8: Tok Guru Dan Anak Murid

1K 101 8
                                    

Hari ini Tengku Afkar mengekori Salam, Tengku Eijaz dan Tengku Nadhir ke dalam hutan untuk berlatih. Dia agak tertarik akan lelaki itu kerana mempunyai amarah kepada ayahandanya. Aneh. Adakah dia suka jika ada yang berdendam kepada ayahandanya?

Setelah diceritakan oleh Pak Hamid dan Awang Wadi, rupa-rupanya nama sebenar Salam ialah Tun Sallahudin. Bekas Tun Bendahara yang telah dihukum buang daerah. Entah apa agaknya kesalahannya hingga mendapat hukuman tersebut?

Tengku Afkar semakin tertarik. Lagi-lagi Salam berkasar dan mengelak untuk mengajarnya apa-apa. Semakin dia tidak diendahkan, semakin itu juga dia ingin menawan hati lelaki itu agar menjadi tok guru kepadanya.

Jika di Istana Kota, Tengku Afkar akan melarikan diri kerana bosan dengan cara guru tuanya mengajar. Sikit-sikit hendak cakap pasal kedaulatan dan pantang larang! Langsung tiada ajaran untuk menghukum mengikut pandangan sendiri. Sesungguhnya dia tidak mahu menjadi pemerintah boneka yang mengikut undang-undang dan pantang larang itu ini. Tidak sama sekali!

Salam tidak memperdulikan tengku mahkota yang sedang mengekori mereka. Sejak sepurnama lalu, hanya itu sahaja kerja tengku mahkota setelah masuk ke Istana Bukit Naura. Apa agaknya rancangan Tuanku Sultan ini? Mengapa membiarkan tengku mahkotanya ke sini? Bukankah lebih baik jika tengku mahkota belajar sahaja di Istana Kota? Mahukan patik kembali kepada pemerintahannya? Ah, sudahlah!

"Tok Guru, mengapa tok guru mengabaikan tengku mahkota?" tanya Tengku Nadhir. Dia agak kasihan melihat tengku mahkota yang melihat mereka berlatih secara sembunyi. Walaupun adakalanya tengku mahkota itu berlagak sombong, tetapi mereka harus melayaninya dengan baik kerana darjatnya lebih tinggi.

"Pedulikan sahaja. Cukup kalian berdua sebagai anak muridku." balas Salam. Dia mengerling seketika kawasan persembunyian anak Tuanku itu. Kelihatan Tengku Afkar menaiki sebatang pohon. Humph! desisnya.

Salam kemudian mengarahkan Tengku Eijaz dan Tengku Nadhir berlatih. Tengku Afkar dibiarkan sahaja melihat. Sedikit sebanyak, dia juga ingin menguji kesabaran dan ketabahan tengku mahkota akan layanan yang diberikannya. Biarlah anak Tuanku Sultan sekalipun, jika hal pelajaran, Salam tidak akan berlembut. Satu senyuman terbit di balik kumis tebalnya.

***

"Pak Hamid, tolonglah pujuk Salam lagi untuk mengajari beta. Beta bosan hanya sekadar melihat sahaja!" rengek Tengku Afkar kepada penghuni Istana Bukit Naura itu.

Pak Hamid berpandangan dengan Mak Jiah dan Awang Wadi. Hampir setiap hari Tengku Afkar memujuk mereka. Dan hampir setiap hari juga mereka memujuk Salam. Dua-dua keras kepala dan keras hati!

"Sabarlah Tuanku, pasti nanti Salam terima juga Tuanku sebagai anak muridnya." kata Awang Wadi.

"Diamlah! Mengapa kalian semua tidak mengikut arahan beta? Mengapa lelaki itu juga sungguh biadap? Bukankah ayahanda telah memberi titah kepadanya agar beta belajar darinya? Mengapa lelaki itu tidak mahu? Adakah kamu semua ini pembelot?" bentak Tengku Afkar bertalu-talu. Hatinya sungguh tidak puas hati akan layanan Salam kepadanya!

"Baju melayu butangnya lima,
Datangnya asal Teluk Belanga;
Jangan tuanku suka menghina,
Kita sama-sama hidup di dunia. (1)

... Ingat, darjat bukanlah suatu kebenaran untuk bersikap angkuh dan biadap kepada orang tua dan lain-lain!" tegas satu suara dengan nada tinggi.

Tengku Afkar terkejut. Begitu juga Pak Hamid dan yang lainnya.

Salam masuk melintasi mereka, kemudian diikuti oleh Tengku Eijaz dan Tengku Nadhir juga.

***

"Tuanku! Tuanku!" Kedengaran satu suara berbisik-bisik dari tingkap bilik Tengku Afkar di Istana Bukit Naura itu.

Tengku Afkar yang berbaring kerana bosan, membangunkan dirinya lalu menuju ke arah tingkap bilik. Dilihatnya Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz berada di bawah tingkapnya. Apa yang mereka mahu malam-malam ini?

