24: Syarat

727 80 0
                                    

Tuanku Sultan menghela nafas berat. Anakandanya Tengku Afkar dipandang dalam. Entah mengapa raut Tengku Afkar kosong sahaja berhadapan dengannya. Mungkinkah dia sudah tahu apa yang ingin dikatakannya nanti?

Tengku Afkar menunduk tenang memandang ayahandanya di atas singgahsana itu. Perasaannya cuba disembunyikan. Mujur saja dia pulang awal daripada 'keluar tanpa izin' tadi. Dia cepat-cepat mengatur langkah menghadap ayahandanya setelah diberitahu oleh Dayangnya.

"Anakanda, sudah lama rasanya ayahanda bertahan di atas takhta ini. Suatu masa nanti, singgahsana ini akan menjadi milik anakanda juga." Tuanku Sultan membuka bicara.

Tengku Afkar masih berdiam menanti bicara. Hatinya berbunga riang memikirkan takhta yang bakal menjadi miliknya nanti. Kelak, dapatlah dia membela nasib rakyatnya, serta mengusir orang-orang pembelot itu.

"Ayahanda akui, kelayakan anakanda sudah hampir cukup bagi menaiki takhta ini. Genap usia anakanda yang ke dua puluh satu tahun kelak, akan diadakan upacara pertabalan. Tetapi sebelum itu, ada perkara lagi yang anakanda perlu ada sebelum hari pertabalan di-Raja itu,

Anakanda perlukan pasangan, iaitu seorang puteri mahkota." jelas Tuanku Sultan.

Senyuman Tengku Afkar mati. Seorang puteri mahkota? Otaknya berfikir sedalam-dalamnya makna tiga perkataan itu.

"Ayahanda telah memaklumkan kepada Tun Seri Dahlia untuk memilih calon yang sesuai bagi pemilihan bakal puteri mahkota kelak. Pemilihan dibuat berdasarkan beberapa ujian yang telah ditetapkan semenjak dahulu lagi." kata Tuanku Sultan.

"Tetapi, anakanda tidak mahu menikahi seseorang yang anakanda tidak kenal. Ini sangat tidak adil bagi anakanda. Lagipula, apakah keperluannya kepada pemerintahan?" Tengku Afkar bingkas berdiri bertanyakan soalan.

"Duduk anakanda! Beta belum usai berbicara," tegas suara Tuanku Sultan. Perangai Tengku Afkar yang mudah memberontak ini masih sama lagi dipenglihatannya.

Tengku Afkar duduk menurut. Amarahnya cuba dikawal.

"Ayahanda tidak boleh memaksa anakanda begini! Tahkta permaisuri bukan selayaknya dipilih begitu sahaja oleh seseorang yang tidak kita percayai. Bagaimana jika mereka kelak ada udang di sebalik batu, atau menjadi gunting dalam lipatan?" tanya Tengku Afkar. Dia kembali bersila, akan tetapi duduknya panas.

Tuanku Sultan menghela nafas berat. Sudah diketahuinya hal Tengku Afkar yang masih belum menerima Tun Seri Dahlia sebagai bonda tirinya, kerana Tun Seri Dahlia dahulunya adalah dayang kepada almarhum bonda Tengku Afkar.

Sedangkan selama ini Tun Seri Dahlia sering mengambil berat perihal Tengku Afkar. Walaupun Tengku mahkota itu jauh di Istana Bukit Naura, tetap sahaja Tun Seri Dahlia mengutuskan surat kepada penjaganya di sana. Kalaulah anakandanya mengetahui dan melihat kebaikan isterinya itu, pasti itulah yang membuatkan almarhum isterinya dahulu meminta dia menikahi Tun Seri Dahlia di saat-saat menghampiri ajalnya.

"Anakanda, apa yang anakanda masih tidak puas hati kepada bonda Tengku Adwan itu? Ayahanda tidak pernah melihat jika dia cuba menyakiti anakanda. Sebaliknya ayahanda percaya, Tun Seri Dahlia sering mengambil berat hal anakanda semasa di Istana Bukit Naura dahulu." kata Tuanku Sultan. Nadanya dilembutkan bagi memujuk hati puteranya yang sedang memberontak ini.

