35: Putera Sulung

814 83 4
                                    

Tengku Hamzaa berjalan selangkah demi selangkah di Taman Seroja. Kemudian dia berhenti di sebatang pohon kayu berbunga. Telapak tangan kanan ditadahkan menyambut gugurnya sekuntum bunga berwarna merah jambu. Satu senyuman cuba diterbitkan dari bibirnya.

"Apa yang anakanda kenangkan di sini sendirian?" teguran seseorang menepis lamunan Tengku Hamzaa. Segera dia menoleh dan membalas dengan senyuman.

Tuanku sultan mula berjalan ke arah di mana Tengku Hamzaa berdiri. Persekitaran Taman Seroja diperhatikannya. Kolam teratai nan indah terbentang menenangkan suasana. Aroma bunga-bungaan di sekeliling taman itu juga sangat menyenangkan. Sesuai bagi penghuni istana menikmati keindahan dan ketenangan.

"Ampun tuanku," Tengku Hamzaa tetap memberikan salam hormatnya. Badannya ditundukkan sedikit.

"Jika almarhum bonda Kadziyah masih ada, pastinya taman ini akan semakin indah dengan bunga-bungaan kegemaran beliau," ucap tuanku sultan. Nadanya mendatar mengenangkan insan kesayangannya itu.

"Ayahanda, almarhum bonda pasti gembira kerana taman ini tetap terpelihara walaupun bonda telah tiada." kata Tengku Hamzaa pula.

Tuanku sultan menoleh sekilas ke arah putera sulungnya ini. Cukup redup pandangan mata anak muda ini. Tenang sahaja wajahnya.

"Katakan kepada ayahanda, apakah ada sesuatu yang menggangu anakanda?" soal tuanku sultan. Kali ini nadanya kedengaran sedikit tegas.

Jarang sekali dia mengambil tahu hal puteranya ini. Hanya Tengku Afkar dan Tengku Adwan sahaja dipandangannya selama ini. Tengku Hamzaa pula semenjak kecil telah di tempatkan berguru bersama Tun Abdul Rasyid, kerana itu dia jarang sekali berada di kawasan Istana. Permaisuri Tun Seri Jasmin juga tidak pernah membuka hal Tengku Hamzaa kepada dirinya.

"Ampunkan anakanda, ayahanda .., anakanda terasa ingin mengembara sekali lagi." tutur Tengku Hamzaa. Sungguh dia terasa ingin membawa hati sekali lagi. Dan kali ini, entah bilakah dia akan pulang, dia sendiri tidak tahu.

Tuanku sultan beriak tenang, dia seakan dapat meneka fikiran anakanda muda ini.

"Adakah kerana anakanda tidak pernah ditabalkan sebagai putera, lalu anakanda ingin menjauh?" tanya tuanku sultan dengan tenang. Nafas panjang dihembus lepas.

"Tidak! Tidak sama sekali anakanda berfikiran demikian. Anakanda tahu tempat anakanda, dan anakanda sama sekali tidak mengimpiknnya. Percayalah," bidas Tengku Hamzaa segera. Sungguh dia tidak mahu dianggap pesaing kepada takhta tengku mahkota.

Tuanku sultan terangguk-angguk. Senyum tipis terukir di sebalik wajah tuanya. Wajah Tengku Hamzaa yang bersungguh itu ditatap lama.
"Ayahanda telah sediakan tempat untuk anakanda tuju jika anakanda ingin mengembara jauh sekali lagi ... tapi, itupun jika anakanda bersetuju dengan tempat yang ayahanda sediakan itu." ucap tuanku sultan.

Bagai orang mengantuk yang disorongkan bantal, Tengku Hamzaa segera mengangguk lantas berkata;

"Ke mana saja titah tuanku, patik sedia untuk berangkat pergi."

Tuanku sultan tersenyum seraya menepuk lembut bahu putera sulungnya ini. Sungguh dia tidak sedar sama sekali bahawa putera sulungnya  ini telah dewasa tanpa pengetahuannya. Jika dikirakan, dia tidak pasti akan ingatannya bermain bersama anaknya itu. Perasaan kesal mulai menguasai dirinya tatkala mengenangkan nasib putera sulungnya itu.

🔹🔸🔹

"Bagaimana?" tanya Tun Melur kepada anaknya bersama satu senyuman.

Tun Syuhara mendengus kasar. Bibirnya muncung itik. Wajahnya sudah masam mencuka.

"Buruk!" tuturnya sepatah.

Seorang wanita tua yang berdiri di belakang Tun Melur segera menundukkan kepalanya. Hatinya merasa teramat sakit mengenangkan sikap gadis bangsawan itu. Sudah berpuluh-puluh pasang baju yang dia terpaksa siapkan demi gadis itu. Satu pun tidak diendahkannya, malah dirinya turut sama dihina.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now