44: Pertemuan Rasmi

671 72 5
                                    

Tun Haseen mengetap bibir. Hatinya masih lagi gementar kerana jawapan yang diberikan, akan tetapi dia terpaksa menghadiri pertemuan bersama Tengku Mahkota pula. Dia mulai merasa separuh menyesal akan jawapannya itu. Sebelum bersurai, sempat lagi Tun Syuhara memberikannya amaran,

"Patik tidak sangka tuan hamba berani merendahkan martabat Tuanku. Adakah tuan hamba yakin, tuanku memilih tuan hamba?" ujar Tun Syuhara.

Tun Haseen menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembuskan. Sekurang-kurangnya dia perlu bertenang dahulu. Jikalau jawapan itu ditarik, dia perlu bersiap sedia menerima hukuman.

❇✳❇

"Bagaimana? Adakah anakanda tetap dengan keputusan anakanda?" tanya Tuanku Sultan kepada Tengku mahkotanya.

Tengku Afkar sekadar mengangguk. Walaupun dia masih ragu-ragu, tetapi dia harus memberikan keputusan demi masa depan pemerintahannya.

"Ayahanda yakin, gadis itu juga sesuai dengan sikap anakanda. Rakyat jelata tentu suka mendapat puteri mahkota seperti itu." Tuanku Sultan tersenyum lebar dengan pilihan Tengku Afkar.

Tengku Afkar tetap mendiamkan diri. Memanglah dia suka mendengar jawapan gadis itu, tetapi hatinya bukan kepada gadis yang bakal menjadi puteri mahkota itu.

"Ayahanda ada mendengar bahawa anakanda cukup rapat dengan salah seorang dayang di Istana anakanda. Adakah anakanda rapat melebihi dari tengku mahkota dan dayang suruhan?" Tuanku Sultan menukar topik perbualan. Baginda juga ingin memastikan kesahihan khabar angin itu.

"Hah?" Tengku Afkar terkedu mendengar pertanyaan ayahandanya.

"Yang menjadi permaisuri haruslah dari golongan anak bangsawan. Barulah terpelihara warisan generasi di-raja. Jika anakanda berkenan kepada gadis biasa, anakanda hanya boleh menikahinya sebagai isteri ketiga." terang Tuanku Sultan.

"Tetapi hati wanita mana yang mahu diduakan? Jika anakanda memikirkan perasaan gadis itu, anakanda harus lekas-lekas melepaskannya." nasihatnya lagi.

Tengku Afkar terkaku di tempatnya. Memikirkan dia tidak mahu hidup seperti ayahandanya, dia menundukan kepala.

"Apa yang perlu anakanda fikirkan sekarang adalah demi kestabilan kuasa anakanda pada masa hadapan. Anakanda punyai tanggungjawab lebih besar terhadap rakyat di negeri ini. Ayahanda yakin, bakal puteri mahkota juga perlu bercita-cita sama seperti anakanda, barulah negeri ini kembali stabil." lirih Tuanku Sultan bersama keluhan halus.

"Jika ayahanda rasakan negeri ini tidak stabil, mengapa ayahanda masih tidak bertindak? Mengapa perlu menunggu anakanda? Adakah ayahanda suka membiarkan pembesar itu mengunakan kuasa sewenang-wenangnya?" tanya Tengku Afkar. Matanya mencerlung tajam melihat Tuanku Sultan.

"Ayahanda juga seorang manusia lemah. Hamba ciptaan Tuhan yang maha esa. Ayahanda telah lama berasa lemah kerana tidak memiliki keyakinan daripada sahabat, pembesar mahupun rakyat. Setiap yang ayahanda titahkan telah menjadi beban kepada rakyat ... Oleh itu, ayahanda berdiam. Walaupun pembesar itu menindas rakyat, sekurang-kurangnya rakyat dapat hidup tanpa sengketa lagi," balas Tuanku Sultan dengan tenang.

"Apakah ayahanda pasti hidup rakyat tanpa sengketa? Senang dengan penindasan pembesar?"

Tuanku Sultan tersenyum kelat mendengar soalan Tengku Mahkota itu. Ya, dia tahu semua yang baik pasti ada buruknya juga.

"Ayahanda pasti anakanda tahu semuanya, kerana setiap hari anakanda memerhatikan kehidupan rakyat, di luar sana. Jikalau ayahanda masih muda seperti anakanda, ayahanda juga pasti melakukan hal yang sama." jawabnya.

Tengku Afkar semakin terkedu. Tidak dia sangka selama ini perbuatannya keluar dari istana telah diketahui oleh ayahandanya. Pastilah Awang Wadi telah mengorek rahsia daripada Dayang Nurin yang naif itu.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now