26: Beza

725 72 5
                                    

Tun Haseen mengemaskan kertas yang berselerakan di dalam pondok tempatnya mengajar. Satu-persatu kertas tulisan kanak-kanak itu diambil. Ada yang sudah tahu menulis dengan betul. Ada juga yang masih tidak tahu huruf apakah yang ditulisnya.

Keluhan kecil terlepas dari bibirnya. Bimbang akan masa depan kanak-kanak yang diajarinya itu. Makin lama, semakin banyak yang hendak belajar. Dek kerana kemiskinan hidup, ramai yang telah meminta khidmat pengajaran percuma dari pondok kecilnya ini.

Bukan dia tidak sudi. Malah Tun Haseen bersyukur, kerana telah ramai ibu bapa dari kalangan rakyat jelata yang telah timbul kesedaran mengenai kepentingan pendidikan. Akan tetapi, tenaga pengajarannya sangatlah terhad! Mana mungkin dia mampu menampung murid melebihi tiga puluh orang?

Sedangkan yang ada setakat tujuh belas orang ini juga tidak semua yang dapat dia berikan perhatian sepenuhnya. Masih ada lagi yang tercicir dari pengajarannya.

Lagipula, guru sekolah Tun Bendahara di tengah kota itu selalu sahaja menyidirnya. Tun Haseen mencebik bibirnya. Teringat akan kata-kata kurang enak daripada guru tersebut yang juga sebaya dengannya.

" Lihatlah, mana mungkin muridnya berjaya dengan pelajarannya! Kertas yang digunakan telah beberapa kali dicuci. Hahaha~"

" Buku rujukan juga terhad. Tempat belajar yang tidak selesa. Selayaknya orang miskin memang sepatutnya tiada pelajaran!"

" Dia belum terkena lagi! Dia tidak tahu rasanya apabila melepaskan anjing yang tersepit, sudah lepas mengigit!"

" Ikan dihulu, tuba dihilir. Ahahahaa ..." 

Cemuhan dari sahabat lamanya itu, malas hendak dia layankan. Sesungguhnya perkara itu sudah biasa didengar. Sejak dari zaman sekolah, apabila dia mengajarkan Umar, pasti anak-anak bangsawan lainnya akan mengherdik perbuatannya! 

Apa masalah mereka, ya? Setahunya, tiada perbezaan manusia sesama manusia. Biarpun dia anak dari pembesar, ayahnya, Tun Abdul Rasyid tidak pernah membenarkannya membezakan mereka sesama rakyat. Namun, lain pula dengan anak-anak pembesar yang lainnya.

"Haseen!"

Tersentak Tun Haseen daripada lamunannya!

Tengku Hamzaa tergelak kecil. Berjaya juga dia mengejutkan gadis itu. Sejak tadi dia memerhatikan tingkah Tun Haseen. Jauh kemanakah menungan gadis itu hingga tidak menyedari kehadirannya?

Mujur timbul fikiran nakalnya. Senyuman Tengku Hamzaa meleret hampir panjang ke telinga.

"Ish, kekanda Hamzaa ini! Terkejut Haseen dibuatnya," Tun Haseen masih mengurut dadanya. Jauh betul fikirannya melayang. Sehingga dia tidak sedar akan kehadiran Tengku Hamzaa.

"Mengapa bermenung jauh? Bukankah Tok guru telah selamat kembali?" tanya Tengku Hamzaa masih dengan sisa tawanya.

"Haseen teringatkan mata air yang nun jauh ... kerana itulah termenung." balas Tun Haseen sambil tersenyum riak.

Tengku Hamzaa terkesima. Mati terus senyumannya. Hatinya berasa tertanya-tanya dengan kata-kata itu. Adakah benar hati gadis di hadapannya ini telah dimiliki? Tetapi siapa?

"Ayah!" Tun Haseen menyambut kedatangan ayahnya, Tun Abdul Rasyid yang baru tiba di pondok tempatnya mengajar.

'Siapa?' soalan itu masih tersekat di kerongkong dalam Tengku Hamzaa. Ingin sahaja dia bertanya dan mengetahuinya. Namun waktu ini pastinya belum sesuai. Huluran salam dari Tun Abdul Rasyid disambut dengan bersopan.

"Rupanya ada Tengku di sini." kata Tun Abdul Rasyid kepada Tengku Hamzaa.

"Patik juga baru tiba." balas Tengku Hamzaa, menghormati Tok gurunya itu.

"Apakah urusan ayah di Istana telah selesai?" tanya Tun Haseen sambil mempelawa kedua lelaki di hadapannya duduk di dalam pondok tempatnya mengajar.

Tun Abdul Rasyid serta Tengku Hamzaa duduk bersila berhadapan sesama mereka.

