BAB 32 👑

2.6K 189 24
                                    

IMAN menahan sebak di dalam hati. Dia menapak melangkah ke arah bilik pengantin yang sudah dihias elok di tingkat atas. Air matanya sedaya upaya ditahan agar tidak tumpah membasahi wajahnya.

Lemah langkahnya diatur mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas yang menempatkan biliknya. Namun dia sudah tidak tertahan. Akhirnya, tumpah jua air matanya saat kakinya mencecah anak tangga yang ke tiga. Air mata itu mengalir membasahi pipi. Semakin dia melangkah ke atas, semakin lebat air matanya gugur. Sampai di tangga yang terakhir, tangisnya sudah teresak-esak. Lututnya mula longlai. Segera dia melabuhkan punggungnya di atas tangga itu dengan tangis yang semakin menggila.

Ke mana Irfan pergi? Sudah dua hari lelaki itu menghilangkan diri tanpa khabar. Sudahlah lusa mereka akan diijab kabulkan, tetapi Irfan pula yang menghilangkan diri. Sudah puas dia menelefon dan menghubungi lelaki itu dengan pelbagai cara, tetap juga langsung tiada khabar dari bakal suaminya itu.

Keluarga Irfan juga buntu. Kereta Irfan juga dikhabarkan hilang. Ke mana Irfan pergi? Adakah dia melarikan diri? Adakah dia tak nak kahwin dengan Iman?

Hati Iman sakit tiba-tiba. Entah kenapa, rasa teraniaya dan diperdaya bertandang di hati. Air mata semakin laju mengalir dipipi. Esakan halus kedengaran di ruang itu.

"Kalau kau tak nak kahwin dengan aku, janganlah bagi harapan dari awal." Bisik Iman sambil mengepal tangannya. Cincin yang berada di jarinya ditenung dengan air mata yang berlinangan.

"Kenapa kau buat aku macam ni?" Tanya Iman lagi. Bibirnya digigit agar esakkannya tidak terlalu kuat sehingga mampu mengejutkan seisi rumah itu.

"Kau cakap tak boleh dah nak patah balik, kena teruskan sebab kita dah jauh. Tapi kau pergi mana? Cakaplah kalau tak nak teruskan dari awal. Cakaplah kalau kau terpaksa kahwin dengan aku! Jangan acah kau rela dan sayang aku lah, setan!" Bentak Iman. Semua yang terbuku di hatinya diluahkan. Iman memeluk lututnya. Bibirnya digigit agar sebarang esakan kuat tidak terlepas.

Sakit sangat rasa ditinggalkan tanpa berita, Irfan. Tangis Iman lagi.

---------

SETELAH kereta diparkir elok di hadapan sebuah rumah papan itu, kakinya terus melangkah keluar dari perut keretanya. Persekitaran rumah itu dipandang lama sebelum senyum pahitnya terukir. Dia bersyukur kerana diberi rezeki oleh ALLAH untuk kembali ke rumah orang yang banyak membantunya sewaktu dia sakit dahulu. Pintu kereta di tutup dan dia melangkah ke tangga.

"Assalamualaikum!" Irfan melaungkan salam dengan kuat. Matanya masih melilau di sekitar rumah itu. Berharap jika ada orang yang berada disekitar rumah itu memandangkan pintu utama tertutup rapat. Salamnya tidak bersambut.

"Assalamualaikum!" Sekali lagi Irfan melaungkan salamnya, berharap salamnya pada kali ini bersambut. Beberapa saat kemudian, ternyata pintu utama rumah itu terbuka dengan sahutan salam. Mata Irfan membesar. Senyumnya terukir. Lega kerana masih ada orang di rumah ini. Kelihatan Pak Hamid berada dimuka pintu. Wajahnya bengis sahaja.

"Kau buat apa kat sini hah?" Tiba-tiba suara Pak Hamid bergema dengan lantang. Irfan kaget. Liurnya diteguk. Adakah kedatangan aku tidak diundang?

"Kau buat apa kat sini?" Kali ini Aizat pula muncul. Kedua-duanya tampak garang. Irfan mula kecut perut.

"Saya nak cari Angsana, Pak Hamid." Jawab Irfan dengan sopan.

"Kau yang bawak lari adik aku, kau nak cari dia buat apa?" Bentak Aizat sambil meluru ke arah Irfan. Lekas penumbuknya dihayun tepat mengenai pipi Irfan. Irfan jatuh ke bumi. Pipinya yang pijar disentuh sambil mengaduh kesakitan.

"Mana adik aku?" Bentak Aizat lagi. Dia menggenggam kolar baju milik Irfan dengan kejap. Hampir tidak boleh bernafas Irfan dibuatnya.

"Saya tak tahu adik abang pergi mana. Saya datang pun nak cari dia." Jawab Irfan. Jujur. Dia cuba meloloskan diri daripada pegangan Aizat.

FLOWER PRINCE 👑 ✔Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora