29: Tun Syuhara

726 76 13
                                    

"Berhenti! Apa yang kalian semua lakukan kepadanya?" jerit satu suara. Nurin mencuba mengangkat wajah untuk melihat gerangan suara itu.

Malangnya pandangannya kabur. Sakit di sekitar pipinya serta luka-luka kecil, berdarah. Apalah kudratnya hendak melawan anak gadis keturunan bangsawan itu?

Tengku Hamzaa segera mendapatkan gadis yang sudah terkulai di atas tanah akibat dikerjakan oleh lima orang gadis anak-anak pembesar yang diketahuinya itu.

Lima orang gadis tersebut berundur dua tiga tapak. Masing-masing terkulat-kulat ketakutan mengenangkan perbuatan tidak berperikemanusiaan mereka tadi.

"Te-tengku ..."

"Mengapa kamu menyakitinya? Sehingga luka-luka begini?" tanya Tengku Hamzaa. Wajahnya tegang memandang lima orang gadis tersebut.

"Te-tengku jangan salah faham. Gadis ini yang mula meracuni kami sebentar tadi, hingga sakit perut kami semua." tegas salah seorang gadis itu.

"Tetapi kalian semuakan kelihatan baik-baik sahaja? Apa perlu hendak membalas dendam sehingga menyakiti insan yang tidak berdaya?" kata Tengku Hamzaa dengan nada sedikit tegas.

Beberapa orang dayang istana di sekitar itu telah diarahkannya agar membawa gadis yang dicederakan itu ke balai dukun istana untuk rawatan.

Tengku Hamzaa berdiri bercekak pinggang. Wajah kelima-lima gadis tersebut dipandang satu persatu. Gadis yang sangat dikenalinya antara mereka ialah Tun Syuhara, anak kepada pembesar Tun Kassim.

Tun Syuhara berpeluk tubuh menunjukan wajah tidak bersalah. Mulutnya mencebik melihat gadis yang dibawa pergi oleh dayang-dayang yang lain itu.

"Tun Syuhara, beta kecewa benar akan sikap Tun yang sebegini. Mengapa perlu menggunakan kekerasan jika hendak menghukum kesalahan orang bawahan. Sepatutnya Tun siasatlah dahulu." ujar Tengku Hamzaa.

Tun Syuhara menjelingkan matanya kepada pemuda kacak itu. Langsung dia tidak sebulu dengan lelaki ini. Biarpun sahabatnya yang lain memuji-muji sikap Tengku Hamzaa yang begitu budiman, dia tetap hanya tertarik kepada Tengku Mahkota sahaja.

Hari ini adalah hari penting baginya. Dia harus lulus ujian pemilihan bakal puteri mahkota itu. Dia harus menjadi puteri mahkota dan berada disamping Tengku Mahkota untuk selamanya. Itulah cita-cita yang ditanamkannya selama ini selepas terlihat Tengku Mahkota semasa persemadian almarhum Tuanku Permaisuri Tengku Seri Kadziyah dahulu.

Malangnya kejadian yang memalukan telah berlaku kepadanya. Air minuman yang dikatakan hadiah daripada Tengku Mahkota itu telah membuatkan perutnya memulas tidak tentu fasal semasa berhadapan dengan soalan Tuanku permaisuri dan Tun Seri Dahlia tadi. Entah apalah pandangan dua wanita penting itu kepadanya? Sakit perutnya semakin menjadi-jadi sehingga dia terlepas 'hajat besar' di dalam balai ujian. Malu bukan kepalang lagi perasaannya ketika itu.

Kerana itulah dia menghukum gadis gaguk yang bertanggungjawab menghidangi air minuman tersebut. Baginya, mana mungkin Tengku Mahkota hendak mengapa-apakan dirinya selaku bakal suri hatinya itu. Tengku Mahkota adalah segala-galanya bagi diri Tun Syuhara. Tidak mungkin Tengku Mahkota hendak menyakitinya.

Tun Syuhara mendengus kasar. Empat orang gadis yang berada di sisinya tersipu-sipu malu memandang wajah tampan Tengku Hamzaa. Ada juga diantara mereka yang berbisik halus,

"Pucuk dicita, ulam mendatang (1). Antara Tengku Mahkota, Tengku Hamzaa lebih matang," ujar salah seorangnya.

"Patik hanya membuat hukuman yang perlu. Dayang yang telah melakukan kesalahan harus dihukum agar dia tidak mengulangi kesalahan ini lagi." balas Tun Syuhara kepada Tengku Hamzaa.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now