Bab 22

373 4 0
                                    

"Nak tengok tarian sufi?"

"Eh... nak! Nak! Bestnya! Kat mana? I've read about it somewhere. Macam menarik sangat tarian tu," Puteri teruja sampai tidak sedar yang dia sedang menggoyang-goyangkan lengan Nuqman.

Tersenyum Nuqman dibuatnya. Selalunya gadis itu kelihatan matang dan serius. Tetapi rupanya masih keanak-anakan. Hilang wajah penat lesu setelah seharian melancong. Usai solat maghrib dijamakkan dengan solat Isya' di Masjid Biru tadi, Nuqman kasihan melihat Puteri yang lesu keletihan. Hampir dia membatalkan niatnya dan bercadang mahu membawa Puteri balik berehat. Tetapi kini gadis itu seperti kanak-kanak riang bila diajak menonton tarian sufi.

"Kita tengok sambil makan ya."

"Alright!" Puteri tersenyum malu-malu sambil melepaskan lengan Nuqman. Terlupa diri sekejap!

Perut pun sudah berlagu. Sebab mereka hanya minum teh di jalan kecil di Taksim tadi selepas jalan-jalan di sekitar Taksim Square sementara menunggu masuknya waktu maghrib.

Namun seronok juga menemani Nuqman berbual-bual dengan warga Turki yang suka menghabiskan masa bersembang-sembang di lorong-lorong kecil sekitar Taksim sambil minum teh dalam gelas-gelas kecil dengan gula batu. Sesuai dengan gelaran yang diberikan untuk kawasan itu – syurga cai. Ramah sungguh orang Turki rupanya. Nuqman belum menguasai bahasa Turki dan banyak berbahasa Inggeris. Apa pun, pesan Nuqman – SENYUM! Dan mereka dilayan penuh mesra!

Asyik dengan suasana itu, Puteri tak sedar masa berlalu. Kemudian mereka berjalan sambil menghirup udara petang menuju Masjid Biru. Suasana begitu harmoni dengan simpang-siur manusia, dikelilingi bunga-bungaan terutamanya tulip yang mekar berseri. Anjing dan kucing tidur bermalas-malas malah tak langsung terganggu dengan manusia yang ramai. Sementara burung merpati jinak terbang menari-nari di atas kepala. Satu perkongsian yang sungguh mesra alam!

Puteri berlari-lari mengejar merpati jinak yang mulanya mengerumuni bila dia kaku berdiam diri tetapi berterbangan bila dia mahu menyentuh. Memang sifat merpati, dekat bila tak dipeduli tetapi lari bila hendak dimiliki. Nuqman ketawa gelihati dengan keletah Puteri. Merpati itu persis dirinya.

Puteri tercungap-cungap bila duduk di hamparan rumput baldu di taman indah yang teretak di antara Hagia Sophia dan Masjid Biru yang telah mereka jejaki awal pagi tadi. Namun lewat petang ini, ramai sungguh warga Turki dan para pelancong yang beristirehat di situ. Kebanyakannya bersama keluarga atau teman-teman. Sesuatu yang agak aneh kerana tak kelihatan pasangan-pasangan kekasih seperti di Malaysia di situ. Kalau lelakinya, bersama teman-teman lelaki. Begitu juga gadis-gadis Turki, datang bersama keluarga atau teman-teman sejenis. Maka taman itu tidak tercemar dengan adegan-adegan yang mengundang kehadiran para iblis dan syaitan.

"Letih?"

"Yeah... but happy! Thank you so much for taking me around." Jujur terluah kata-kata itu dari bibirnya.

Nuqman merebahkan badannya di atas rumput seperti kebanyakan lelaki warga Turki dan para pelancong saat itu. Terlalu indah. Berbumbungkan langit Illahi yang terbentang luas, berlantaikan bumi hijau dengan warna-warni bunga dan paling istimewa bila ditemani isteri yang cantik manis. Inikah agaknya yang dikatakan syurga dunia?

"Awak selalu lepak sini?" Puteri bertanya, memotong anganan Nuqman yang sedang tersenyum-senyum dengan langit. Senyuman dibibir Nuqman bertukar tawa. Lepak? Pernahkah wujud istilah itu dalam hidupnya?

"Ini kali pertama."

"Really?" Susah Puteri hendak percaya.

"Kawan saya beritahu, di sini paling best kalau nak dengar alunan azan bersahut-sahutan di Istanbul."

MAKNA PADA RASAWhere stories live. Discover now