2: Permintaan Permaisuri

2.1K 172 50
                                    

Tun Seri Jasmin tersenyum sumbing menghampiri Tuanku Permaisuri yang sedang berbaring di dalam kamarnya. Sudah lebih seminggu Tuanku Permaisuri berkeadaan demikian. Kini Tuanku Permaisuri tidak lagi kerap mencemar duli bertemu rakyat jelata.

"Tuanku, ini ubat dari dukun Siti, patik letakan saja di sini, nanti tuanku minum ubat ini sebelum petang, ya?" pesan Tun Seri Jasmin. Air jamu lantas diletakan di atas meja kecil kamar Tuanku Permaisuri.

"Uhuk-uhuk, terima kasih Seri Jasmin." ucap Tuanku Permaisuri.

Tun Seri Jasmin lantas berdiri dan menunduk sebelum keluar dari kamar Tuanku Permaisuri.

Beberapa waktu kemudian masuk pula dayang kesayangan tuanku permaisuri.

"Ampun tuanku, patik terlewat kerana mereneh ubat-ubatan tuanku." ucap Dayang Dahlia.

Tuanku Permaisuri membangunkan dirinya dari pembaringan. Dia kemudian duduk berlunjur kaki.

"Usah Dahlia bimbang, beta tidak akan menghukum Dahlia kerana terlewat membuatkan ubat kepada beta." kata Tuanku Permaisuri. Mangkuk yang berisi air ubat itu diletakan bersebelahan dengan air jamu dari Tun Seri Jasmin tadi.

"Tuanku, air ini daripada siapa?" tanya Dayang Dahlia. Setahunya, dia belum lagi memberi apa-apa air minuman kepada Tuanku Permaisuri.

"Dari Seri Jasmin, tidak lama sebelum Dahlia datang, Seri Jasmin baru juga beredar." jawab Tuanku Permaisuri.

Mendengar sahaja nama itu, dayang Dahlia berasa seakan tidak senang hati.

"Adakah tuanku meminumnya?" dayang Dahlia meminta kepastian.

"Sudah, tetapi rasanya sungguh tidak enak, oleh itu beta tidak betah ingin menghabiskannya." jawab Tuanku Permaisuri.

"Ampun tuanku, walaupun patik tidak berhak berkata, tetapi patik ingin mengatakannya juga, hal Tun Seri Jasmin." Dayang Dahlia memula bicara. Kata hatinya berbisik-bisik tidak enak.

"Katakan saja, beta berkenan untuk mendengar."

"Ampun Tuanku, patik tidak senang hati kerana Tun Seri Jasmin ingin berbaik kepada Tuanku permaisuri, selama ini tidak pernah dia pedulikan hal tuanku, tetapi sejak tuanku ditimpa gering, sering pula dia datang melawat. Patik mengesyakinya, patik risau jika dia cuba mengapa-apakan tuanku," ujar Dayang Dahlia dengan jujur.

Tuanku Permaisuri menghirup udara sebelum dihembus lepas. Pandangannya dihala keluar tingkap kamar Istana. Bayu lembut menampar wajah jelitanya.

"Beta yakin dia berniat baik sahaja." putus Tuanku Permaisuri.

"Ampun tuanku, patik bersalah kerana mengesyaki kerabat, tuanku." dayang Dahlia tidak mahu berkata apa lagi. Ungkapan seorang Sultan dan permaisuri adalah titah. Jangan diragukan atau hukuman akan diterima.

Permaisuri Tengku Tun Kadziyah sekadar tersenyum melihat wajah Dahlia yang jelas kerisauan memikirkan dirinya.

"Dahlia, mahukah kiranya Dahlia beta pinangkan pada seseorang?" tanya Tuanku Permaisuri.

Dayang Dahlia sedikit tersentak tetapi kemudian bertunduk menghadap lantai.

"Patik sekadar menurut perintah, tuanku."

❇✳❇

Tengku Afkar mundar mandir di hadapan kamar Sultan. Dia tidak senang akan berita yang baru didengari daripada Awang Wadi, pengawal peribadinya. Sebaik sahaja pintu kamar Sultan terbuka, terus Tengku Afkar menerobos masuk.

"Tu-tuanku," Awang Wadi terkocoh-kocoh mengejar Tengku Afkar yang sudah masuk ke dalam kamar Sultan.

Tengku Afkar memberikan pandangan tajam kepada ayahandanya, Sultan Aqhar.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now