47 : Janji Temu

630 53 0
                                    

"Maka dengan ini, genap sepurnama sudah Dayang Nurin berlatih berbicara dengan patik. Patik dapati Dayang Nurin seorang yang mudah menerima pelajaran dan cepat menangkap setiap perkataan dan ayat. Tiada lagi yang dapat patik ajari kerana usaha keras Dayang Nurin benar-benar luar biasa sehingga sudah boleh berbicara seperti biasa," kata Tun Ali sambil memberikan senyuman puas hati.

"Beta ucapkan terima kasih kepada tok guru yang sudi membantu dayang beta untuk berbicara dengan lancar," ucap Tengku Afkar. Dia turut melemparkan senyuman manisnya.

"A-ampunkan hamba, tuanku, tok guru ... patik berterima kasih kerana diberikan peluang keemasan ini. Terima kasih tuanku, terima kasih tok guru," ucap Nurin jujur.

"Ini semua atas usaha dari dayang sendiri. Jika lemah, maka hasilnya pasti lebih lama untuk ditunggu," ujar Tun Ali.

Kembang kempis hidung Nurin dipuji oleh tok gurunya. Syukurlah, setelah berguru dan berlatih bersama Dayang Ina, dia sudah lancar berbicara. Sama seperti orang lain. Kini dia bukan lagi gadis gaguk yang sering menjadi mangsa hinaan orang lain. Sedikit sebanyak keyakinan dirinya mula bertambah.

"Tuanku, ampunkan patik. Patik terpaksa mengundurkan diri lebih awal hari ini untuk menyiapkan persiapan musyawarah esok hari," beritahu Tun Ali.

"Baiklah, beta izinkan,"

"Ampun tuanku," Tun Ali seraya pamit dari istana Tengku Mahkota. Sebaik sahaja kelibatnya menghilang, Tengku Afkar meneliti Nurin yang berdiri di sisinya.

Nurin mengetap bibir sambil bertunduk malu apabila mata Tengku Mahkota melihat ke arahnya. Hatinya rasa semakin berdebar-debar apabila pandangan mata mereka bersambung. Cepat-cepat dia merendahkan pandangan matanya ke tanah.

"Ehem, be-beta ucapkan tahniah kerana telah selesai menamatkan pelajaran daripada Tun Ali," ucap Tengku Afkar. Tiba-tiba kerongkongnya terasa parau.

"Te-terima kasih kerana tuanku memberikan hamba peluang ini. Hamba terhutang budi, ampun tuanku," balas Nurin. Suaranya juga lebih lembut didengar selepas lancar berbicara.

Tengku Afkar tersenyum bangga. Selepas ini, lebih mudahlah dia berbicara dengan gadis itu.

"Jikalau Nurin berasa terhutang budi, maka hutang itu perlu dijelaskan," kata Tengku Afkar sambil tersenyum lebar.

Nurin termanggu-manggu berfikir. Melalui apakah caranya agar dapat dia membalas budi Tengku Mahkota kepadanya? Hendak diberikan harta atau bayaran, sudah pasti Tengku Mahkota memiliki harta dan wang yang lebih banyak daripadanya.

"A-ampun tuanku, hamba hanya memiliki upah yang dibayar pada setiap hujung minggu kepada hamba atas tugasan hamba. Sudikah jika tuanku menerima bayaran hamba daripada upah itu?" tanya Nurin.

"Hmm, jika beta hitung bayaran kepada Tun Ali, pastinya jumlah itu sungguh kecil," Tengku Afkar mengaru dagunya.

Nurin mengetap bibirnya. Jika dia berikan upah itu, pasti perbelanjaannya bulan ini harus dia kurangkan. Sedangkan baru sahaja semalam Dayang Ina ingin mengajaknya berbelanja alas tilam kerana alas yang dipakai sekarang sudah terbakar terkena api pelita.

"A-ampun tuanku, ha-hamba tidak tahu hendak memberi apa kepada tuanku sebagai membalas budi baik tuanku." Nurin berterus terang. Terasa kerdil benar dirinya kerana tidak pandai membalas budi orang baik, sedangkan selama ini telah banyak Tengku Mahkota membantu dirinya.

Tengku Afkar tersenyum di tempatnya berdiri. Dia kemudian mengusap-usap dagunya.

"Petang ini, tunggu beta di luar pintu Istana." pesannya lantas berlalu meninggalkan gadis itu.

***

Tun Haseen mengambil tempat duduk di atas pangkin di bawah pohon Jelutong yang sedang membesar. Susasana kamar istananya diperhatikan dari situ. Sejak semalam dia telah menghuni kamar di dalam istana kota itu. Hati Tun Haseen merasa galau, entah kenapa dia mula terasa takut akan sesuatu yang bakal dihadapinya.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now