39: Pemberian

607 70 12
                                    

Tun Haseen memberikan satu persatu kuih bungkus kepada orang-orang yang berada di kawasan pasar itu. Keutamaan diberikan kepada anak-anak kecil. Sudah lama dia tidak melakukan hal ini. Jika dahulu, dia dan ayahnya sering berbuat seperti ini. Namun kini ayahnya semakin tua dan tidak lagi larat hendak berdiri lama di pasar.

"Apakah ini mencukupi?" tanya pemuda yang membantunya sejak tadi.

Tun Haseen pantas mengangguk. Sebungkus kuih talam kemudian dihulurkan pula kepada pemuda itu.

"Makanlah, sejak tengah hari tadi patik tidak melihat tuan muda berehat." ujar Tun Haseen.

Tengku Afkar sekadar melepas tawa.

"Bukankah patik tidak layak? Patik bukanlah orang yang memerlukan bantuan." balas Tengku Afkar. Sengaja ingin mengulangi kata-kata gadis itu tadi.

Tun Haseen berdehem halus. Dek kerana ingin menolak pemberian pemuda ini, terpaksa dia mencadangkan untuk sama-sama memberikan kuih percuma kepada rakyat jelata.

"Pa-patik telah lama menyimpan wang untuk tujuan ini ... tetapi wang patik,"

"Masih tidak mencukupi, kemudian meminta pemberian peribadi patik untuk diberikan kepada orang-orang pasar." pintas Tengku Afkar. Tangannya disilangkan ke dada.

"Patik berjanji akan mengantikan semula wang tuan muda ..," tutur Tun Haseen dengan yakin.

Tengku Afkar sekadar mengangkat kening. Bukannya dia tidak ikhlas membantu gadis ini memberikan bantuan makan kepada orang pasar. Tetapi,

"Patik benar-benar berjanji!" tegas Tun Haseen lagi.

"Hmm baiklah. Patik simpan janji cik muda itu." balasnya acuh tak acuh.

"Cik muda, masih ada lagi kuihnya?" tiba-tiba datang seorang budak dengan pakaian compang camping meminta pemberian daripada kedua mereka.

Tun Haseen mengangguk sambil tersenyum. Kuih yang masih ada itu dihulurkan kepada budak yang kelihatan comot itu.

"Terima kasih cik muda," ucap budak itu.

Tun Haseen mengangguk seraya tersenyum. Hatinya senang melihat anak-anak jalanan makan dengan penuh berselera. Walaupun hanya kuih-muih, namun sedikit pun mereka tidak memilih atau merungut.

"Jikalau pemandangan taman atau pantai adalah pemandangan indah ... namun bagi patik, pemandangan itu tiada tandingannya apabila melihat rakyat jelata senang dengan apa yang mereka miliki, apa yang mereka makan, atau apa yang mereka pakai." ulas Tun Haseen dengan suara perlahan.

✴❇✴❇

Di Istana Bukit Naura, Tengku Hamzaa telah selamat tiba di kaki bukit.

"Haa, jauh rupanya perjalanan hendak kemari." Tengku Hamzaa melepaskan lelah lalu duduk di bawah sebatang pohon tinggi. Dadanya masih turun naik selepas penat berjalan kaki sejak semalam. Peluh di tubuh juga membasahi dirinya. Tengku Hamzaa kemudian membaringkan tubuhnya di atas rumput empuk. Terasa ingin beristirehat dahulu sebelum berjalan semula ke istana yang terletak di atas bukit tinggi itu.

❇✴❇✴✳

"Sudah lewat tengah hari ini Tuanku masih belum pulang?" tanya Awang Wadi sekali lagi.

Dayang Nurin mengumam bibir. Tidak tahu hendak menjawab apa lagi. Awang Wadi seperti telah mengetahui ke mana sebenarnya Tengku Mahkota itu menghilang. Sudah dia cuba bohongi namun Awang Wadi seperti tidak mahu percaya akan kata-katanya.

"Bi-biasa-nya tu-tuanku su-su-sudah pu-lang wa-waktu i-ini." tutur Nurin nyata kembali gaguk apabila dia berasa gementar dan takut.

Awang Wadi menggaru lagi kepalanya yang tidak gatal. Perasaannya juga turut runsing memikirkan sikap Tengku Mahkota yang kerap mencuri-curi keluar ini. Apalagi hari esok adalah hari penting pemilihan Tengku Puteri.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now