"Apa yang kalian mahukan?" tanya Tengku Afkar dengan nada tidak senang. Dia masih tidak mahu berkawan dengan dua tengku sepupunya itu.

"Kita berlawan! Di padang hadapan Istana." Ajak Tengku Nadhir.

"Berlawan? Kerana apa?" Aneh. Permintaan apakah ini?

"Jika Tuanku menang, kami akan pujuk tok guru untuk mengajari tuanku." kata Tengku Nadhir dengan penuh semangat. Senyum sinis terbit di bibirnya.

Tengku Afkar berfikir sejenak. Macam seronok sahaja rancangan ini? Lagipula dia sedang kebosanan dan tiada apa yang dilakukannya pada waktu siang. Akhirnya Tengku Afkar bersetuju. Sekitar dua puluh minit kemudian mereka bertiga bertemu di padang hadapan Istana Bukit Naura. Tempat mula-mula mereka berbalas 'serangan'.

Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz tersenyum sinis. Sebenarnya mereka sengaja berkata demikian kerana bosan. Sebelum ini hanya mereka berdua sahaja berlawan sesama sendiri. Lagi seronok jika ada orang lain lagi yang menjadi mangsa!

Lagipun sejak masuk ke Istana Bukit Naura dan mengetahui siapa diri mereka, Tengku Afkar berlagak sombong dan angkuh kepada mereka. Mungkinkah kerana itu Salam tidak mahu mengambilnya sebagai anak murid?

"Apa kalian benar-benar akan memujuk Salam agar menjadi tok guru kepada beta?" tanya Tengku Afkar dengan nada riak.

"Benar. Sebelum itu, Tuanku harus menewaskan kami dahulu." kata Tengku Nadhir yakin mereka tidak akan kalah.

"Baik. Beta setuju!" Tengku Afkar tanpa ragu-ragu.

"Sebelum itu, kami juga ada permintaan sekiranya kami berjaya menewaskan Tuanku ..." potong Tengku Nadhir lagi.

"Humph, apa yang kalian ingini?" tanya Tengku Afkar. Berani mereka hendak menewaskan beta?

"Kami akan beritahu setelah kami berjaya." balas Tengku Nadhir.

"Baik, beta setuju!" Angguk Tengku Afkar lagi.

Perlawanan silat dan seni mempertahankan diri dimulakan. Pada awalnya, Tengku Nadhir berlawan dahulu dengan Tengku Afkar. Tengku Afkar tidak mahu kalah. Dia sentiasa memerhatikan latihan mereka dan berlatih sendiri. Serangan Tengku Nadhir berjaya dipatahkannya.

Tengku Nadhir menyerang lagi, dan kali ini dia berjaya menyiku dada Tengku Afkar. Tengku Afkar terbatuk-batuk menahan sakit. Dia tidak mahu tewas. Diberikannya libasan pada betis Tengku Nadhir pula. Terkena!

"Arh!" Tengku Nadhir menahan sakit.

Tengku Eijaz yang sedang berpeluk tubuh tidak sabar lagi. Anggota badannya sedang menahan diri agar tidak masuk campur. Dia kemudian menghampiri Tengku Nadhir dan Tengku Afkar!

"Tunggu! Apa yang kalian lakukan ini?" dergah satu suara dewasa.

Tengku Nadhir dan Tengku Afkar menghentikan perlawanan mereka. Muncul seseorang dari arah pintu masuk Istana Bukit Naura. Salam!

"Apa yang terjadi ini? Pergaduhan?" Salam menghampiri ketiga-tiga putera itu dengan wajah yang bengis.

"A-ampun tok guru!" Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz segera berlutut. Tengku Afkar masih berdiri dengan nafas yang turun naik.

"Apa sahaja yang Tengku Mahkota inginkan? Pergaduhan? Pemberontakkan?" jerkah Salam.

"Beta hanya mahu tun menjadi tok guru. Dan mereka membawa beta berlawan. Jika menang, mereka akan memujuk tun!" jawab Tengku Afkar dengan berani.

Seketika kemudian, Pak Hamid, Mak Jiah dan Awang Wadi juga keluar. Segera Awang Wadi berdiri di belakang Tengku Afkar. Salam meraup kepalanya dan mencerlung wajah ketiga-tiga anak muda itu.

"Masuk semua! Esok selepas subuh kita mendaki gunung." Arah Salam dan terus berlalu dengan perasaan yang ditahan.

Tengku Afkar berpandangan dengan Awang Wadi.

"Tun sudah membawa Tuanku berlatih mulai esok." Kata Awang Wadi memahami pandangan itu. Tengku Afkar tersenyum gembira. Akhirnya ...

❁❈ Bersambung ❈❁

Edited : 16 Nov 2017
※ Jika anda terlihat kekurangan dalam penulisan ini. Mohon berikan tunjuk ajar. Terima Kasih. Komen. Vote

(1) Pantun dipetik daripada buku 'Kurik kundi, Merah saga' - Terbitan  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Cinta Sang PuteraTahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon