BAB 42 👑

3.2K 203 5
                                    

Sebelum azan subuh berkumandang, Iman sudah sibuk berada di dapur. Gadis itu sedang menyiapkan juadah untuk rombongan meminang yang bakal hadir pada hari ini. Lincah sahaja dia ke sana ke mari.

Semalam dia dapat satu panggilan daripada nombor misteri. Pada awalnya dia tidak ingin menjawab panggilan itu. Namun apabila panggilan daripada pemanggil misteri itu berulang, Iman akhirnya menjawab. Tanpa disangka Irfan yang menelefonnya bagi mengkhabarkan bahawa keluarganya akan bertandang ke apartmentnya pada hari ini yakni pada jam 10 pagi.

Ternyata Irfan bukan main-main dengan kata-katanya. Lelaki itu serius. Sebelum Iman sempat menyembur lelaki itu, sempat sahaja lelaki itu berpesan agar menerima pinangannya. Ugutan yang paling tak logik dek akal diberikan kepadanya.

Ada ke patut nak culik aku dan kahwin kat Siam? Bentak Iman di dalam hati. Kepalanya digeleng perlahan. Usai memotong bawang, Iman membawa bekas yang berisi bawang itu lalu menuangkannya ke dalam kuali. Bawang ditumis sehingga naik bau.

Lima minit sebelum azan subuh bergema, Iman sudah menyelesaikan semua menu juadahnya pada hari ini. Nasib sahaja barang-barang sudah tersedia di dalam peti ais. Kalau tidak, jenuh juga nak ke pasaraya pada waktu.

Gadis itu kembali ke biliknya untuk membersihkan dirinya. Dia perlu bersiap sedia untuk solat subuh. Selepas solat subuh, dia ingin mengemas apartmentnya. Biasalah, ada orang nak datang kan?

-------

"T, betul ke nak ikut ni?" Izzaty yang sudah cantik berbaju kurung itu mengangguk laju. Senyumnya diukir mekar. Syazana mengeluh perlahan.

"Akak janganlah risau. T nak jumpa Iman. T nak mintak maaf dengan Iman." Gadis itu memeluk bahu Syazana. Senyumnya semakin melebar bagi memujuk hatinya sendiri.

"Kalau macam tu, akak keluar dulu. Nak tengok persiapan kat luar." Syazana meminta diri untuk ke ruang tamu. Izzaty mengangguk sahaja. Tak semenanya, fikirannya melayang. Peristiwa semalam kembali berputar di mindanya.

Saat kakinya menapak keluar dari perut keretanya, Izzaty lekas menapak ke muka pintu rumah Syazana. Pintu rumah itu diketuk beberapa kali seraya salam turut dilontarkan. Tidak sampai beberapa minit, pintu rumah dibuka oleh Aisy. Aisy yang kelihatannya kaget dengan kehadiran sepupunya itu mempelawa Izzaty masuk.

"Duduklah dulu. Along panggil Kak Ana." Izzaty dipelawa duduk sementara Aisy memanggil Syazana yang sedang menidurkan anak bongsu mereka setelah mereka pulang dari rumah Encik Hakeem. Tidak lama kemudian, Syazana muncul bersama Aisy. Lekas Izzaty memeluk wanita itu. Empangan air matanya pecah lagi.

"Eh kenapa ni?" Syazana terpinga-pinga apabila Izzaty memeluknya tiba-tiba. Tambahan lagi, telinganya dapat menangkap esak tangis milik gadis itu. Pelukan cuba dileraikan namun Izzaty berkeras untuk terus memeluk Syazana.

"Abang pergi jaga anak-anak, boleh?" Syazana bertanya sambil merenung lembut wajah suaminya itu. Aisy yang faham dengan keadaan itu, mengangguk. Girl's talk. Dia mengatur langkah meninggalkan isterinya dan sepupunya.

"Kenapa ni?" Syazana memimpin tangan Izzaty ke arah sofa. Dia menyuruh Izzaty duduk. Dia juga mengambil tempat duduk dihadapan gadis itu.

"T kejam.." Tergagap-gagap Izzaty bersuara. Matanya sudah memerah. Begitu juga dengan hidungnya.

