7: Pelajaran Tengku Mahkota

1K 99 13
                                    

Suasana di Istana Bukit Naura sungguh sunyi sekali. Tiada pengawalan ketat seperti di Istana Kota. Tengku Afkar berjalan-jalan ingin mencari seseorang di dalam Istana itu. Setahunya, di Istana ini terdapat lagi lima penghuninya. Tetapi langsung tidak nampak kelibat mereka. Entah kemanakah juga Awang Wadi? Pagi-pagi lagi sudah hilang.

Tuk-Tuk-Tuk-Tuk!

Tengku Afkar terdengar bunyi seakan kayu berketuk-ketuk. Terus sahaja dibawa dirinya menuju ke balai dapur. Terdapat seorang lelaki dan wanita sedang memupuk beras.

"Selamat pagi, Tuanku." kata Pak Hamid, lelaki yang pernah merawatnya hari itu.

"Selamat pagi." balas Tengku Afkar pendek. Dilihatnya wanita yang bersama Pak Hamid itu pula.

"Ini isteri patik, panggil sahaja Mak Jiah." kata Pak Hamid. Faham akan renungan dari Tengku Afkar itu.

Jiah? Kebetulan apakah ini? Bonda juga namanya Tengku Tun Kadziyah. Hampir sama sahaja.

"Tuanku, patik telah siapkan sarapan, menurut Tun Seri Dahlia, sarapan kegemaran tuanku ialah kuih tepung talam. Sudah patik siapkannya di atas meja. Marilah." ajak Mak Jiah.

Tengku Afkar berdecit kecil. Mengapa pula Tun Seri Dahlia itu sibuk menyatakan kegemarannya kepada siapa-siapa? gerutunya.

"Ke manakah tengku berdua itu? Sejak tadi beta tidak melihat mereka." tanya Tengku Afkar kepada Pak Hamid di meja makan.

"Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz sedang berlatih."

"Berlatih?"

"Ya, berlatih di bawah air terjun di dalam hutan. Mereka dilatih oleh seseorang yang pakar. Patik rasa, Tuanku Sultan juga ingin Tuanku untuk belajar daripadanya ..." balas Pak Hamid lambat-lambat.

"Siapakah orang itu?" mendengarkan itu, Tengku Afkar jadi semakin berminat untuk tetap berada di sini.

"Seseorang yang sangat rapat dengan Tuanku Sultan dahulunya ..." balas Pak Hamid lalu mengeluh.

❇❇❇

"Sejauh manakah lagi kita harus berjalan?" tanya Tengku Afkar kepada Awang Wadi.

Selepas santapan tengah hari tadi, Pak Hamid meminta Awang Wadi menghantarnya ke kawasan tempat Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz berlatih. Sambil itu, Mak Jiah juga memesankan bekalan makanan buat mereka.

"Sudah tidak jauh lagi. Di hujung jalan ini terdapat anak sungai, dan di hulunya pula ada air terjun tempat mereka berlatih." balas Awang Wadi.

Tengku Afkar berdecit. Nasib baik sahaja lalu di hutan ini tidaklah terlalu panas matahari membahang. Dek kerana dedaunan pohon-pohon tinggi yang menapis sedikit sinaran terik matahari itu. Sejuk sahaja suasananya.

Beberapa minit berjalan, Awang Wadi menghentikan langkahnya, begitu juga Tengku Afkar.

"Sungai." kata Tengku Afkar sambil mengukir senyum nipis.

"Kita berjalan lagi hingga ke hulu. Insya Allah akan sampai jua di tempat mereka." kata Awang Wadi.

Tengku Afkar sekadar mengangguk dan mula mengikuti langkah Awang Wadi.

Kali ini perjalanan sedikit sukar. Tempat kaki berpijak untuk melangkah, bukanlah tanah keras lagi. Kebanyakannya tanah berair dari bibir sungai. Kemudian, Awang Wadi mula membawa kaki meraduk sungai yang kian deras. Menandakan sudah hampir ke kawasan hulu yang terdapat air terjun. Perlahan-lahan kakinya melangkah agar tidak tergelincir daripada batu-batuan yang ditumbuhi oleh lumut-lumut hutan yang menghijau di permukaan batu-batuan itu.

"Be-beta takut." Tengku Afkar menyatakan perasaannya saat kaki kecilnya ingin memijak batu-batuan itu.

Awang Wadi berpaling semula. Bekas makanan di bahunya dipusingkan ke dada. Kemudian dia menghampiri Tengku Afkar serta bercangkung di hadapannya.

"Naik sahaja belakang patik." arah Awang Wadi. Kesian akan kanak-kanak, biarpun dia adalah seorang putera mahkota, tetapi dia juga manusia biasa.

Usai melintasi batu-batuan besar, Tengku Afkar lantas meminta turun. Apatah lagi sudah terlihatnya tiga kelibat manusia sedang berlatih. Malulah dirinya jika dianggap seorang putera katak yang penakut.

"Hiyah! Hiyah!" Tengku Eijaz dan Tengku Nadhir dilihat sedang berlatih silat.

"Lagi!" laung seorang lelaki dewasa. Tangannya yang bersilang di belakang memegang rotan panjang. Tengku Afkar menelan liur.

"Assalamualaikum, tun." sapa Awang Wadi. Lelaki itu pun berpaling menjawab salam.

"Waalaikum- Wadi! Mengapa tuan hamba berada di sini? Bukankah Wadi sepatutnya menjadi pengawal kepada tengku mahkota?" kata lelaki itu tanpa melihat ke arah Tengku Afkar. Mungkin tidak perasan.

"Pa-patik dihantar oleh Tuanku Sultan bersama Tengku Mahkota ke mari ..." balas Awang Wadi lalu memperkenalkan Tengku Afkar.

Lelaki itu memandang Tengku Afkar dengan pandangan yang tidak senang. Dari atas ke bawah. Kemudian, terus sahaja dia memalingkan badannya dan melihat semula anak muridnya berlatih.

'Sungguh tidak beradab perilaku lelaki ini. Bukankkah beta Tengku Mahkota? Sepatutnya beta menerima layanan yang senang!' desis hati Tengku Afkar.

"Mengapa Tuanku menghantar puteranya ke mari?" tanya lelaki itu pula. Dia mengangkat tangan kanannya menyuruh Tengku Eijaz dan Tengku Nadhir berhenti berlatih seketika.

"Tuanku inginkan Tengku mahkota berlatih dengan tun," balas Awang Wadi seraya menyerahkan sepucuk surat di-Raja kepada lelaki itu.

Tengku Afkar berfikir sejenak. Semenjak tadi dia mendengar Awang Wadi membahasakan lelaki ini dengan panggilan 'Tun'. Entah mengapa dia merasakan Awang Wadi menghormati lelaki itu sama seperti ayahandanya.

Lelaki itu mengambil surat daripada tangan Awang Wadi dan membacanya. Kemudian dia menghembus nafas kasar.

"Bukankah patik sudah menjadi seorang pembelot? Lalu mengapa seorang pembelot perlu mengajar Tengku mahkota? Adakah Tuanku tidak takut akan kejatuhan kerajaannya?" kata lelaki itu dengan nada yang tegas.

"Patik yakin, Tuanku inginkan Salam kembali semula kepada pemerintahan dan Tuanku sedang memberi peluang kepada Salam." tiba-tiba suara Pak Hamid kedengaran.

Mereka lantas menoleh. Pak Hamid keluar dari kawasan tepi hutan dan berjalan menuju ke arah lelaki yang dipanggil Salam itu. Pak Hamid memberikan senyuman kepada Tengku Afkar.

"Pastinya Tuanku masih percayakan Salam lagi dan inginkan Salam kembali membantunya." sambung Pak Hamid.

"Patik tidak mahu. Sudah berkali-kali patik beritahu! Patik tidak akan kembali ke Istana kota selagi kepala pengkhianat itu masih di sana!" semakin keras nada suara Salam.

"Jika demikian, didiklah Tengku mahkota ini dan buktikan bahawa Salam benar." kata Pak Hamid lagi.

"Juga patik tidak mahu. Patik sudah tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan Tuanku!" balas Salam dan terus berlalu meninggalkan kawasan itu.

Tengku Eijaz dan Tengku Nadhir sempat memberi Salam tanda terima kasih dengan menyusun sepuluh jari serta bertunduk sedikit tanda penghormatan sebelum Salam berlalu masuk ke dalam hutan.

Tengku Afkar termangu-mangu menggarukan kepalanya. Benaknya berfikir akan sikap lelaki itu.

Pak Hamid dan Awang Wadi mengeluh dan bertunduk serba salah.

"Masihkah tun menyimpan amarah kepada Tuanku?" Kata Awang Wadi.

❁❈Bersambung❈❁

Edited : 16 Nov 2017
Jika ada terlihat kesalahan dalam penulisan lagi. Sila maklumkan dan beri tunjuk ajar. Terima Kasih. Komen. Vote. ※
17 Nov 2018

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now