Tengku Afkar mendengus kasar. Ayahanda bertanya, atau sengaja bertanya? Sudah gaharu, cendana pula; Sudah tahu, bertanya pula. desis hatinya.

"Walau apapun yang anakanda hendak katakan, tetapi jangan sampai menjadi fitnah. Perkara menfitnah ini lebih buruk daripada membunuh. Ayahanda yakin, Salam pernah mengajarinya dahulu." ucap Tuanku Sultan lagi.

Hati Tengku Afkar sedikit tenang mengenangkan nama yang disebutkan itu. Ya, almarhum tok guru yang disayanginya pernah berpesan seperti itu dahulu.

❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁

Baik-baik menyusun kata,
Kata yang baik jadi pedoman,
Kerana mulut badan binasa,
Kerana fitnah orang lain terkorban.

❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁

Kerana fitnah jugalah Salam terkorban sehingga terbuang di Istana Bukit Naura. Menjadi seseorang yang telah mati walaupun masih lagi bernyawa. Sungguh menyiksakan sekali hidupnya.

"Keputusan ayahanda memilih Tun Seri Dahlia sebagai pemilih kepada calon puteri mahkota anakanda juga sebenarnya adalah permintaan daripada almarhum bonda anakanda sendiri. Mahu atau tidak, anakanda tiada pilihan lain lagi. Melainkan anakanda sudi kiranya Permaisuri Tun Seri Jasmin yang memilihnya."

"Hah?" Tengku Afkar tergelak sinis. Jika itulah pilihannya, maka dunianya telah diaturkan itu ini!

"Ataupun, jika anakanda mempunyai pilihan hati sendiri, suruhlah gadis itu menyertai pemilihan ini. Pemilihannya terbuka kepada anak-anak gadis bangsawan di seluruh negeri." pesan Tuanku Sultan lagi.

Tengku Afkar menghela nafas kasar sebelum berlalu keluar daripada balai singgahsana itu. Hatinya dipagut perasaan marah dan berkecamuk!

Sudah dia mempersiapkan diri sebaiknya untuk menaiki takhta. Latihan ketenteraan, pelajaran pemerintahan dan sebagainya telah dia ikuti! Mengapa sekarang mahu dia mempunyai seorang puteri mahkota pula?

Mengasihi seseorang dalam suatu jangka masa yang lama juga bukan mudah! Lihat sahaja beberapa orang yang dikasihinya yang telah pergi meninggalkannya? Yang tinggal bersamanya hanyalah yang merasakan untung daripada dirinya sebagai seorang tengku mahkota sahaja. Termasuk ayahandanya sendiri!

...

Tun Seri Dahlia menghembuskan nafas berat. Kasihan dia melihat keadaan Tuanku Sultan yang masih bertahan dengan sikap keras hati Tengku Afkar itu tadi.

Mujur sahaja dia boleh bersabar. Jika tidak pasti dia akan masuk dan turut campur.

'Bagaimana caranya hendak memujuk hati putera itu?' gumam Tun Seri Dahlia.

❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁

❁❈ Bersambung ❈❁

Terima kasih. Komen. Vote
※ Jika ada terlihat kesalahan penulisan, sila nyatakan dan berikan tunjuk ajar. ※

Peribahasa:
Ada udang disebalik batu - Ada maksud sesuatu yang tersembunyi disebalik perkataan atau perbuatan.

Gunting dalam lipatan - Orang yang disangka kawan, tetapi cuba menjatuhkan atau menjahanamkan kita dalam diam.

Sudah gaharu, cendana pula; Sudah tahu, bertanya pula - Sudah tahu sesuatu perkara, tetapi mahu bertanya juga.

Pantun:
# Hak ciptaan penulis.

Cinta Sang Puteraजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें