25: Pengumuman

768 93 10
                                    

Seorang pengawal istana lengkap dengan pakaian baju melayu serta tali pinggang besi berlilit di pinganngnya berdiri di atas mimbar kecil di tengah-tengah pasar rakyat. Dua lagi rakannya memukul beduk bersaiz sederhana sebanyak lima kali, sebagai tanda seruan kepada rakyat yang sedang berpusu-pusu berada di pasar itu.

Rakyat jelata yang terdengar bunyi paluan baduk itu segera menuju ke arah mimbar dan mengelilingi tiga orang pengawal istana tersebut. Seperti sudah kebiasaan, jika baduk di-Raja telah berbunyi, maka terdapat titah daripada Tuanku Sultan yang akan disampaikan.

Pengawal istana yang berada di atas mimbar mula berdehem sebelum bersuara,

"Dengan segala hormat dan junjung kasih daripada Tuanku Sultan;

Di umumkan bahawa, ujian pemilihan bakal puteri mahkota bakal diadakan pada tujuh hari berikutnya. Kesemua anak gadis daripada golongam bangsawan yang berusia tidak kurang daripada enam belas tahun, diwajibkan menghadiri ujian penting ini. Sesiapa yang layak, bakal dipilih menjadi isteri kepada putera mahkota dan bakal menjadi ibunda kepada kerajaan negeri ini.

Sekian, titah daripada Tuanku Sultan Aqhar Al-Maisur."

Usai membaca titah daripada Tuanku Sultan, pengawal tersebut mula turun daripada mimbar kecil itu. Beduk dengan lima kali paluan menandakan titah telah selesai diumumkan kepada rakyat.

Rakyat jelata juga mula bersurai. Masing-masing kembali kepada tujuan masing-masing. Ada yang mula berborak-borak mengenai titah daripada Tuanku Sultan itu. Ada juga yang tidak mahu ambil kisah. Mungkin mengenangkan syaratnya yang terlalu tinggi. Yalah, mengahwini seorang Tengku Mahkota bukan calang-calang calon yang boleh dipilih. Pasti ada melalui ujian yang berperingkat-peringkat. Hanya anak-anak gadis daripada pembesar bangsawan sahaja yang beria-ia mengenai hal itu.

❁❈❁

"Ayah!" Tun Haseen segera bersalaman dengan ayahnya, Tun Abdul Rasyid.

Pulang sahaja daripada pasar rakyat, terus dia terlihat kelibat orang tua yang sangat dikasihinya itu. Satu-satunya keluarga kandung yang dia ada.

Tun Abdul Rasyid tersenyum panjang melihat anak gadisnya. Syukur, Alhamdulillah dirinya telah selamat kembali daripada tugasan di sempadan. Syukur juga, anaknya tidak apa-apa sepeningalannya ke luar mukim. Mujur saja ada Tok Nek dan Umar menemani anaknya, Tun Haseen.

"Ayah sudah makan? Mahu Haseen hidangkan makanan?" tanya Tun Haseen dengan prihatin.

Tun Abdul Rasyid sekadar tersenyum dan mengeleng perlahan.

"Ayah sudah makan. Tuanku Sultan telah menjemput ayah dan Laksamana Rahmat bersantap di Istana. Tak usah anakanda bergegas hendak menghidang." kata Tun Abdul Rasyid. Seperti kebiasaannya, nada suaranya tetap lembut dan tenang. Begitu juga raut wajahnya. Akan tetapi, siapa yang tahu apa yang ada di dalam hatinya?

Sesungguhnya, hatinya saat ini berasa resah. Mengenangkan satu-satunya anakanda kesayangannya ini. Pasti Tun Haseen telah mendengar titah yang telah disampaikan oleh pengawal istana di pasar tadi.

Dia sendiri telah diberitahu perihal itu oleh Tuanku Sultan sendiri. Bagaimana dia hendak melawan titah pemerintah itu? Malah, Tuanku Sultan juga adalah sahabatnya. Akan tetapi, bagaimana pula nasib anakandanya ini nanti?

Tun Haseen pasti akan mencuba sedaya upaya di dalam ujian tersebut. Dan anak gadisnya itu akan terpilih dikalangan senarai pendek. Tun Haseen walaupun bijak, tetapi dia masih tidak tahu hal-hal kehidupan. Terutamanya kehidupan di dalam Istana.

Sejujurnya, Tun Abdul Rasyid sangat berat hati andai terpaksa melepaskan anaknya sendiri masuk ke dalam Istana kelak.

"Ayahanda, tadi di pasar ada pengumuman daripada Tuanku Sultan." ujar Tun Haseen. 

Tun Abdul Rasyid berdehem cuba menyembunyikan perasaannya.

"Haseen rasa ingin mencubanya. Manalah tahu kelak boleh membantu anak-anak yang belajar di pondok itu." kata Tun Haseen lagi.

"Bolehkah, ayah?" tanya Tun Haseen. Tun Abdul Rasyid berdiam seketika, dia sudah menjangka akan pertanyaan anaknya itu.

"Cubalah setakat mana yang termampu, ayah izinkan. Tetapi kelak, Haseen harus menjadi lebih bijak. Oleh itu, Haseen perlu belajar banyak perkara lagi sebelum menjalani ujian itu. Jika tidak, ada orang yang akan memperlekehkan, mempermainkan atau memperunakan anakanda." balas Tun Abdul Rasyid.

Kedengaran seperti memberi kebenaran dan juga memberi amaran dibenak Tun Haseen. Alis keningnya berkerut cuba memahami kata-kata ayahnya itu.

"Ayah hendak masuk ke bilik dan berehat sebentar. Jika ada sesiapa datang mencari ayah, kejutkan saja." pesan Tun Abdul Rasyid dan segera berlalu masuk ke dalam biliknya.

Tun Haseen sekadar mengangguk. Entah kenapa dia dapat merasakan bahawa ayahnya seakan berat hati ingin membenarknnya. Salahkah?

Tujuannya menghadiri ujian tersebut adalah untuk menyahut titah baginda Sultan, kerana dia ialah anak gadis dari golongan bangsawan. Berusia tidak kurang daripada enam belas tahun. Dan, sememangnya Tun Haseen mempunyai tujuan lain lagi selain itu.

Bukan hendak semata-mata mengahwini tengku mahkota yang dikatakan sombong dan bongkak itu. Tetapi ingin bertemu muka dengan Tuanku Sultan, dan meminta baginda kembali memerintah dengan adil dan saksama. Agar tiada lagi rakyatnya yang teraniaya dengan cukai tinggi serta kemiskinan tegar. Itulah cita-cita Tun Haseen.

❁❈ Bersambung ❈❁

❀ Terima kasih kerana membaca. Berikan Komen dan Vote ❀ Jika terdapat kesalahan dalam penulisan ini, nyatakan dan beri tunjuk ajar. Terima Kasih ❀

❊❊❊

❊❊❊

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now