18: Kerabat

771 90 3
                                    

"Buat sahaja seperti yang telah diarahkan. Ingat, buatkan ia umpama satu kemalangan ... dan pastikan tiada sesiapa pun yang terlihat kalian!"

***
Tun Seri Jasmin tersenyum sumbing melihat pemuda yang sedang berjalan ke arah laluannya itu. Pakaian rasminya sengaja dikibarkan sambil dia berjalan.

Tengku Afkar membalas pandangan wanita di hadapannya. Sengaja dia menjuihkan bibirnya. Terasa seperti hendak membuang ludah sahaja.

"Tengku mahkota, mengapa tengku suka bertindak melulu keluar daripada Istana tanpa pengetahuan sesiapa?" sapa Tun Seri Jasmin yang kini sudah rasmi menjadi permaisuri menggantikan bonda Tengku Afkar.

"Mengapa? Apakah perlu beta beritahu semua orang sekiranya beta hendak bersiram?" balas Tengku Afkar.

Tun Seri Jasmin menahan amarah di hati. Jika bukan kerana almarhum permaisuri mengandungkan putera saat dia telah mengandungkan Tengku Hamzaa dahulu, pasti anakandanya yang menjadi Tengku Mahkota saat ini dan seterusnya akan memegang pula takhta kerajaan!

"Bukankah Tengku mahkota harus menghormati beta? Beta adalah permaisuri negeri ini. Mengapa tengku tidak memberikan jawapan yang beta mahukan?" kata Tun Seri Jasmin lagi.

"Permaisuri? Huh, hanya bonda beta sahaja yang layak berada di atas takhta itu. Orang lain seperti Tun seri hanya tahu duduk sahaja di atas tahkta yang dihiasi indah. Tidak tahu apa-apa tentang rakyat. Memiliki takhta hanya pada pakaian dan singgahsana," balas Tengku Afkar dan terus berlalu dari situ, membiarkan wanita itu makan hati mendengar kata-katanya.

Tun Seri Jasmin menolehkan leher memerhatikan belakang Tengku Afkar yang baru sahaja berlalu melintasinya. Tangannya mengepalkan penumbuk dan giginya digetap kuat!

"Dasar anak raja yang sombong!" desisnya.

***

Tengku Afkar menguis-nguis makanan di dalam pinggannya. Keluhan kecil terlepas tanda dia sedang tidak berpuas hati menghadiri santapan pada malam ini.

"Tengku, dipersilakan ..." pelawa Tun Seri Dahlia.

Tengku Afkar mendengus perlahan. Malam ini, dia dijemput ke Istana Tun Seri Dahlia untuk makan malam. Dia terpaksa menghadirinya memandangkan ayahanda sendiri yang membawanya ke sana. Jika ditolak, teringat akan alkisah dahulu, saat dia dimarahi menaburkan kuih muih yang dibawakan oleh Tun Seri Dahlia kepadanya.

Ah, itu dahulu. Dia juga masih kanak-kanak pada waktu itu. Sekarang dia harus berubah! Perangai tidak matang akan menjejaskannya untuk menaiki takhta kelak.

"Makan anakanda, sudah lama ayahanda tidak duduk semeja dengan anakanda." pelawa Tuanku Sultan pula.

"Bonda, anakanda hendak makan telur itu lagi," pinta Tengku Adwan, si kecil yang kini berusia sepuluh tahun.

"Bersyukur nak, yang itu untuk Tuanku, makan sahaja ini, dari pinggan bonda," Tun Seri Dahlia lantas menyuapkan telur goreng kegemaran Tengku Adwan terus dari tangan kanannya ke mulut puteranya itu.

Tengku Afkar diam memerhatikan. Sesungguhnya dia juga merindui saat seperti itu bersama almarhum bondanya.

'Bonda, anakanda sungguh rindu kepada bonda.' bisik hatinya.

"Anakanda, ke mana sahaja anakanda tuju saat keluar dari Istana Kota hampir setiap petang hari?" pertanyaan Tuanku Sultan terus sahaja menyedarkan Tengku Afkar ke alam realitinya.

"Anakanda berlatih di luar." bohong Tengku Afkar.

"Berlatih apa lagi? Apa, Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz sudah sampai ke mari?" Tuanku Sultan ingin tahu.

"Belum, anakanda berlatih dari orang lain yang anakanda kenali." Tengku Afkar mula menjawab acuh tak acuh. Gusar akan pertanyaan demi pertanyaan itu.

Perlukah dia memberi tahu bahawa dia sudah mula mencemar duli keluar ke pasar rakyat? Tidak. Sudah pastilah segala protokol istana akan keluar di meja makan ini.

Sebagai seseorang yang masih di bawah takhta, dan bakal menaikinya, kebebasan adalah terhad. Hanya sewaktu almarhum bonda masih ada sahaja protokol itu dilonggarkan. Takut kalau ada kejadian buruk yang menimpa di luar sana. Lagipula dia tidak mengajak sesiapa untuk melindunginya. Pasti ayahanda akan murka akan sikapnya yang ini.

"Daripada siapa? Mengapa ayahanda tidak tahu?" desak Tuanku Sultan lagi. Dia mulai curiga akan sikap anakandanya ini. Seperti sedang merahsiakan sesuatu.

"Erm, kenalan ... yang telah lama anakanda kenali ..." Tengku Afkar semakin tidak senang duduk.

Tuanku Sultan menghela nafas. Kepala digeleng perlahan.

"Ayahanda bertanya bukan hendak membatasi pergerakan anakanda. Ayahanda ingin tahu, apa yang anakanda lakukan. Tidak salah bukan, jika seorang ayah bertanyakan perbuatan anaknya?" kata Tuanku Sultan. Nadanya cuba dilembutkan.

Tengku Afkar memberi pandangan yang seakan tidak percaya akan kata daripada ayahandanya itu. Adakah ayahandanya sedang mengambil berat kepadanya? Hatinya terasa seperti di awangan.

Tun Seri Dahlia tersenyum melihat suasana tenang anak-beranak itu berbicara di meja makan. Petang tadi Tuanku Sultan mulai kelihatan murka apabila diberitahu hal Tengku Mahkota yang keluar dari Istana Kota tanpa kebenaran dan tanpa pengawal.

Siapa lagi kalau bukan permaisuri Tun Seri Jasmin itu yang melaporkannya kepada Tuanku Sultan. Mujur dia dapat meredakan kemarahan itu dan menjemput kedua mereka bersantapan di istananya malam ini.

"Ampunkan anakanda, anakanda cuma keluar ke pasar melihat keadaan rakyat." akhirnya Tengku Afkar berterus terang.

"Nah, kan senang jika anakanda beritahu semuanya. Lalu, mengapa tidak memberitahu dan membawa pengawal?" Tuanku Sultan bertanya lagi.

"Anakanda masih tidak percayakan sesiapa di sini. Dan anakanda juga boleh mempertahankan diri sendiri. Oleh itu, anakanda tidak perlukan pengawal. Tentang kebenaran pula," Tengku Afkar menelan liur pahit.

"Anakanda sudah tahu segala protokol istana? Kebebasan seorang tengku mahkota adalah paling terhad. Bagaimana jika ada sesuatu yang buruk menimpa anakanda di luar sana? Anakanda adalah orang yang bakal menaiki takhta." suara Tuanku Sultan kedengaran sedikit keras.

"Ampunkan anakanda. Anakanda cuma keluar sebentar," Tengku Afkar mengalah.

"Kali ini ayahanda lepaskan perkara ini. Jika anakanda buat juga tanpa pengetahuan, anakanda akan menerima hukuman." jelas Tuanku Sultan.

Tengku Afkar mengeluh di tempat duduknya. Jika diberitahu salah, manakala jika diberitahu pun akan dihukum. Protokol itu sangat tidak bersesuaian dengan dirinya yang ingin kebebasan melihat sendiri keadaan di luar sana.

**

"Janganlah tengku berkecil hati akan kata-kata ayahanda itu tadi. Baginda hanya risau akan tengku," pujuk Tun Seri Dahlia.

Tengku Afkar berdiam. Dia masih belum ingin membalas kata-kata daripada Tun Seri Dahlia.

Ayahandanya dilihat bahagia sedang bermain dengan Tengku Adwan. Benarkah ayahanda risau akan dirinya? Bohonglah jika dia berkata perasaannya tidak apa-apa.

"Bagaimana sahaja pelajaran tengku di luar sana? Adakah rakyat kelihatan senang?" tanya Tun Seri Dahlia cuba mengajak Tengku Afkar berbual.

Tengku Afkar berdiri dan berlalu tanpa kata. Hal rakyat, biar dia sahaja yang ambil tahu. Jika selama ini mereka semua ambil tahu, pasti Pak Samad dan yang lainnya tidak hidup seperti pelarian itu.

Tun Seri Dahlia mengeluh perlahan. Isi hati anak Tuanku Permaisuri itu masih tidak dapat disentuhinya. Dingin sahaja kepadanya. Bila agaknya Tengku Afkar boleh menerima mereka sebagai kerabatnya? 

***
Bersambung...
***

Maaf tadi unpublish balik. Masih banyak kesalahan. Tapi terpublish pulak.
Anyway, this is for today.

* Terima kasih *
19 Nov 2017
Edited: 20 Nov 2017 12:15

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now