45: Cita-Cita & Hajat

792 63 15
                                    

Tuanku Sultan menarik nafas dalam sebelum dihembus lepas. Masalah Tengku Mahkota sudah selesai dengan pemilihan bakal puteri mahkota. Kini tinggal masalah dengan Permaisuri Tun Seri Jasmin lagi. Tempoh yang diberikan telah berjalan. Akan tetapi tiada tanda-tanda dari Permaisuri untuk melepas takhta itu.

"Ampun tuanku, semakin tuanku melawan, jantung tuanku telah menjadi semakin lemah," beritahu Pak Rajab semalam. Dia telah tahu apa caranya yang Permaisuri gunakan untuk menyakitkan mereka. Dan Pak Rajab telah sedaya upaya membantu untuk mengubati penyakit dari sihir itu.

Ketika ini, Tuanku Sultan harus bertahan demi melindungi Tengku Mahkota. Baginda tidak mahu Tengku Afkar juga turut menjadi mangsa seperti pemerintahannya.

"Tuanku, masihkah tuanku bimbang hal itu?" tanya Tun Seri Dahlia yang masuk ke dalam kamar Tuanku Sultan.

Tuanku Sultan memalingkan badan menghadap isteri ketiganya itu.

"Seri Dahlia, beta merasa sungguh tidak berguna kerana tiada kuasa. Apalah nasib rakyat yang mendapat pemerintah seperti beta ini? Beta semakin tidak berdaya melawan kejahatan mereka,"
"Ampun tuanku, janganlah tuanku merendah diri kerana memikirkan hal lain. Patik yakin, masih ada rakyat yang setia kepada tuanku," pujuk Tun Seri Dahlia.

Tuanku Sultan melepas keluhan berat.

"Jikalau masa boleh beta undurkan ... beta mahu menjadi seperti Tengku Mahkota. Bersemangat kental demi membantu rakyat yang memerlukan, memulihkan kuasa kesultanan dan berani menghadapi pembesar yang berniat belot,"

"Ampun tuanku, patik yakin tuanku telah membuat yang terbaik demi negeri ini."

"Jika itulah apa yang semua rakyat beta rasakan ... beta berpuas hati dan bersyukur," Tuanku Sultan mengukir senyuman. Hati kembali tenang selepas meluahkan keresahannya.

❇✳

"Apa?" Tun Abu Jabaar memencilkan mata. Dia lantas berdiri dari duduknya.

"Benarkah Tuanku telah berkata demikian?" soalnya meminta kepastian.

"Benar. Taktik adinda telah diketahui oleh Tuanku dan si perempuan itu. Sekarang ini adinda sedang diberi tempoh untuk melepas takhta ini," jelas Permaisuri Tun Seri Jasmin. Tempohnya melepas takhta semakin hari semakin dekat. Mana mungkin dia mahu berundur. Bukan mudah dia mengambil takhta ini daripada Tuanku Tun Seri Kadziyah. Demi mendapatkan kuasa di atas singahsana, dia terpaksa membunuh!

Tun Abu Jabaar bercekak pinggang. Tidak dia sangka rupanya Tuanku Sultan membuat langkah bijak demi melawan kuasa mereka. Dia mula menyusun strategi baru. Jika adindanya dilucutkan takhta dan dihukum, mungkin lebih mudah untuk dia menghapuskan Tuanku Sultan dan kerabatnya, dengan alasan, membalas dendam demi Permaisuri. Selepas itu akan berlaku rampasan kuasa, dan dia akan dijadikan pemerintah kerana berjaya menjatuhkan Tuanku Sultan.

Tun Abu Jabaar tersenyum lebar memikirkan kemungkinan itu. Tidak sabar rasanya hendak memegang takhta kerajaan itu kelak.

"Kanda, apakah kekanda mempunyai rancangan untuk membantu adinda? Tolonglah adinda. Adinda tidak mahu menerima hukuman berat. Jika adinda terhukum kekanda juga pasti akan menerima tempias kerana bersubahat," Permaisuri Tun Seri Jasmin meminta simpati. Hanya kepada Tun Abu Jabaar dia mengharapkan pertolongan. Dari dahulu sehingga kini.

"Adinda meminta pertolongan atau sang ratu sedang mengugut si tua ini?" Tun Abu Jabaar tertawa sinis.

"Jikalau terpaksa, adinda mengugut kekanda. Kerana semua ini berpunca dari rancangan kekanda yang berhajat menjadi sultan," akui Permaisuri Tun Seri Jasmin.

"Hahaha .., sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Mengapa dari dahulu adinda tidak berhenti melompat, sedangkan sudah selesa duduk di atas?" sindir Tun Abu Jabaar.

