat menarik. Taman lanskap yang mengelilingi bangunan itu begitu kemas dan cantik selain dari hiasan lampu dan pohon palma, reka bentuk seni topiari bercirikan geometri pada tanaman hiasannya yang terdiri dari pokok-pokok teh liar, melati dan bunga kertas amat mengagumkan.

Dan sebaik saja mereka melangkah masuk, dia terhenti. Di hadapannya, sebuah ruang legar yang indah dan harmoni serta 'hangat' seperti ketika dia berada di Turki! Sebuah tangga yang besar berada di tengah-tengah ruang menyambung ke aras mezzanine dengan bercabang dua ke arah kiri dan kanan bangunan itu. Sementara itu, di aras bawah, di kiri dan kanan tangga itu, kelihatan ruang resepsi utama yang unik bagi menyambut kedatangan para tetamu. Menurut abah, di sebelah kiri adalah bahagian protokol dan bankuet untuk menyambut dan melayan tetamu rasmi. Di situ itu juga terletaknya surau yang sangat besar dan bersambung ke aras mezzanine yang menjadi ruang surau muslimah. Selain itu, terdapat juga dewan, bilik mesyuarat, bilik pameran dan di aras dua dan tiga adalah bangunan pejabat.

Bahagian sebelah kanan pula adalah souq bazaar yang terdiri daripada puluhan gerai yang menjual makanan, pakaian, aksesori, hadiah dan cenderahati selain dari butik dan restoran memenuhi aras bawah dan mezzanine sementara di aras dua dan tiga adalah hotel penginapan. Bangunan itu luas mengunjur ke belakang dan mempunyai empat tingkat semuanya termasuk aras mezzanine.

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now