"T kejam sebab buat Iman macam tu." Sambungnya lagi. Air matanya semakin lebat mengalir. Sungguh dia sangat menyesal dengan perbuatannya.

"T yang buat Iman tinggalkan majlis tu, kak." Izzaty bersuara lagi. Syazana beristighfar perlahan. Dia kaget. Tidak menyangka bahawa perkara ini didengar olehnya.

"Apa yang T cakap ni?" Soal Syazana. Berpura-pura tidak mengerti walhal dia ingin mengorek lebih banyak maklumat. Bijak kau, Syazana.

"T bersalah.." Izzaty mula menceritakan perkara yang berlaku pada malam sebelum majlis ijab kabul Irfan dan Iman berlangsung. Syazana tidak habis-habis beristighfar. Tidak menyangka bahawa Izzaty sanggup bertindak sedemikian terhadap sahabatnya sendiri.

"T tak kesiankan Iman ke?" Tanya Syazana dengan sedikit kecewa.

"T ikutkan perasaan sangat, kak. T menyesal." Izzaty menunduk. Ya, memang dahulu dia sangat mengikut perasaannya tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Dia buta untuk menilai yang baik dan buruk.

"T, Iman dah cuba buat macam-macam untuk T. Masa dia kena tangkap basah, habis-habisan dia menolak untuk tidak berkahwin dengan Fan. Nak tahu sebab apa?" Syazana jeda seketika. Tubir matanya juga sudah bergenang dengan air mata.

"Dia buat semua tu sebab T. Dia tak nak. Tapi kami pujuk jugak supaya dia terima Fan. Itupun dia masih berdegil. Masa dia bertunang pun, pernah dia cakap kat akak, kalau T balik masa dia dan Fan bertunang, dia sanggup lepaskan Fan untuk T." Bibirnya digigit. Syazana menahan sebak yang mula bertandang apabila perkara yang berkaitan Iman mula bermain di mindanya.

"Dia lari sewaktu majlis tu pun sebab nak T dan Fan kahwin. T pernah terfikir tentang perasaan Iman?" Tangan Izzaty digenggam erat. Syazana merenung lembut wajah gadis yang sudah dianggap sebagai adiknya itu.

"Iman sukakan Fan dan T langsung tidak tahu dan tak ambil peduli. T jahat kak. T kejam." Lekas badan Syazana dipeluk. Tangisan yang tidak pernah reda semakin menggila. Rasa bersalahnya semakin menggunung setelah mendengar cerita Syazana. Empangan air mata Syazana juga turut pecah. Pelukan Izzaty dibalas.

"Iman sanggup buat apa je untuk T, tapi T...." Izzaty mengesat air matanya apabila suara Syazana kedengaran semakin menghampiri dapur itu. Peristiwa semalam hilang dari mindanya. Dia bangkit dari kerusi dan berlaku ke pili air.

"T okay?" Syazana menghampiri Izzaty setelah menyelesaikan kerjanya di ruang tamu.

"Okay, alhamdulillah kak." Senyum canggung diukir.

"Semua dah selesai? Nak bertolak pukul berapa?" Sambungnya. Bahu Syazana dipaut perlahan. Hari ini, dia akan membuktikan bahawa dia merupakan sahabat yang terbaik untuk Iman. Jika selama ini Iman menderita kerananya, hari ini dan seterusnya, dia akan pastikan Iman bahagia dengan hidupnya.

Walaupun perit untuk merelakan semua itu, namun dia tetap berkeras untuk melakukannya. Berbanding dengan perkara yang Iman lakukan buatnya, dudah pasti itu hanya sebahagian kecil untuk membalasnya.

"T betul-betul okay?" Syazana masih tidak percaya dengan kata-kata Izzaty. Hatinya kuat mengatakan bahawa Izzaty sedang dilanda kesedihan.

"T okay, kak. T tak sabar nak jumpa Iman. T rindu Iman." Syazana mengeluh perlahan. Tidak habis-habis dia berdoa agar semua yang dirancang pada hari ini berjalan dengan lancar.

ALL RIGHT RESERVED BY RealStarlight.
FP - BAB 42.
23/05/2017.

Double hapdate for today? In shaa ALLAH 😉

FLOWER PRINCE 👑 ✔Where stories live. Discover now