"Kanda! Bukan ini yang adinda mahu dengar. Kita telah jauh mengikuti rencana kekanda .., jikalau adinda terhukum, sia-sialah pekerjaan kita selama ini." jelas Permaisuri lagi.

"Tetapi cita-cita adinda tidak pernah sama dengan kekanda. Apa dinda fikir kanda tidak tahu? Adinda mahukan takhta itu untuk Tengku Hamzaa! Sama sahaja warisan dari Tuanku Sultan. Hanya cita-cita kekanda sahaja dari dahulu hingga sekarang masih sama!" Tun Abu Jabaar meninggikan suaranya. Dia sudah lama mengetahui bahawa permaisuri Tun Seri Jasmin sudah mulai belot dari rancangan asalnya.

Permaisuri Tun Seri Jasmin mengetap bibir. Terkedu mendengar amarah Tun Abu Jabaar itu. Lain yang diharapkan, lain pula yang terjadi.

❇✳

Semenjak pulang daripada Istana, Tun Haseen bermenung panjang di atas pangkin di bawah pohon rambutan. Walaupun dia telah terpilih, entah mengapa masih ada rasa berat di hatinya. Memikirkan dia bakal memegang tanggungjawab sebagai ibunda negeri, bertambah gentar semangatnya.

Tun Abdul Rasyid berjalan mendekati anak gadisnya yang sedang bermenung jauh. Sudah dia terima titah tuanku sultan berkenaan pemilihan anakandanya. Pasti anak gadisnya itu sedang dalam keresahan lagi.

"Buah jambu buah delima,
Dua-dua rasa yang sama,
Usah bimbang hati dilema,
Putera raja berhajatkan yang sama."

Tun Haseen sekadar tersenyum mendengar pantun dari ayahnya itu. Tahu-tahu sahaja hatinya sedang resah kerana Tengku Mahkota.

"Mengapa anakanda bermuram? Bukankah patut Haseen gembira kerana bakal ditabalkan menjadi puteri mahkota? Anak-anak gadis yang lain pasti cemburu kerana tidak memiliki apa yang Haseen perolehi," ujar Tun Abdul Rasyid.

"Ayah ... Bagaimanakah perasaan ayah sewaktu pertama kali menjadi pembesar?" tanya Tun Haseen ingin tahu.

Tun Abdul Rasyid mengambil tempat duduk bersebelahan anak gadisnya. Jambang halusnya digaru lembut.

"Tentulah ayah rasa teruja. Ayah begitu teruja dapat membantu Tuanku Sultan dalam pemerintahan. Hampir setiap hari ayah memikirkan buah fikiran demi memajukan negeri bersama Tuanku. Sahabat lama ayah juga seorang yang bercita-cita besar. Gandingan kami berjaya mengusir penjajah yang ingin menawan negeri. Malangnya ..," Tun Abdul Rasyid sengaja tidak menghabiskan ayatnya. Hatinya turut kesal mengenangkan fitnah yang diterima Salam.

Tun Haseen turut terdiam. Bukan dia tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Sejak Salam dibuang negeri, Tuanku Sultan mula diserang penyakit, ayahnya juga goyah untuk melawan sendirian. Mahu tidak mahu, ayahnya turutkan sahaja mana yang baik daripada pembesar-pembesar itu.

Bukan Tun Abdul Rasyid tidak mahu melawan. Akan tetapi dia mahu melindungi nyawa rakyat daripada perjuangan berat sebelah. Tun Abu Jabaar dan konconya yang tiada hati perut sanggup menghukum mati mana-mana rakyat yang mengingkari undang-undang mereka. Cukai dan tanah rakyat sewenang-wenangnya mereka rampas dan miliki. Bagi Tun Abdul Rasyid, itu lebih baik daripada nyawa yang dirampas.

"Ayah yakin, tengku mahkota juga ada rancangan dan cita-cita. Haseen bantulah baginda membentuk semula kerajaan negeri ini." pesannya.

Tun Haseen diam menganggukan kepala. Dia juga berharap agar dapat mengembalikan semula kestabilan ekonomi rakyat. Berdasarkan apa yang tengku mahkota bincangkan, Tun Haseen turut berharap dapat mengubah cara dan corak kepimpinan pembesar.

❇✳

"Argh!" Permaisuri Tun Seri Jasmin menghempas meja kecil di hadapannya. Hatinya masih sebal mengingati kata-kata Tun Abu Jabar. Dia mundar mandir di setitar kamarnya.

"Jikalau anakanda menyayangi bonda .., penuhilah hajat bonda kali ini," pintanya separuh merayu.

1022
*18 Dis 2018 * 22:39*

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now