"Ah, urusan di Istana itu, sampai sudah mana pun belum tentu selesai mana." kata Tun Abdul Rasyid menjawab soalan anaknya tadi.

Tengku Hamzaa tersenyum nipis. Dia tahu maksud kata-kata itu. Kerana itulah dia tidak berminat untuk memiliki takhta ayahandanya, Tuanku Sultan.

"Bagaimana dengan kanak-kanak yang Haseen ajarkan? Sudahkah mereka tahu membaca atau mengira?" tanya Tun Abdul Rasyid kepada anaknya pula.

"Inilah yang membimbangkan Haseen, ayah. Kanak-kanak semakin ramai, tetapi tidak semua yang boleh Haseen berikan tumpuan. Mungkin saja yang duduk jauh di belakang sana tidak faham apa yang Haseen katakan di hadapan. Haseen kekurangan tenaga pengajar." luah Tun Haseen.

Tun Abdul Rasyid mengangguk serta menghela nafas berat.

Tengku Hamzaa pula jadi serba salah. Ingin sahaja dia menawarkan diri menjadi pembantu guru di sini. Akan tetapi dia juga seorang yang duduknya tidak tetap. Sebentar sahaja pasti akan menghilang serta mengembara jauh.

"Ayah sebenarnya merasa berat hati ingin mengatakan hal ini." Tun Abdul Rasyid mula membuka bicaranya.

Tun Haseen dan Tengku Hamzaa cuba tekun untuk mendengarnya. Di dalam hati masing-masing berharap agar berita yang akan disampaikan itu tidaklah menghampakan sesiapa.

"Sebenarnya, nama anakanda telah dipanggil menghadiri ujian pemilihan bakal puteri mahkota yang akan diadakan lagi dua hari ini. Ayah khuatir, pondok ini akan bercuti sementara itu. Kerana anakanda perlu fokus di dalam ujian tersebut." kata Tun Abdul Rasyid.

Tun Haseen menundukan wajah. Kebimbangannya bertambah lagi. Ya, dia harus bersedia untuk ujian tersebut. Dia harus membawa masalah rakyatnya kepada pengetahuan Tuanku Sultan!

Tengku Hamzaa membuang pandang jauh. Siapa dia ingin menghalang titah ayahandanya? Sayang sekali dia bukannya Tengku Mahkota.

"Ayah akan meminta Umar memaklumkan hal ini kepada keluarga anak-anak yang belajar di sini. Mulai esok, pondok ini akan bercuti dahulu. Ayah juga sudah tidak larat hendak mengajar, sudah terlalu tua untuk mendidik, mungkin saja pengajaran ayah sudah tidak sesuai dengan ingatan yang telah semakin pudar kini." ujar Tun Abdul Rasyid lagi.

"Patik rasa, pengajaran tok guru adalah yang terbaik yang pernah patik terima." pintas Tengku Hamzaa.

Tun Abdul Rasyid tersenyum memandang Tengku Hamzaa.

"Patik hanya menjalankan titah Tuanku, dan Tengku seorang yang mudah menerima pelajaran. Syukurlah, Tengku masih teguh berpendirian." balas Tun Abdul Rasyid.

❁❈❁❈❁❈❁
10 Tahun yang lalu ...

"Tok guru, mengapa adinda patik, Tengku Afkar bersikap kasar kepada semua orang?" tanya Tengku Hamzaa.

"Patik rasa dia tidak menghormati sesiapa, termasuk ayahanda, bonda, bonda Dahlia dan juga tok guru sendiri!" muncungnya panjang mengenangkan sikap adindanya itu.

Tun Abdul Rasyid tersenyum dahulu mendengar leteran anak kecil di hadapannya ini.

"Dia sedang marah. Orang yang sedang dalam amarah juga sedang bersedih. Kepergian bondanya menyedihkan hatinya. Janganlah Tengku memarahi dia semula. Mungkin saja dia hendak meluahkan rasa hatinya, tetapi caranya salah." balas Tun Abdul Rasyid.

"Kalau begitu, bagaimana patik hendak memujuknya agar adinda tidak bersedih lagi?" tanya Tengku Hamzaa.

"Bersabar."

❁❈❁❈❁❈❁

Tun Abdul Rasyid berasa lega akan sikap Tengku Hamzaa yang banyak bersabar ini. Telah banyak kali dia mengalah. Siapa tahu dalam hatinya ini juga sedang mengalah. Wajah Tengku Hamzaa dan anaknya dipandang silih berganti. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Hambar.

❁❈Bersambung❈❁

Peribahasa
Melepaskan anjing tersepit, sudah lepas dia mengigit - Menolong orang yang tidak tahu berterima kasih.

Ikan dihulu, tuba dihilir - pekerjaan yang sia-sia.

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now