19: Tengku Hamzaa

801 78 6
                                    

Permaisuri Tun Seri Jasmin tersenyum melihat putera tampannya yang sedang berada di hadapan matanya kini. Senang benar rasa hatinya setelah melihat kepulangan Tengku Hamzaa dalam keadaan yang selamat.

"Bonda, apa yang bonda khusyuk sangat menilik wajah anakanda ini? Ada apa-apa butir nasikah pada wajah anakanda?" tanya Tengku Hamzaa sambil tertawa kecil.

Tun Seri Jasmin juga turut tertawa mendengar gurauan itu.

"Bonda cuma berasa senang hati kerana anakanda sudah ada di hadapan bonda." jawab Tun Seri Jasmin.

"Anakanda bukan pergi lama. Anakanda suka berjalan-jalan menjelajah, kerana itu anakanda jarang sekali di hadapan bonda. Ampunkan anakanda, bonda." ucap Tengku Hamza dengan sopan.

"Bonda sentiasa ampunkan anakanda. Tak usah dirisaukan. Anakanda telah balik ini, anakanda sudah menghadap Tuanku Sultan?"  tanya Tun Seri Jasmin pula.

"Belum. Anakanda sengaja bertemu dengan bonda dahulu. Kemudian, anakanda akan bertemu dengan ayahanda. Mungkin baginda sedang berada di istana Tun Seri Dahlia ... anakanda juga sudah lama tidak bermain dengan Tengku Adwan." balas Tengku Hamzaa.

Tun Seri Jasmin mencebik muka mendengar nama-nama itu. Senyum di bibirnya mati.

"Tak usahlah anakanda memberi manja kepada anak itu. Bonda tidak suka anakanda rapat-rapat dengan mereka." Tun Seri Jasmin berterus terang.

"Bonda, usah dikenang dari perkara buruk. Mereka juga adalah kerabat kita. Bagaimana seorang permaisuri hendak diterima rakyat jika kerabat sendiri tidak bonda terima?" nasihat Tengku Hamzaa.

"Anakanda! Apa anakanda sengaja memberi murka kepada bonda?"  Tun Seri Jasmin mengeraskan nada suaranya.

"Ampunkan anakanda jika tersalah bicara." Tengku Hamzaa menghela nafas berat dan berdiri.

"Anakanda undur diri dahulu untuk menghadap ayahanda," kata Tengku Hamzaa dan berlalu dari balai Tun Seri Jasmin.

Tun Seri Jasmjn pula mengetap bibir. Lain yang dia harapkan, lain pula yang dia terima.

***

Tengku Afkar menarik busur panahnya dengan keras. Bosan! Hari ini juga dia dikekang daripada keluar istana. Sudah seminggu rasanya dia tidak keluar.

Entah apalah nasib Pak Samad dan lainnya kini? Sudahkah mereka selesa di tempat baru yang ayahanda peruntukan itu? Bagaimana dengan bekalan makanan?

"Cis!" busur yang dilepaskan tidak mengenai papan sasaran. Sebaliknya laju mencucuk tanah!

"Jikalau hendak memanah, Tengku harus mengosongkan fikiran dan memikirkan hanya pada sasaran sahaja." tegur satu suara di belakang Tengku Afkar.

Dia memusingkan badan untuk melihat gerangan yang menegur itu, akan tetapi kembali menghadapkan wajahnya ke hadapan.

Tengku Hamzaa menghembus nafas berat. Tahu akan sikap dingin Tengku mahkota ini kepadanya. Tidak banyak bicara. Atau mungkin, tidak sudi berbicara dengannya.

"Kekanda hanya tumpang lalu sahaja, teruskanlah berlatih." kata Tengku Hamzaa seraya berlalu dari situ.

Tengku Afkar sengaja berdiam. Walaupun sikap Tengku Hamzaa tidak sama seperti bondanya, Tun Seri Jasmin, tetapi Tengku Afkar sengaja tidak mahu bermesra kepada mereka.

Anak panah sekali lagi diluruskan bersama tali busur yang ditarik kencang. Kali ini dia cuba untuk mengosongkan fikiran dan hanya memikirkan pada sasaran.

Zupp! Kali ini anak panah tepat mengenai bulatan papan sasaran yang di tengah-tengah berwarna merah. Tengku Afkar tersenyum puas hati.

***

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now