5: Istana Bukit Naura

1.2K 132 6
                                    

Usai tempoh berpantang Tun Seri Dahlia, akhirnya Tengku Afkar dihantar juga ke Istana Bukit Naura.

Sebuah istana yang digelarkan sebagai penjara bagi kerabat di-Raja. Puas Tengku Afkar memujuk rayu kepada ayahandanya, Tuanku Sultan. Namun tidak diendahkan. Malah Tuanku Sultan tidak sabar lagi ingin menghantarnya kesana.

Mujur saja Tun Seri Dahlia memujuk agar Tengku Afkar ke sana selepas selesai dia berpantang melahirkan putera. Tetapi apa kaitannya? Tetap juga dia dihantar ke Istana itu. Sebal sungguh rasa hatinya.

" Tengku, ini patik telah siapkan semua pakaian Tengku mahkota." Tun Seri Dahlia mengemaskan pakaian Tengku Afkar. Anak muda itu masih marah kepadanya, namun tetap dikasihinya juga, kerana Tengku Afkar ialah anak kepada Tuanku Permaisuri yang sangat dikasihinya.

"Ceh, tak perlu berpura-pura. Beta tahu, selepas beta ke sana, anakanda yang baru itu akan mendapat kasih sayang yang lebih dari ayahanda." sindir Tengku Afkar, merujuk kepada Tengku Adwan, anak Tun Seri Dahlia yang baru lahir.

Tun Seri Dahlia menarik nafas dalam dan dihembus lepas.

"Walaupun kasih Tuanku Sultan kini bertambah kepada Tengku Adwan, tetapi kasihnya kepada Tengku Mahkota juga tidak berkurang. Janganlah tengku mahkota berburuk sangka kepada Tuanku Sultan." pujuk Tun Seri Dahlia.

Tengku Afkar mendengus kasar. Kantung pakaiannya dicampak kepada pengawal peribadinya, Awang Wadi. Dia lantas berjalan keluar dari kamar istananya tanpa menoleh kepada Tun Seri Dahlia.

...

Perjalanan menuju ke Istana Bukit Naura mengambil masa selama empat jam menaiki kereta kuda. Perjalanan terasa semakin panjang apabila hati tidak sama berjalan. Berat.

Tengku Afkar berasa sungguh sebal dan marah. Hatinya bagai tersiat-siat akan titah ayahandanya ini. Dirinya rasa bagai dibuang keluarga.

"Tu-tuanku, kita telah sampai." ucap Awang Wadi yang juga dihantar menemani dirinya ke Istana Bukit Naura.

Tengku Afkar membuka pintu tandu kereta kudanya. Langkah kaki diturunkan bermula dari kaki kanan.

Pemandangan di hadapannya dipandang pegun. Langsung melencong dari akal fikirannya. Gambarannya sebelum ini, Istana Bukit Naura kelihatan seperti Istana lama yang telah buruk dan penuh semak samun menjalar ditingkap. Sangkaannya benar-benar meleset.

Istana Bukit Naura kelihatan tersergam indah. Terdapat padang rumput luas di hadapaannya. Menghijau dengan sekata. Bunga-bungaan yang ditanam sekitar pintu masuk Istana itu kelihatan dijaga rapi. Dan bangunan istana itu sungguh cantik rekaannya, terasa seperti berada di luar kawasan jajahan ayahandanya sahaja.

Awang Wadi memunggah barang-barang yang mereka bawa dari Istana Kota. Kesemuanya termasuk barangnya sendiri, dia yang angkat. Hendak mengharapkan Tengku Afkar membantunya? Jangan haraplah. Kalau tidak mahu dihukum berat, angkatlah sahaja keberatan itu. Desis hati Awang Wadi.

Tengku Afkar meneruskan langkah kakinya masuk ke Istana Bukit Naura. Awang Wadi yang tergopoh-gopoh mengangkat barang tidak dipedulikan. Apa yang ada difikiran kini ialah, mengapa tiada satu pun penghuni Istana ini menyambut kedatangannya? Bukankah dia seorang putera mahkota? Bakal Sultan kerajaan ini. Apakah penghuni di sini tidak diajarkan adab menjemput kerabat? Tengku Afkar mengetap gigi sambil terus melangkah.

Dua orang kanak-kanak lelaki terhendap-hendap di sebalik dinding Istana Bukit Naura. Seorang kanak-kanak lelaki yang juga lingkungan usia mereka kelihatan sedang berjalan masuk ke Istana mereka bersama seorang lagi lelaki yang sedang memunggah barangan.

"Siapakah mereka itu?" tanya salah seorangnya.

"Entah!"

"Patik sungguh tidak suka kepada penceroboh!"

