30: Resah Hatinya

798 86 10
                                    

Nurin membuka matanya perlahan-lahan. Sakit di sekitar wajah sedikit sebanyak membataskan pergerakan kecilnya. Dia cuba melihat sekitar.

Di atas tempatnya berbaring terdapat siling kayu dengan ukiran bunga teratai. Nurin cuba pula menoleh ke sebelah kanannya. Kelihatan Tengku Mahkota sedang menulis sesuatu di atas kertas.

"Tu-tuan-ku ..." panggil Nurin dengan suara yang terketar-ketar.

Tengku Afkar yang sedang menulis sesuatu menghentikan perbuatannya. Segera dia menoleh ke arah suara gadis yang memanggilnya itu.

"Dayang, ampunkan beta kerana telah membuatkan dayang terkena balasan dari perbuatan beta tadi." ucap Tengku Afkar dengan jujur. Sungguh dia menyesali akan perbuatannya.

Nurin mencuba membangunkan badannya. Dia cuba duduk dari atas tempat perbaringan itu. Kepalanya ditundukan dan tangannya mencubit jari jemarinya sendiri.

"Ehm ..." berkali-kali Nurin terangguk-angguk menundukan kepala. Perasaannya masih lagi takut dan ragu kepada Tengku Mahkota.

Tengku Afkar merasa semakin serba salah. Luka pada wajah gadis itu diperhatikannya. Sampai hati anak gadis bangsawan serta Tun Seri Jasmin menyakiti gadis yang lemah ini. Desis hatinya. Akan tetapi semuanya berpunca daripada salahnya juga. Nasi telah menjadi bubur. Apakan daya, masa tidak boleh berputar kembali.

Perasaan kasihan mula menyelinap ke dalam hati Tengku Afkar. Ya, dia sungguh kasihan kepada gadis ini. Serasanya semenjak gadis ini berada di bawah istananya sering sahaja gadis ini memberikan bantuan kepadanya. Jika dia keluar kota, Nurin akan merahsiakannya daripada Awang Wadi ataupun ayahandanya. Begitu juga jika dia ingin bersendirian kemana-mana. Semuanya Nurin akan rahsiakan mengikut arahannya semata-mata. Tidak pernah lagi ada yang tahu perilakunya yang masih lagi mencemar duli tanpa pengawal itu.

Namun apakah dia pernah berbuat baik kepada gadis gaguk ini? Sepertinya tiada lagi. Sebelum ini tidak pernah Tengku Afkar ingin memikirkannnya. Sehinggalah kejadian menyayat hati ini berlaku.

'Jika bonda masih ada, pastinya bonda akan murka dengan sikap anakanda ini.' desis hati Tengku Afkar.

"Selepas ini beta tidak akan memberikan arahan yang tidak munasabah lagi kepada dayang. Beta harap dayang akan terus berada di istana beta." luah Tengku Afkar.

Nurin sekadar mengangguk lemah. Dia bersyukur kerana masih lagi dibenarkan berada di istana Tengku Mahkota. Akan tetapi perasaan tidak senang kepada jejaka ini juga turut tersemat di dalam hatinya.

'Sampai hati tuanku mempergunakan kebaikannya.'

❊❊❊

Tengku Hamzaa duduk menekur dan merenung tanah. Berat rasa hatinya memikirkan apa yang telah diperkatakan oleh bondanya sebentar tadi.

❁❈❁❈❁❈❁❈❁❈❁

"Anakanda, bonda sungguh berkecil hati kepada anakanda. Takkan lah permintaan sekecil ini pun anakanda tidak mahu turutkan?" ucap Permaisuri Tun Seri Jasmin.

Tengku Hamzaa melepas keluhan kecil. Susah bagi hatinya saat ini. Dirinya bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Bonda, anakanda tidak pernah terfikirkan takhta itu untuk anakanda. Anakanda cukup bersyukur dengan status anakanda ini. Bonda juga telah menjadi permaisuri rakyat jelata. Tiada lagi yang anakanda mahukan, bonda." balas Tengku Hamzaa.

Permaisuri Tun Seri Jasmin mencebik mulutnya. Perasaannya sedikit kecewa mendengar tuturan dari anak kandung sendiri. Mana mungkin cukup sekadar dia menjadi permaisuri sahaja. Dia mahukan anak warisannya kelak juga memiliki takhta!

"Mengapa anakanda tidak mahu? Apakah anakanda tidak mahu jika kelak, anak cucu anakanda memiliki takhta ini?" ujar Tun Seri Jasmin dengan nada keras.

"Semenjak dari anakanda lahir, takhta ini bukanlah untuk kita. Pewaris sebenarnya ada dan bertanggungjawab melaksanakan takhtanya. Anakanda tidak mahu memulakan pemberontakan yang sia-sia. Cukuplah anakanda bersyukur menjadi sebahagian mereka." ulas Tengku Hamzaa sebelum ingin berlalu.

"Bonda tidak peduli. Bonda mahu anakanda yang menjadi Sultan kelak! Walau apapun caranya nanti." Jerit Tun Seri Jasmin tanpa berselindung bicara lagi.

Tengku Hamzaa menghentikan langkah kakinya serta menghela nafas berat.

"Sebenarnya, anakanda cukup malu kerana bonda telah menghukum dayang yang tidak bersalah di hadapan rakyat yang lain. Apakah ini sifat ibunda rakyat jelata?" sindir Tengku Hamzaa serta berlalu dari balai istana Permaisuri Tun Seri Jasmin itu.

Permaisuri Tun Seri Jasmin mengetap bibirnya. Kain songket selempang yang bersilang pada pakaiannya digenggam kuat. Perasaan amarah cuba ditahan sedaya upaya. Berani anakandanya menegur seperti itu? Bukan itu sahaja, malah cadangannya juga telah ditolak mentah-mentah oleh Tengku Hamzaa.

"Awang!" jerit Permaisuri Tun Seri Jasmin. Seorang pemuda lelaki yang berkhidmat di istananya terkocoh-kocoh menghampiri Permaisuri Tun Seri Jasmin.

"Ampun tuanku."

"Sediakan tandu. Beta hendak pergi ke suatu tempat. Sekarang!" Arah Permaisuri Tun Seri Jasmin lagi.

❁❈❁❈❁❈❁❈


Tun Haseen duduk bertongkat dagu di pangkin kediamannya di bawah pohon buah rambutan. Perasaan hatinya semenjak pulang daripada ujian pemilihan sebentar tadi masih tidak senang.

Hari semakin beransur larut. Pancaran sinaran bulan menerangi suasana ruang tempatnya duduk sambil merenungi langit malam. Setelah melihat bulan nan kejauhan yang bersendirian, hatinya sedikit tenang. Sekurang-kurangnya dia tidaklah sendirian seperti sang bulan.

"Apa yang Haseen buat di luar malam-malam begini?" Tegur ayahnya, Tun Abdul Rasyid. Tun Haseen tersenyum melihat ayahnya yang berjalan menuju ke arah tempatnya berada.

"Haseen sengaja ingin melihat bulan. Malam ini bulan purnamanya terang." jawab Tun Haseen. Senyuman di bibir diukirkan.

Tun Abdul Rasyid duduk bersebelahan Tun Haseen. Dilihatnya sekilas wajah anak gadisnya itu sebelum dia melihat sang bulan di atas langit.

" Terang bulan dipagari bintang,
Menghiasi malam nan kelam;
Resah hati kerana bimbang,
Bimbang jangan sampai muram."(❁)

Seperti biasa, Tun Abdul Rasyid akan memberikan pantunnya berdasarkan alam yang dilihat.

Tun Haseen tertawa kecil. Tercuit hatinya mendengarkan pantun yang ditujukan kepadanya itu. Ya, sememangnya hatinya tersangatlah bimbang saat ini. Entah apalah yang terjadi sebenarnya di istana tadi. Dia sendiri dalam keresahan.

Bunyi desiran angin malam menampar lembut pipinya. Perlahan-lahan mindanya dibawa semula kepada ingatannya semasa ujian di istana hari ini.

" Beta tidak bersetuju! Gadis ini pastinya mempunyai muslihat lain. Lagipula jawapan yang diberikannya memperlekehkan pemerintahan tuanku Sultan. Ini sudah melanggar adab. Sebagai seorang gadis, adab dan tatasusila berbicara haruslah lebih bersopan."

"Malam semakin sejuk mencengkam, lebih baik kita masuk ke dalam." ujar Tun Abdul Rasyid seraya mengangkat punggungnya menuju ke muka pintu rumah.

Tun Haseen menghela nafas berat. Perlahan-lahan diturutkan juga langkah kaki ayahnya untuk masuk ke dalam rumah.

❊❊❊ Bersambung ❊❊❊

❁ Terima kasih kepada yg sudi baca dan tunggu sambungannya. (Ada ke? 😅😅😅) Maaf tak dapat update selalu. Kena study banyak sikit ni. Huhuu. ❁

Peribahasa

Ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Maksud:
1. Menghadapi masalah yang sulit.
2. Berada dalam situasi ataupun keadaan serba salah.

Pantun (❁)
Hak ciptaan penulis.

Terima Kasih
❀Komen❀Vote❀
❀14 Jan 2018❀ 20:53 ❀

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now