"Sabar, jangan kita apa-apakan dahulu." pujuk salah seorangnya lagi.

Kanak-kanak yang lagi satu, yang sedang tidak puas hati itu lantas keluar dan menyerang 'penceroboh' tersebut!

Tengku Afkar terundur ke belakang apabila terdapat seseorang yang melompat di hadapannya.

'Dari atas?'

Budak itu lantas membuat gaya seperti hendak mengerjakan dirinya. Tangannya sudah ketat dengan penumbuk kepal.

'Serang hendap?'

Tiba-tiba Tengku Afkar turut rasa tercabar. Dia bingkas lalu mengepalkan juga tangannya. Mereka bersiap sedia menghadapi serangan yang bakal terjadi.

Budak penyerang itu lantas melayangkan penumbuknya ke muka Tengku Afkar. Nasib baik Tengku Afkar sempat mengelak. Tengku Afkar menghayunkan pula kaki kanannya ingin memberikan tendangan, namun penyerang itu juga tangkas, lalu melompat sebelum tendangan itu mengenai betisnya.

Tengku Afkar tidak puas hati. Kali ini dia melayangkan pula penumbuknya, terkena pinggang si penyerang.

"Argh!" Tengku Afkar puas hati mendengar jeritan kesakitan daripada mulut si penyerang.

Akan tetapi, dengan tidak semena-mena, terdapat seorang lagi penyerang tanpa pengetahuannya! Tengkuknya dihentak kuat dengan tangan kasar. Tengku Afkar merasa kesakitan yang tidak terhingga lalu terpengsan di sana.

"Tu-tuanku!" Awang Wadi terkocoh-kocoh mencepung badan Tengku Afkar masuk ke dalam Istana.

Dua orang budak lelaki itu berpandangan sesama sendiri.

"Tuanku?"
...

Tengku Afkar membuka kelopak matanya. Di atas mukanya terdapat empat wajah yang sedang memerhatikannya. Dia lantas bangun dan duduk bersandar di kepala katil.

"Tuanku, bagaimana? Masih sakit lagi?" tanya Awang Wadi.

Tengku Afkar meramas-ramas lehernya. Matanya kemudian tertancap kepada dua orang budak lelaki yang menyerangnya tadi. Salah seorangnya bertunduk.

"Ampunkan kedua-dua tengku putera ini. Mereka tidak sengaja, tuanku." kata seorang lelaki tua separuh abad dengan janggut putih.

"Tengku putera?" Tengku Afkar mengerutkan dahi. Siapa lagi Tengku putera selain dirinya dan adik-beradik tirinya, Tengku Hamzaa dan Tengku Adwan? Adakah ayahandanya mempunyai isteri lain lagi di istana ini?

"Ini yang mula-mula meyerang tadi, namanya Tengku Nadhir." Lelaki itu memperkenalkan kanak-kanak itu.

"Ampun tuanku, patik tak sengaja." kata Tengku Nadhir lalu bertunduk semula.

"Ini yang menyebabkan tuanku pengsan, namanya Tengku Eijaz. Dia seorang yang mahir dalam seni mempertahankan diri, oleh itu, serangannya hanya sekali sahaja dan lawannya akan tewas." kata lelaki itu lagi.

'Tewas? Ceh! Berani dia kata beta tewas?' Gerutu hati Tengku Afkar dalam diam.

"Kedua-dua mereka ini ialah sepupu tengku mahkota. Tengku Nadhir anakanda kepada adinda Tuanku Sultan yang berkahwin dengan lelaki rakyat biasa. Tengku Eijaz pula ialah anakanda kepada sepupu Tuanku Sultan yang telah lama mangkat." Jelas lelaki tua itu.

Tengku Afkar sekadar mengangguk lega. Mujurlah ayahandanya tidak mempunyai isteri lain lagi selain yang diketahuinya.

"Lalu mengapa mereka menyerang beta?" tanya Tengku Afkar.

"Ampunkan mereka, mereka fikir tuanku adalah penceroboh. Kerana Tuanku Sultan tidak ada menghantar apa-apa surat terlebih dahulu mengenai kedatangan tuanku ini. Ampunkan kami penghuni istana ini kerana tidak membuat persiapan untuk menyambut tiba kedatangan tuanku mahkota, ampun tuanku." ujar lelaki tua itu lagi lalu menyusun sembah.

Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz juga turut memberi sembah. "Ampun tuanku."

Tengku Afkar sekadar mengangguk dan tersenyum tipis. Sekurang-kurangnya mereka telah meminta ampun.

❁❈ Bersambung ❈❁


Edited : 15 Nov 2017
- Jika ada terlihat sebarang cacat cela penulisan, sila maklumkan dan beri tunjuk ajar. Terima kasih. Komen. Vote.☆.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now